SABAN tahun pembayaran zakat fitrah dilaksanakan setiap kali bulan Ramadan namun masih ramai kurang peka atau cakna mengenai hukum pembayaran zakat bagi wanita yang sudah bekerja.
Menurut Maktabah Al-Bakri, seorang wanita wajib membayar sendiri zakat fitrah sekiranya dia berkemampuan, misalnya mempunyai kerjaya dan mampu menjana pendapatan sendiri.
Namun, jika bapanya tetap mahu membayarkan zakat fitrah bagi pihak anaknya atas dasar ihsan, maka hukumnya adalah harus dan sah selagi mendapat keizinan daripada anaknya itu.
Syeikh Muhammad Zuhaili, dalam kitabnya, menyatakan bahawa tidak diharuskan seseorang menunaikan zakat fitrah bagi orang lain (ajnabi) melainkan dengan keizinannya.
Wanita yang memenuhi syarat wajib zakat fitrah perlu menunaikan kewajipan tersebut.
Bahkan, tidak sah zakat fitrah yang dibayar sekiranya tidak mendapat kebenaran daripada empunya badan.
Ini kerana zakat fitrah adalah ibadah yang dikenakan kepada individu dan tidak akan tertunai melainkan dengan keizinannya.
Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan pula menyatakan bahawa kewajipan membayar zakat fitrah tidak bergantung pada usia atau kedewasaan seseorang.
Sebaliknya, syarat wajib bagi menunaikan ibadah tersebut adalah Islam, waktu (malam hari raya dan siangnya) dan kemampuan.
Ini bermakna, anak yang memenuhi syarat-syarat tersebut diwajibkan menunaikan zakat fitrah sendiri, kecuali jika dia masih berada di bawah tanggungan bapanya.
Dari segi hukum, zakat fitrah sah dibayar sendiri kepada asnaf atau melalui wakil, asalkan disertakan dengan niat ketika penyerahan bayaran.