suria

Jadual anak padat setiap hari sampaikan suami anggap Fadzlun 'gila'... “Budak-budak bukan robot!”

Fazdlun masih lagi menerima tawaran jadi model catwalk yang sesuai dengan masa dan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan isteri. Foto AZMAN GHANI/The Star

SETIAP ibu pasti mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka. Apa sahaja sanggup dilakukan kerana peluang untuk melihat mereka membesar di depan mata amat berharga dan sesuatu yang diimpikan hingga ke hujung nyawa.

Itulah yang dilakukan super model Fazdlun Abas yang terpaksa mengehadkan aktiviti di pentas peragaan demi tiga puterinya yang masih kecil, hasil perkahwinannya dengan Megat Khairul Anuar Omardin pada Disember 2007.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaya macam model, Dr Amalina Top 10 pakar pelatih surgikal terbaik UK

Atas sebab itu wanita tinggi lampai ini dilihat seolah-olah kian ‘senyap’ dalam dunia peragaan.

Walaupun sudah tidak seaktif dulu namun Fazdlun masih menerima undangan peragaan. 

Bagaimanapun, ketika temubual eksklusif bersama mStar , wanita ini mendedahkan dia masih lagi aktif di pentas peragaan, cuma menerima tawaran ikut kesesuaian dengan statusnya sebagai seorang ibu dan isteri.

“Saya masih lagi buat modeling cuma pilih ikut kesesuaian sementara anak masih kecil. Kalau half day event saya boleh pertimbangkan.

“Kadang-kadang saya cakap kepada penganjur, bukan nak jadi diva… tidak. Tidak adil bagi mereka jika saya tak dapat penuhi permintaan mereka atas sebab tertentu.

“Dibuatnya saya datang lagi sejam nak fashion show… tak adillah, kasihan dekat penganjur. Jadi lebih baik tolak, saya letakkan diri saya dalam kasut mereka. Itu yang saya rasa,” katanya.

Jelita... Fazdlun ketika aktif sebagai pemain bola jaring kebangsaan (kiri) dan gambarnya yang terkini. 

Walaupun terpaksa melupakan beberapa tawaran besar, tiada istilah menyesal dalam diri bekas atlet bola jaring kebangsaan ini.

Malah, Fazdlun menyifatkan ia sebagai satu pengorbanan yang dilakukan demi fokus kepada keluarga terutamanya tiga cahaya matanya, Puteri Luna Raisa, 11; Puteri Heidi Zahra,9, dan Puteri Lily Melissa, 6.

“Ketiga-tiga anak saya rapat dengan saya, nak-nak semua perempuan. Apa sahaja di rumah semua mummy. Semua nak dengan mummy… makan, pergi sekolah, mandi… pick up pergi sekolah pun mummy.

“Kadang-kadang bila saya fikir semula proses mereka nak membesar terlalu cepat. Proses kita nak main, gurau-gurau, gomol-gomol mereka amat singkat. Jadi saya selalu beritahu suami untuk sentiasa ada masa berkualiti bersama anak-anak.

Suami dan tiga anak perempuan adalah keutamaan Fazdlun. 

“Saya tak nak terlepas masa itu. Kadang-kadang kita perlu korbankan satu perkara, supaya dapat menang sesuatu yang lain. Saya sentiasa percaya hal ini,” katanya.

Biarpun memberi kebebasan kepada anak-anak untuk menceburi bidang yang mereka minati, Fazdlun tetap menitikberatkan soal pendidikan tiga puterinya itu.

Jelas Fazdlun jadual ketiga-tiga anaknya setiap minggu padat dengan pelbagai aktiviti.

“Seorang anak saya setiap minggu akan ke kelas gimnastik, seorang kelas taekwando dan seorang lagi main badminton serta bola jaring. Jadi memang saya akan penuhkan aktiviti mereka.

Fazdlun tetap aktif dalam bersukan.

“Setiap hari saya juga akan hantar mereka ke kelas tuisyen dari Isnin hingga Jumaat… (jadual) amat padat. Tiada pilihan. Malam pula mereka mengaji, ustaz datang rumah supaya anak-anak lebih fokus.

“Terus-terang cakap kadang-kadang suami kata saya ni gila. Dia kata tak kesian ke dekat anak-anak. Hantar tuisyen, hantar Kumon, anak-anak main badminton, taekwando dengan gimnastik lagi.

“Alasan suami sebab budak-budak bukan robot tapi biasalah mak ni mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Mak yang akan urusan dari A to Z, segala penat lelah yang dilalui itulah pengorbanan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Fazdlun turut menghantar dua anaknya Puteri Heidi Zahra dan Puteri Lily Melissa belajar di sekolah Cina yang dianggap mempunyai kelebihan tersendiri.

Fazdlun (dua dari Kiri) beraksi dalam salah satu pertandingan bola jaring.

“Saya boleh lihat ada banyak kelebihan dan potensi. Pertama komunikasi dan saya nak mereka bergaul dengan ramai orang di sekeliling.

“Saya juga boleh lihat mereka lebih berdisiplin. Walaupun anak bongsu masih di tadika, dia boleh terjaga dari tidur sebab kerja sekolah tak siap lagi.

“Dia boleh lari dan buka beg hanya semata-mata nak siapkan latihan mewarna sebab dia takut kerana cikgu dia tegas, jadi dia terbawa-bawa sampai ke rumah,” katanya.

Menyedari anak-anak membesar di zaman teknologi sememangnya tidak dapat lari daripada penggunaan gajet, Fazdlun juga tegas dalam hal ini.

Fazdlun memberitahu dia tegas dalam mendidik tiga anak perempuannya.

“Sekarang anda boleh lihat budak-budak semua bergantung dengan gajet… lepas sekolah balik rumah nak gajet.

“Saya memang disiplinkan anak-anak balik sekolah tak ada gajet, hujung minggu sahaja. Memang bunyi tu macam kejam sebab mereka akan menangis tapi kita kena hadkan.

“Saya rasa mereka perlukan ruang sebab gajet akan hilangkan fokus dan buang masa mereka tengok benda tak berfaedah. Malah mata mereka pun akan rosak macam mata anak sulung saya dah berkelip-kelip.

“Jadi saya tak nak benda tu beri kesan kepada mereka. Kadang-kadang gajet tu boleh main tapi kena kawal. Memang mereka akan mengamuk tapi saya tiada pilihan,” katanya.

Terus-terang cakap kadang-kadang suami saya kata saya ni gila. Dia kata tak kesian ke dekat anak-anak. Hantar tuisyen, hantar Kumon, anak-anak main badminton, taewando dengan gimnastik lagi.

FAZDLUN ABAS.

Model & bekas atlet bola jaring kebangsaan.

Untuk mengurangkan kebergantungan terhadap gajet, kata Fazdlun, dia sering membawa anak-anaknya menjalani aktiviti outdoor setiap hujung minggu.

“Saya suka bawa mereka pergi hiking untuk biasakan mereka dengan alam semula jadi. Mula-mula mereka tak suka tapi lepas kakak bercerita, adik-adik jadi excited.

“Dari aktiviti outdoor ni kita boleh nampak ragam masing-masing. Tapi bagi saya ia menyeronokkan. Aktiviti macam tu buat saya lebih rapat dengan mereka.

“Sebenarnya semua budak-budak suka dan perlukan aktiviti outdoor tak kisahlah pergi tasik atau taman permainan. Tapi kena pandai tackle mereka. Macam anak-anak saya, setiap minggu saya akan atur aktiviti untuk mereka,” katanya.

Fazdlun gemar melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.

Ditanya mengenai anak yang dilihat bakal mengikut jejak langkahnya, Fazdlun berkata anak keduanya, Puteri Heidi Zahra ada ciri-ciri seperti dirinya.

“Anak kedua saya boleh nampak lebih kepada modeling, aktif bersukan dan dia juga amat agresif. Dia juga masuk taekwando dan gimrama.

“Semua sukan dia boleh buat macam saya, masuk semua sukan dan saya menang. Sampai jurulatih kata saya perlu fokus satu sukan sahaja.

“Sekarang dia pergi kelas gimrama profesional dan tersenarai dalam pasukan kebangsaan Selangor yang menjalani latihan di Shah Alam.

Fazdlun berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada Disember 2017.

“Dalam hal ini, perlu ada pengorbanan keluarga terutamanya ibu bapa, kalau tak support  memang tak ke mana,” katanya yang lebih gemar menjadi model catwalk berbanding iklan komersial.

Meskipun sudah berusia 37 tahun, Fazdlun berkata minatnya terhadap bola jaring masih menebal.

“Saya masih bermain dengan kelab KLIA tapi belum ada jadual game. Kalau main pun dengan batch lama dalam pasukan tu semua kawan-kawan juga.

“Selalunya kami main kejohanan terbuka untuk kekalkan kecergasan dan tengok skil setiap tahun. Kalau ada skil terbaharu jadi kami update.


Fazdlun merancang untuk mendaki Annapurna Base Camp di Nepal.

“Memandangkan sekarang pasukan kebangsaan tengah buat persediaan untuk Sukan SEA di Filipina, mereka ada ajak saya sertai perlawanan persahabatan,” katanya yang turut mengajar sukan itu secara tidak formal terutama di sekolah anak sulungnya di Taman Melawati.

Dalam pada itu, wanita kelahiran Mantin, Negeri Sembilan ini turut menyimpan cita-cita untuk menawan Annapurna Base Camp (ABC) setinggi 4,130 meter di Nepal.

“Dua tahun lalu saya dah naik Gunung Kinabalu. Tahun ini saya rancang nak pergi Annapurna, itu target saya. Insya-Allah.

“Lagipun sekarang saya tengah buat kajian dan penyelidikan (R&D) untuk produk energy bar yang akan dipasarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Fazdlun Abas, model, catwalk, ibu, bola jaring

Artikel Lain