MENGUCAP panjang teman tengok gambar sampah sarap yang bertaburan di kawasan pantai Port Dickson yang tular di laman sosial baru-baru ini. Tong sampah yang disediakan nampaknya seperti halimunan dan ada di antara kita memilih untuk tetap membuang sampah di tempat tidak sepatutnya. Melihat daripada gambar-gambar tersebut sudah cukup buat darah teman mendidih mengenangkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat Malaysia.ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 makin samar bukan tiket berjoli... jadilah ‘kedekut’ sikit, 10 sen pun kini bernilai! Apa sudah jadi dengan rasa bangga dan insaf kita sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila melihat alam sekitar 'pulih' daripada pencemaran yang disebabkan tangan manusia? Lampin yang ditinggalkan merata tempat tanpa sebarang rasa bersalah. Tidakkah sepanjang tempoh 'berkurung' itu kita belajar sesuatu daripadanya? Cepat benar kita lupa diri apabila kembali dapat nikmat yang 'ditarik' sebelum ini. Apa kita sudah lupa dengan langit membiru, udara segar yang kita hirup atau sungai yang menjernih sehingga boleh nampak dasarnya? Situasi dan pemandangan serupa turut berlaku di seluruh dunia membuatkan kita berasa kerdil dan insaf betapa jahatnya tangan kita yang mencemarkan alam. Sekarang apa sudah jadi? Dalam musibah menimpa kita, ada hikmah ditunjukkan terhadap alam sekitar kita. Semua rasa kagum dan insaf - tapi nampaknya perasaan itu yang dibuang ke dalam tong sampah. Jenuh teman fikir, apa dalam fikiran golongan ini yang tanpa rasa segan silu membuang sampah merata-rata? Apa susah benar ke nak jaga kebersihan? Sudah kenyang makan ayam goreng, bekasnya dibuang merata-rata. Teman terfikir, adakah golongan ini buat perkara sama di rumah mereka? Atau memang mereka hidup dalam timbunan sampah? Ada juga teman terbaca menyalahkan pihak berkuasa tempatan kononnya gagal menyediakan tong sampah mencukupi yang menjadi penyebab kepada situasi itu. Tidak kurang juga ada secara sinis mengatakan jika tiada sampah maka petugas pembersihan akan 'goyang kaki' tiada kerja untuk dibuat. Apa punya pemikiran tu? Tapi apa pula peranan kita? Pada teman senang, semua sedia maklum pengunjung akan membanjiri Port Dickson dan sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, apa salahnya bawa plastik sampah dari rumah. Pemandangan yang menyakitkan mata. Jika tidak pun, bungkus semua sampah anda dan bawa balik dan 'longgokan' dalam rumah sendiri! Menunding jari ke arah orang lain bukan penyelesaian kepada masalah. Pada akhirnya, ia berbalik kepada sikap kita sendiri. Orang lain tak dapat corakkan diri kita, melainkan diri kita sendiri. Bak kata perumpamaan, 'satu jari menuding kesalahan orang, tiga jari terlipat menuding diri sendiri'. Tiada siapa marah hendak ke Port Dickson atau ke mana sahaja, pergilah setiap hari pun tetapi tolonglah jaga kebersihan. Tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dan orang sekeliling kita. Seperti wabak Covid-19 yang sedang melanda kita, hanya seorang pun dah boleh menjangkiti ramai orang lain. Sama juga halnya dengan perbuatan membuang sampah merata-rata. Daripada situasi yang berlaku, nampaknya sikap tak peduli dan 'ada aku kesah' kembali menebal dalam diri segelintir daripada kita. Tak malu ke? Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!