ZAKAT fitrah bukan sekadar satu kewajipan, tetapi juga satu bentuk penyucian diri dan harta bagi umat Islam yang menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.
Bukan itu sahaja, ia bertujuan membantu golongan fakir miskin agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna dan gembira.
Di Malaysia, kadar zakat fitrah ditentukan berdasarkan nilai beras yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini.
Namun, penggunaan beras tempatan dan import dalam kehidupan masyarakat kita sering menimbulkan persoalan mengenai kadar zakat yang sepatutnya dibayar.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, individu yang biasa makan beras import masih dibolehkan membayar zakat fitrah mengikut kadar atau harga beras tempatan.
Meskipun hukumnya harus, seseorang yang berkemampuan disunatkan untuk mengeluarkan zakat melebihi kadar diwajibkan atau menunaikan mengikut kadar jenis beras dimakan.
Zakat fitrah merupakan salah satu bentuk penyucian diri dan harta.
Sebagai langkah untuk meningkatkan keadilan sosial, pihak berkuasa telah memperkenalkan dua kadar pilihan tambahan iaitu RM15 (tempatan) dan RM22 bagi mereka yang ingin menunaikan zakat fitrah berdasarkan harga beras import.
Pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan manfaat yang lebih besar diperoleh oleh penerima zakat iaitu golongan fakir dan miskin serta menjaga hak serta kebajikan masyarakat secara menyeluruh.
Bagaimanapun, ia bukanlah satu kewajipan yang mesti dipatuhi bahkan tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana individu yang menggunakan beras mahal untuk membayar mengikut nilai minimum iaitu RM7.
Nabi Muhammad SAW juga amat menggalakkan umat Islam melipat gandakan amal ibadah dan sedekah pada bulan Ramadan kerana ganjaran yang menanti mereka juga turut akan digandakan oleh Allah SWT.
Ini kerana ibadah sunat dalam bulan Ramadan akan diberikan ganjaran pahala ibadah wajib, manakala ibadah wajib pula akan digandakan pahalanya sebanyak 70 kali ganda di dalam bulan ini.