suria

Ubat bukan gula-gula, simpan dengan betul!

Ubat yang dihasilkan dalam pelbagai warna dan saiz bukan sekadar suka-suka tetapi ada rasionalnya untuk manfaat pesakit.

TABIAT membawa ubat-ubatan atau vitamin di dalam beg tangan memang memudahkan, tetapi bagi Khairul Anuar dan isteri, tabiat itu juga hampir meragut nyawa anak mereka.

Kejadian dua tahun lepas itu menjadi iktibar bagi Khairul Anuar, 47 dan Noraini Mazlan, 42, supaya tidak mengambil mudah soal penyimpanan ubat-ubatan.

Mengimbau kembali, kejadian itu berlaku ketika beliau dan isterinya yang hamil lima bulan sedang berehat di ruang tamu selepas pulang dari kerja.

 “Semasa hendak ke tandas, saya terkejut melihat anak sedang mengunyah sesuatu dan terdapat sisa serbuk berwarna putih sekitar mulutnya. Rasanya dia dah makan beberapa biji vitamin emaknya.

“Saya langsung tidak sedar bila masanya anak buka beg tangan emaknya dan ambil vitamin itu. Memang dalam begnya ada vitamin untuk ibu mengandung. Saya masih ingat isteri letak beg tangannya di atas meja,” cerita penjawat awam itu kepada Bernama.

Menyimpan ubat di dalam beg tangan ada baik dan buruknya, jadi perlu berhati-hati.

Panik dengan keadaan itu, pasangan berkenaan bergegas membawa anak mereka ke klinik berdekatan walaupun pada ketika itu cahaya mata mereka langsung tidak menunjukkan sebarang komplikasi seperti muntah atau pening kepala.

“Mujur tidak berlaku apa-apa. Rupanya selama ini, anak saya sering memerhati dan menyangka ibunya mengambil ‘gula-gula', dari dalam beg itu,” kata Khairul Anuar yang kini menyimpan semua jenis ubat-ubatan di tempat yang lebih tinggi dan selamat.

JAUHI KANAK-KANAK

Menurut Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Ramli Zainal, tindakan Khairul dan isterinya adalah tepat dan wajar, biarpun anaknya tidak menunjukkan sebarang komplikasi ketika itu.

Beliau yang ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini berkata amat penting bagi setiap ibu bapa mendapatkan rawatan kecemasan di hospital berdekatan dengan kadar segera sebaik menyedari anak mereka mengambil ubat orang dewasa.

“Terdapat beberapa vitamin yang diberikan kepada wanita mengandung iaitu asid folik, zat besi dan vitamin B kompleks. Ubat ini diberikan secara berasingan atau secara kombinasi. 

“Secara umum, pengambilan vitamin dalam dos berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, muntah atau pening kepala. Manakala, pengambilan zat besi berlebihan boleh menyebabkan sakit perut, cirit-birit atau lebih serius sehinggakan najis berdarah atau kerosakan hati,” katanya lalu menegaskan agar sentiasa menyimpan ubat-ubatan di tempat selamat dan tidak boleh dicapai kanak-kanak.

Dr Ramli berkata tinjauan turun padang ke rumah pesakit menerusi program Duta Prihatin Masyarakat (DPM) mendapati aspek penyimpanan ubat yang betul kurang dititikberatkan sekali gus berisiko mengundang bahaya khususnya kepada kanak-kanak.

Walhal, jelas tertera ‘Jauhi daripada kanak-kanak' pada label atau sisip bungkusan ubat, namun agak menyedihkan kerana masih ada segelintir masyarakat yang meletakkan ubat-ubatan di atas meja makan dan mudah dicapai oleh anak-anak kecil.  

IKUT SUKA HATI  

Program Duta Prihatin diperkenalkan sejak 2016, bertujuan memperluas aktiviti Duta Kenali Ubat Anda yang bermula pada 2012, sebagai usaha mengoptimumkan penggunaan ubat-ubatan secara rasional.

Duta bagi program itu dilantik daripada wakil masyarakat seperti penghulu, wakil kesatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia dan lain-lain agar dapat mendidik masyarakat dalam memastikan pengurusan ubat-ubatan di rumah disimpan dengan cara betul dan selamat.

Perlu diingat, ubat dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan warna, pastinya akan menarik perhatian kanak-kanak untuk makan atau minum ubat tersebut tanpa mengetahui bahawa ia sebenarnya berbahaya kepada mereka.

“Kes kemalangan termakan ubat orang dewasa dalam kalangan kanak-kanak sebenarnya dapat dielakkan jika ubat-ubatan disimpan di tempat yang tidak dapat dilihat atau dicapai oleh kanak-kanak misalnya dalam kabinet yang lebih tinggi.

“Tetapi, ramai ambil ringan mengenai cara penyimpanan ubat yang betul dan simpan ikut suka hati. Sedangkan ubat adalah bahan yang digunakan untuk mencegah, mengawal atau merawat penyakit yang perlu diambil pada dos yang disyorkan.

“Oleh itu, sangat penting untuk menyimpan ubat di tempat selamat dan ia merupakan tanggungjawab pesakit atau penjaga,” tambahnya.

KURANG KEBERKESANAN RAWATAN  

Kebimbangan dalam isu penyimpanan ubat adalah berasas kerana ia bukan sahaja berkaitan keselamatan kanak-kanak bahkan juga pada pesakit itu sendiri.

“Selain kabinet yang tinggi, ubat sebaiknya disimpan dalam bekas yang bertutup dan mudah dilihat. Ia juga perlu teratur dan dilabel untuk memudahkan pencarian ubat khususnya apabila berlaku kecemasan.

“Dalam pada itu, ramai tidak menyedari kegagalan menyimpan ubat sepertimana yang disarankan sebenarnya berisiko menjejaskan kualiti ubat sekali gus mengurangkan keberkesanan rawatan,” katanya.

Kaedah penyimpanan ubat yang betul dapat menjaga kualitinya sekali gus memberi kesan baik kepada pesakit.

Paling ditakuti, tambah Dr Ramli, adalah apabila pesakit tidak menyedari ubat tersebut rosak dan berkemungkinan besar terdedah kepada kesan sampingan apabila termakan ubat berkenaan.  Ini kerana, setiap ubat mempunyai cara dan suhu penyimpanan yang berbeza. Ada ubat yang perlu disimpan pada suhu bilik dan ada juga yang perlu disimpan dalam peti sejuk, mengikut arahan yang tertera jelas pada label ubat.

UBAT MUDAH HANCUR 

Bagaimanapun, kata Dr Ramli, kebiasaannya ramai yang gemar menyimpan ubat dalam peti sejuk, kereta, tandas mahupun dapur dengan alasan ubat boleh tahan lama dan mudah dicari.

“Persepsi ini salah sama sekali. Jika ubat biji disimpan di dalam peti sejuk, ia boleh menjadi lembap, mudah hancur dan rosak.

“Hanya ubat dengan arahan penyimpanan pada suhu dua hingga lapan darjah Celcius boleh disimpan dalam peti sejuk. Maklumat ini akan diterangkan oleh pegawai farmasi dan tertulis dengan jelas pada sisip bungkusan ubat,” katanya.

Manakala, amalan menyimpan ubat sedut (inhaler) atau ubat serangan jantung dalam kereta agar mudah diambil semasa kecemasan sebenarnya boleh merosakkan ubat berkenaan kerana suhu kenderaan di bawah sinaran cahaya matahari boleh mencecah hampir 50 darjah Celcius.  Begitu juga penyimpanan ubat atas peti sejuk, dapur dan ketuhar turut berisiko merosakkan ubat kerana terdedah kepada haba dan suhu yang tinggi.

“Cara penyimpanan ubat mungkin nampak macam perkara kecil tetapi impaknya sangat besar dan satu pembaziran sekiranya kita mendapatkan rawatan terbaik dari hospital serta pakar tetapi tidak menyimpan ubat dengan betul di rumah,” tegasnya.  -- Bernama

vitamin, DPM, zat besi

Artikel Lain