suria

Mulut jangan 'main lepas', cukup setakat 15 minit! Patuhi 7 adab ini ketika ziarah orang sakit

Melawat orang sakit juga perlu mematuhi adab-adabnya. - Gambar hiasan/Bernama

AMALAN menziarahi orang sakit sememangnya sesuatu yang mulia kerana ia bukan sahaja menunjukkan seseorang itu mengambil berat tentang tahap kesihatan, malahan menaikkan semangat pesakit untuk melawan penyakitnya.

Namun, sebelum anda merancang perjalanan untuk melawat ahli keluarga atau kenalan yang mengalami masalah kesihatan, terdapat beberapa adab yang harus diberikan perhatian supaya kehadiran anda dapat menceriakan, bukan menjejaskan lagi kesihatan pesakit.

Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam dari Hospital Kuala Lumpur berkongsi pengalaman sebagai seorang pegawai perubatan dan waris kepada pesakit (ibu tirinya) yang juga penghidap kanser.

Dr Ros Suzanna berkongsi beberapa adab ketika melawat orang sakit yang perlu anda tahu!

Sebaiknya, maklumkan dulu tentang kedatangan anda kepada pesakit sebelum membuat lawatan. - Gambar hiasan/Dorri Olds

1. Maklumkan kedatangan lebih awal

Sebaik-baiknya, maklumkan kepada pesakit jika anda ingin datang melawat kerana ada ketika pesakit mengalami keletihan dan tiada mood untuk bercakap.

Pelawat juga harus mematuhi waktu melawat dan tidak meluangkan masa terlalu lama, seeloknya jangan melebihi 15 minit ketika menziarahi orang sakit.

Jika pesakit tidak larat untuk melayan tetamu, anda tidak harus memaksa dirinya untuk meluangkan masa.

Selain pesakit, buah-buahan juga boleh dinikmati oleh waris yang menjaganya, - Gambar hiasan/Pixabay

2. Bawa buah tangan

Masyarakat kita sememangnya tidak boleh berpisah dengan budi bahasa.

Maka, tidak hairanlah jika pelawat terdorong untuk membawa buah tangan sebagai cenderahati buat pesakit.

"Bagi saya yang pernah menjaga pesakit, jika buah-buahan atau makanan yang dibawa itu tidak boleh dimakan oleh pesakit, ia masih boleh dimakan oleh mereka yang menjaganya.

"Waris pesakit juga mungkin boleh makan makanan yang dibawa kerana mereka juga mengalami tekanan kerana terpaksa mengorbankan masa dan waktu tidur untuk bergilir-gilir menjaga pesakit," katanya ketika dihubungi mStar.


Elakkan bertanya soalan yang boleh menyinggung perasaan pesakit. - Gambar hiasan/Machine Design

3. Jangan terlalu banyak tanya

Usah bertanya soalan yang boleh menyinggung perasaan pesakit seperti punca penyakit atau amalan yang dilakukannya sehingga menyebabkan dia jatuh sakit.

Jika anda berasa ragu-ragu tentang cara selamat untuk memulakan perbualan, mungkin boleh bertanya tentang khabar pesakit atau membiarkan dia sendiri bercerita tentang keadaannya.

"Boleh tanya pesakit apa khabar atau bagaimana keadaannya pada hari tersebut.

"Anda lihat sahaja ke mana dia ingin bawa topik itu pergi... sama ada dia ingin berterus-terang atau berkongsi tentang penyakitnya," jelas doktor pakar kanser tersebut.

4. Perlu ada empati

Sebagai pelawat, Dr Ros Suzanna berpesan agar anda meletakkan diri sendiri di tempat pesakit.

Kata beliau, masyarakat kita kurang sensitiviti berbanding orang Barat yang lebih pandai 'berlapik' dalam berkata-kata.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beramah mesra bersama pesakit lelaki yang lumpuh dalam lawatan ke rumah asnaf di Sungai Kelibang Kuah pada Mac lalu. - Gambar hiasan/Bernama

5. Elakkan melawat secara berkumpulan

Setiap pesakit memerlukan privasi masing-masing untuk berehat dan menjalani rawatan terutamanya ketika berada di hospital awam.

Elakkan datang melawat pesakit dalam jumlah yang ramai kerana dikhuatiri akan mengganggu keselesaan pesakit lain.

Jangan memandai-mandai memberikan pendapat kepada pesakit sehingga melebihi doktor bertauliah. - Gambar hiasan/Bernama

6. Mengalahkan doktor

Jangan menyampaikan maklumat yang tidak betul kepada pesakit sehingga mengalahkan doktor yang bertauliah.

Ini kerana setiap pesakit memerlukan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang suplemen tambahan.

"Ada pelawat yang gemar mencadangkan pengambilan suplemen kepada pesakit berdasarkan testimoni sendiri atau kenalan mereka.

"Ada juga pelawat secara tidak sedar menakut-nakutkan pesakit tentang jangka hayat mereka," ujarnya sambil berharap pelawat tidak segera membuat kesimpulan sendiri.

Setiap pusat perubatan memiliki kelebihan tersendiri, jadi elakkan membuat perbandingan tentang fasiliti perubatan di hadapan pesakit. - Gambar hiasan

7. Jangan membuat perbandingan

Elak membuat perbandingan tentang pusat perubatan yang dikunjungi pesakit kerana dikhuatiri akan membuatkan pesakit berasa dia telah membuat pilihan yang salah.

"Pesakit akan berasa tidak selesa dan tertanya-tanya sama ada betulkah tindakannya mendapatkan rawatan di pusat perubatan tersebut," jelasnya.

Walaupun perbuatan menziarahi orang sakit itu dianggap mulia, setiap individu tetap harus menjaga adab-adab melawat supaya tidak mendatangkan rasa tidak senang kepada pesakit atau waris yang menjaga mereka.

Sebagai insan biasa, mungkin kita pernah melakukan kesilapan-kesilapan di atas tanpa sedar dan inilah masanya untuk membaiki kekurangan itu agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

adab, sakit, pesakit, Dr Ros Suzanna

Artikel Lain