MALAM lailatul qadar mempunyai kelebihan yang sangat besar bahkan dipercayai lebih mulia daripada 1,000 bulan.
Untuk meraih fadilat malam istimewa itu, Nabi Muhammad SAW menganjurkan kepada seluruh umat Islam agar memperbanyakkan amalan bagi merebut ganjaran pahala berlipat kali ganda.
Bukan itu sahaja, malam tersebut juga merupakan saat di mana setiap doa yang dipohon akan diangkat dan diterima Allah SWT.
Oleh itu, umat Islam disarankan untuk tidak melepaskan peluang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan berdoa dan berzikir bagi memohon keampunan-Nya.
Menurut portal Jomalquran, berikut antara doa yang digalakkan untuk dibaca:
1. Doa khusus malam Lailatul Qadar (memohon keampunan)
Terdapat hadis yang menceritakan tentang doa yang digalakkan untuk dibaca pada malam itu seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:
Daripada Aisyah RA, bahawa beliau bertanya Nabi Muhammad SAW: "Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar, maka apa yang sepatutnya aku ucapkan.
Baginda bersabda: "Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku," (Hadis Riwayat Tirmizi).
2. Doa akhir Ramadan
Nabi Muhammad mengamalkan doa ini setiap kali menjelang akhir Ramadan.
"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan bulan Ramadan ini sebagai Ramadan terakhir dalam hidupku. Jika Engkau menjadikannya sebagai Ramadan terakhirku, maka jadikanlah aku sebagai orang yang Engkau sayangi."
Malam Lailatul Qadar adalah peluang terbaik untuk memohon keampunan.
3. Sayyidul Istighfar (penghulu istighfar)
Daripada Syaddad bin Aus RA bahawa Nabi SAW bersabda:
"Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau.
"Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku.
"Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Hal ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau," (Hadis Riwayat Bukhari).
4. Doa memohon kebaikan di dunia dan akhirat
"Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa api neraka," (Surah al-Baqarah: 201).
Doa-doa ini digalakkan untuk dibaca pada waktu-waktu berikut:
1. Setiap kali selepas solat pada 10 malam terakhir ramadan.
2. Ketika beritikaf di masjid.
3. Semasa bertahajjud.
4. Ketika berzikir pada waktu malam.
5. Selepas membaca al-Quran.
6. Ketika melakukan qiamullail.