ADA yang beranggapan ganjaran pahala malam Lailatul Qadar hanya boleh direbut melalui ibadah yang dilakukan pada dua pertiga malam sahaja.
Tanggapan itu menyebabkan ramai menumpukan amalan pada tengah malam sehingga awal pagi semata-mata ingin mengejar fadilat berkenaan.
Namun apa yang mereka tidak tahu, tempoh malam Lailatul Qadar sebenarnya bermula daripada terbenamnya matahari pada waktu Maghrib sehingga terbitnya fajar pada waktu Subuh.
Menurut pendakwah Ustaz Hariri Daud, segala amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang tempoh berkenaan akan diterima dan mendapat ganjaran yang sama besar di sisi Allah.
"Malam Lailatul Qadar bermula lepas waktu maghrib dan berakhir sebelum subuh.
Hariri menjelaskan perkara itu menerusi sesi podcast.
"Jadi, apa sahaja ibadah yang kita buat daripada Maghrib sampai Subuh, itu dianggap amalan Lailatul Qadar. Ia tak semestinya dua pertiga malam sahaja.
"Sembahyang Maghrib berjemaah, berbuka puasa dengan anak-anak, baca doa sebelum berbuka puasa, sembahyang Isyak berjemaah.
"Kemudian kita buat sembahyang tarawih dan witir lalu bangun pula buat qiyamulail serta bersahur pagi, itu semua akan dikira," jelasnya menerusi satu sesi podcast yang dimuat naik di TikTok.
Tambahnya lagi, wanita yang uzur juga berpeluang memperoleh ganjaran yang sama atas setiap amalan dan kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas.
"Kalau orang yang datang haid, perkara yang dilakukan misalnya memasak atau menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga, berselawat, berzikir atau membaca buku agama itu semua dikira ibadah," ujarnya.