BUKANNYA senang untuk bersenam seperti atlet profesional jika anda hanyalah orang biasa yang mementingkan tentang kesihatan diri. Perbezaan anda dengan atlet profesional itu adalah mereka dibayar untuk melakukan aktiviti tersebut. Sedangkan anda pula memiliki pekerjaan lain yang perlu dilakukan berbanding menghabiskan masa di gim. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pandang remeh kesihatan mental! Ini 5 senaman wajib cuba untuk atasi kemurungan Bagaimanapun, anda boleh menggunakan set contoh yang diamalkan oleh ahli sukan elit untuk membentuk semula latihan anda. Coach Mag mendapatkan pandangan ketua kecergasan di Lanserhof at The Arts Club, Jason Reynolds yang boleh diamalkan oleh orang kebiasaan untuk memaksimumkan latihan mereka. Senaman memanaskan badan adalah paling penting sebelum memulakan latihan. - Azumio 1. Panaskan badan dengan betul Kebanyakan orang menyangka aktiviti memanaskan badan hanyalah melakukan beberapa regangan statik dan sedikit kardio, tetapi jika otot dan tendon tidak dipanaskan untuk senaman seterusnya, ia tidak akan dapat memaksimum potensinya. Kesilapan ini akan menghadkan kecekapan pergerakan dan kesan yang diperoleh daripadanya. Pada asasnya, jika anda gagal untuk bersiap sedia, anda bersedia untuk gagal. 2. Berlatih lebih sekali atau dua kali seminggu Sudah tentu lebih mudah bagi atlet untuk berlatih setiap hari kerana ia sebahagian daripada tugas mereka. Kekerapan melakukan latihan bukan sahaja menghasilkan rutin yang baik untuk mengadakan senaman secara berterusan, tetapi membolehkan anda mencabar pelbagai anggota tubuh dan memberi masa rehat mencukupi untuk proses pemulihan. Melakukan senaman cuma sekali atau dua kali seminggu menjadikan tubuh anda sukar untuk menyesuaikan diri. Bersenam mengikut kemampuan, jangan memaksa diri sehingga memudaratkan kesihatan. - Medfit 3. Jangan terlalu kerap memaksa diri Atlet menggunakan latihan berintensiti tinggi secara berkala untuk meningkatkan fungsi kardiovaskular, tetapi tidak terlalu kerap kerana ia boleh meningkatkan risiko kecederaan dan meningkatkan hormon tekanan. 4. Mahir dengan pergerakan anda Atlet menjadi hebat dalam sukan pilihan mereka kerana menghabiskan ribuan jam untuk belajar dan mengasah kemahiran mereka. Apabila orang biasa bersenam, mereka sering mengabaikan keperluan untuk belajar atau menyempurnakan pergerakan sebelum meningkatkan ketahanan atau tahap kesulitan dalam latihan. Jika anda tidak dapat mengawal pergerakan dengan betul, maka kecekapan latihan dan tahap prestasi anda juga akan menurun. Jurulatih mental dapat membantu seseorang melepasi halangan mental ketika berlatih. - Metrifit 5. Kawal mental anda Atlet mempunyai keupayaan untuk berlatih lebih kuat berbanding orang biasa. Mereka boleh melepasi halangan mental yang menjadi cabaran kepada prestasi ketika berlatih atau menyertai pertandingan. Ramai atlet elit menggunakan jurulatih mental untuk membantu mereka melepasi setiap cabaran dan kaedah ini juga boleh diikuti oleh anda. Teknik hipnosis, pengaturcaraan neuro-bahasa (NLP) dan terapi tingkah laku kognitif (CBT) boleh digunakan untuk membantu meningkatkan prestasi. Teknik mandi ais dapat mempercepatkan proses pemulihan seseorang. - Cumming Strength & Fitness 6. Tumpuan kepada pemulihan Pernah tonton video atlet mandi dalam timbunan ais? Ia kelihatan mengerikan dan tidak selesa! Tetapi mereka melakukannya kerana teknik tersebut membantu mempercepat pemulihan anggota tubuh dan membolehkan mereka berlatih lebih cepat. Mandi ais boleh dikatakan sudah agak ketinggalan zaman sekarang. Terkini, terdapat kamar krioterapi yang akan membolehkan anda mengakses suhu -110 darjah Celsius selama beberapa minit. Ia akan menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan, tetapi anda akan pulih dari sesi latihan lebih baik berbanding sebelumnya.