suria

Hidap kanser, wanita ini tak nak layan perasaan cuma ‘semak’ kepala berdepan soalan orang tak sensitif - “Dah nak kena, tak boleh buat apa... terima sajalah, kita kena terima!”

Salina Abdullah bersikap positif apabila disahkan menghidap kanser servik pada Oktober tahun lalu.

KANSER apa? Stage berapa? Itu adalah antara soalan yang sering ditanya setiap kali wanita ini memaklumkan dirinya menghidap kanser servik.

Usahawan syarikat berkaitan latihan, pendidikan dan motivasi, Salina Abdullah, mengakui berasa tidak selesa dengan pertanyaan itu kerana merasakan ia seolah-olah memberi persepsi kanser akan membawa kepada kematian.

"Saya faham keluarga, rakan-rakan mengambil berat tentang keadaan saya namun soalan itu membuatkan saya sedikit sensitif.

ARTIKEL BERKAITAN: Tonton wayang selepas disahkan hidap kanser - “Suami patut mencintai diri anda bukan payudara anda”

"Sebaik-baiknya jangan tanya dua soalan itu! Saya sendiri ada benda yang saya tidak cerita kepada orang kerana lebih baik simpan untuk diri sendiri memandangkan penerimaan dan pemahaman setiap orang berbeza," kata wanita berusia 50 tahun ini ketika ditemui mStar baru-baru ini.

Sepatutnya katanya lagi, beri pesakit kanser ruang untuk terima kenyataan, selain masa untuk mereka faham serta belajar perubahan dalam hidup yang perlu mereka hadapi serta mengumpul kekuatan bersama keluarga tersayang.

Salina yang disahkan menghidap penyakit itu Oktober lalu berkata, masyarakat perlu lebih peka tentang cara bertanya kepada pesakit kanser dan bukannya menambah bebanan mereka.

Salina sempat menawan Gunung Kinabalu sebelum disahkan menghidap kanser.

"Teringat satu soalan daripada seorang rakan baik saya yang sangat menyentuh hati apabila dia bertanya sama ada saya berasa takut?

"Soalan itu buat saya terfikir, malah saya tidak tahu bagaimana nak balas... Saya jadi terharu kerana soalan itu menunjukkan dia cuba menyelami apa yang sedang saya lalui," ujar anak kedua daripada tiga beradik ini.

Sejak melalui fasa lain dalam hidupnya, wanita kelahiran Petaling Jaya yang mesra disapa Sal ini berpendapat, hal berkaitan sensitiviti dan privacy adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian, diketahui dan difahami ramai.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kimia dan Ijazah Sarjana Sains Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berkata, tidak kira siapa pun, sama ada keluarga atau kawan-kawan dan kenalan sepatutnya menghormati hak pesakit kanser.

"Perlu tahu soalan apa yang boleh dan tidak boleh ditanya kerana soalan-soalan daripada individu yang tak sensitif boleh melemahkan semangat atau menaikkan stres pesakit. Malah pertanyaan kanser apa, stage berapa inilah yang 'menyemakkan' kepala.

"Cukup sekadar beritahu pesakit kanser yang mereka tahu mengenai penyakit yang dihidapi dan doakan mereka diberi kekuatan serta kesembuhan sepenuhnya," katanya. 

Tiada air mata, fokus kembali sihat!

Bagaimanapun saat dimaklumkan doktor dia menghidap kanser, Salina memberitahu tiada setitis air mata jatuh ke wajahnya sebaliknya hanya mampu tersenyum mendengar perkhabaran itu.

Malahan, wanita yang berpengalaman lebih 26 tahun dalam bidang kewartawanan itu memujuk hatinya supaya tidak bersedih, tetapi menganggap ia ujian Yang Esa bagi menguatkan dirinya.

"Hari ini kalau kita lihat kanser dah seperti penyakit darah tinggi, diabetes yang jadi kebiasaan. Kalau ke hospital memang penuh pesakit kanser di wad... daripada orang tua sehinggalah golongan muda.

"Kanser itu wujud cumanya kita tidak tahu siapa akan kena. Pada saya tiada sebab untuk menangis meratap dan mempersoalkan nasib diri sendiri. Dah nak kena, tak boleh buat apa... kena terima sahajalah, memang kena terima!

"Lebih baik saya fokus bagaimana untuk kembali sihat dan menjalani rawatan sebaik mungkin," katanya.

Salina kini sedang menjalani rawatan radioterapi dan kimoterapi. Foto SYAMIMI ZAINAL

Pendarahan tidak berhenti ketika mendaki Gunung Kinabalu

Berkongsi kisah penyakit kanser yang dihidapinya, Salina berkata, dia mula berasa sesuatu tidak kena apabila kitaran haidnya tidak berhenti sejak September hingga Oktober tahun lalu.

Meskipun bimbang dengan keadaan dirinya, ibu kepada dua gadis itu berkata, dia tetap meneruskan misi menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah yang telah dirancang lebih awal.

"Sebelum mendaki Kinabalu sempat saya bertanya kepada seorang kenalan yang juga pakar sakit puan mengenai masalah saya dan dia beritahu ia mungkin berpunca daripada perubahan hormon atau senario paling buruk adalah kanser.

"Mendengarkan penjelasannya itu, saya sudah mempersiapkan mental untuk situasi terburuk dan membuat temu janji pemeriksaan lanjut sebelum berangkat ke Kota Kinabalu.

"Alhamdulillah walaupun masalah pendarahan tak berhenti saya teruskan misi dan berjaya menawan Gunung Kinabalu tanpa sebarang masalah," ujarnya.

Terlalu banyak perkara yang ingin saya lalui dalam hidup ini. Alhamdulillah anak-anak adalah kekuatan saya dan InsyaAllah saya mahu lihat mereka berkahwin dan berjaya dalam hidup.

SALINA ABDULLAH 

PEJUANG KANSER 

Sekembalinya ke Kuala Lumpur dia terus melakukan biopsi dan pemeriksaan imbasan (CT scan) bagi mengetahui punca pendarahan tersebut dan seperti dijangka ia adalah kanser.

Salina ketika menunggu untuk dibedah buat kali kedua, wanita yang sentiasa ceria sepanjang tempoh menjalani rawatan.

Enggan menunggu lama, Salina membuat keputusan untuk melakukan pembedahan bagi membuang tumor di bahagian servik serta sistem peranakannya bagi mengelakkan sel kanser merebak ke tempat lain.

"Beberapa hari selepas disahkan menghidap kanser servik, saya terus dibedah dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kini sedang menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi," jelasnya.

Anak-anak kekuatan Salina

Salina yang juga ibu tunggal memberitahu ketabahannya melawan kanser demi dua anak perempuannya iaitu Nurul Liana Irfan Ramli, 25 dan Nurul Hana Irfan Ramli, 20.

Katanya, dalam fikirannya hanya mahu kembali sihat dan ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam kehidupan mereka, mendirikan rumah tangga dan bermain dengan cucu suatu hari nanti.

"Terlalu banyak perkara yang ingin saya lalui dalam hidup ini. Alhamdulillah anak-anak adalah kekuatan saya dan InsyaAllah saya mahu lihat mereka berkahwin dan berjaya dalam hidup.

Kekal positif... Salina (tengah) yakin dapat melawan kanser dihidapinya dengan sokongan dua anaknya.

"Sebab itu saya sentiasa ceria dan tidak mahu melayan perasaan sebaliknya saya yakin penyakit ini ada penawarnya dan boleh sihat seperti sedia kala," katanya yang mengucapkan terima kasih atas kasih sayang dan sokongan tidak berbelah bahagi anak-anak, keluarga, sahabat dunia akhirat serta semua kenalannya.

Bersempena Hari Kanser Sedunia 2020, mesej Salina kepada mereka yang sedang berjuang melawan kanser sepertinya, supaya mereka tidak berasa takut atau sedih kerana dipilih untuk menghidap penyakit itu.

Sebaliknya katanya, seseorang itu perlu terima dengan positif serta memfokuskan kepada rawatan bagi menghalang ia terus merebak dengan cepat.

"Ramai beranggapan kanser itu tiada ubat dan pengakhiran cerita penderitanya adalah kematian... Ajal dan maut itu bukan kuasa kita. Ada yang meninggal kerana batuk atau demam sahaja.

"Paling penting kita kena percaya bahawa setiap penyakit ada ubatnya. Sebagai manusia kita kena ikhtiar dan jangan mudah berputus asa untuk kembali sihat," katanya.

kanser, Salina Abdullah, servik

Artikel Lain