"KALAU komer nak balik juga dipersilakan... buat khemah di luar pagar!," - Itu WhatsApp gurauan dikirimkan oleh ibu teman dalam grup keluarga apabila kami adik-beradik meluahkan rasa sedih tidak dapat pulang ke kampung tahun ini. Bunyinya mungkin melucukan tetapi jauh di sudut hati, teman tahu ibu teman tidak mahu anak-anaknya berasa sedih kerana tidak dapat pulang berhari raya. Tetapi itulah hati seorang ibu, dalam apa juga keadaan pasti mahu menyenangkan hati anak-anaknya walaupun mungkin perasaannya sendiri tersentap tidak dapat berkumpul seperti mana sebelum ini.ARTIKEL BERKAITAN: Komer tahu ke... Ramai tak senang duduk dek 'The World of Married', kalau layan FB 'Masak Apa Tak Jadi Hari Ni' jangan serius sangat! Teman percaya, bukan teman sahaja yang berasa sedih tetapi semua juga berasa begitu - bukan kerana tidak dapat menyarungkan baju baharu atau menikmati rendang serta lemang tetapi di hari istimewa ini, pasti terkenangkan ibu bapa yang berada di kampung. Perasaan sayu dan hiba sudah tentu akan menyelubungi kita pada pagi Aidilfitri nanti kerana tidak dapat mencium tangan ayah dan bonda bagi memohon keampunan daripada mereka. Suasana yang bakal kita rindukan di kampung halaman. Namun ini hakikat yang perlu kita telan kerana kita masih belum menang dalam menumpaskan wabak Covid-19 yang belum berkesudahan. Malah teman percaya, pengumuman kerajaan tidak membenarkan kita pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya sudah dijangka selepas kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei hingga 9 Jun depan. Cumanya, perasaan sedih itu tidak boleh dibendung. Seperti teman sendiri, tidak terbayang rasanya bagaimana berhari raya seorang diri di ibu kota namun arahan perlu kita patuhi agar negara dapat pulih seperti sediakala daripada cengkaman Covid-19. Kita semua perlu memainkan peranan dalam hal ini malah teman percaya kita semua boleh mengharungi waktu sukar ini apatah lagi kita telah pun membuktikan pada tiga fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Angka jangkitan bukan sahaja menurun seperti diharapkan malah ketika ini sudah banyak kawasan di seluruh Malaysia kembali kepada zon hijau - itu semua bukan sahaja usaha barisan hadapan dalam memerangi wabak itu tetapi juga usaha kita semua membantu kerajaan memastikan negara kembali pulih. Jika kita bersabar dan mematuhi saranan kerajaan, suasana begini pasti dapat kita rasai pada Aidilfitri akan datang. Tetapi kita masih belum menang dan masih ada pengorbanan yang perlu kita lakukan termasuklah tidak pulang berhari raya di kampung pada tahun ini. Pasti kita semua ingat bagaimana kes seorang individu yang tidak menyedari sudah dijangkiti Covid-19 pulang ke kampung halaman untuk menyambut Tahun Baharu Cina dan telah menyebarkan virus itu kepada ahli keluarganya. Itu belum lagi seperti kes di luar negara apabila seorang inidividu yang dijangkiti tetapi tidak bergejala menghadiri perhimpunan keluarga. Akibatnya, tujuh individu disahkan positif manakal empat daripada mereka maut termasuk ibu dan tiga anaknya. Mahukah kita menjadi seperti contoh kes yang teman sebutkan itu? Teringat teman pada kata-kata abang sulung teman yang memberitahu jika kita sayangkan ibu bapa, tidak pulang ke kampung dan mendengar saranan kerajaan adalah tanda kasih sayang pada mereka. Kita mungkin tidak rasa bukan pembawa virus (minta dijauhkan) tetapi pencegahan itu adalah lebih baik daripada mengubati. Janganlah kita terlalu ikutkan perasaan sedih sehingga sanggup melanggar arahan yang telah dikeluarkan semata-mata ingin pulang ke kampung menyambut hari raya. Anggaplah beraya di bandar atau seorang diri seperti teman adalah pengalaman berharga dan cuba positifkan diri sendiri agar Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi menjadi sesuatu bermakna kepada diri kita. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!