JIKA sebelum ini isu tentang pembedahan membesarkan payudara agak popular diperkatakan, namun tahukah anda ada sesetengah wanita yang turut melakukan prosedur untuk mengecilkan aset mereka itu? Pembedahan pengecilan payudara adalah prosedur yang dilakukan di bawah pengaruh anestesia atau kehilangan deria rasa pada tubuh akibat ubat bius dan biasanya mengambil masa antara tiga hingga lima jam, bergantung kepada saiz payudara. Seorang pakar bedah plastik dari San Fransisco, Amerika Syarikat (AS), David A. Sieber berkata, tisu payudara berlebihan dikeluarkan semasa pembedahan untuk mencapai saiz payudara yang diingini pesakit. Setiap pembedahan pasti ada risikonya, prosedur pengecilan payudara tidak terkecuali kerana tetap berdepan pelbagai kemungkinan yang membahayakan nyawa! Sebelum anda mempertimbangkan untuk menjalani pembedahan ini, ketahui empat risiko yang bakal menanti! 1. Pendarahan Seorang pakar bedah plastik dari Houston, AS, Rukmini Rednam berkata: "Komplikasi yang biasa terjadi adalah pendarahan pada 12 ke 24 jam pertama selepas pembedahan selesai dijalankan di dewan bedah (OT). "Ia satu pembedahan dalaman yang dramatik. Anda mengubah cara puting menerima bekalan darah." 2. Kehilangan sensasi Komplikasi yang kurang berlaku adalah kehilangan sensasi di kawasan puting susu. Walaupun situasi ini berlaku sementara dalam kebanyakan kes, pakar bedah plastik dari Beverly Hills, AS, Charles J. Galanis menganggarkan bahawa 15 hingga 20 peratus pesakit akan mengalami kehilangan sensitiviti kekal pada bahagian puting susu mereka. 3. Penyusuan ibu Mitos yang biasa didengar adalah seorang wanita itu tidak lagi dapat menyusukan anaknya selepas menjalani pembedahan pengecilan payudara. Bagaimanapun, menurut Rednam, kebanyakan pesakit boleh menyusukan anak mereka dan hanya kes-kes yang ekstrem di mana puting 'ditanggal' serta disambungkan semula akan menyebabkan penyusuan ibu tidak lagi boleh dilakukan. Selain itu, pengeluaran susu ibu juga akan berkurangan kerana sebahagian sambungan salur penyusuan itu telah dipotong. 4. Parut Bentuk dan saiz parut adalah bergantung kepada teknik pembedahan, tetapi pesakit akan mempunyai parut bulatan di sekeliling areola dan patut berbentuk sauh kapal dari bawah puting ke bawah payudara. Setiap orang pasti mempunyai sebab tersendiri untuk melakukan pembedahan ini, tetapi sebaik-baiknya anda mengutamakan kesihatan dan keselamatan diri sebelum meneruskannya. Bagaimanapun, jika ia satu prosedur yang tidak dapat dielak, sekurang-kurangnya anda sudah bersedia menghadapi risikonya di kemudian hari. - Allure