suria

Malas cuci topeng muka kain? Awas wajah ‘dimakan’ kulat dan bakteria

Topeng muka kain memang cantik dan lebih menjimatkan tetapi awas jika ia tidak dibasuh dengan kerap!

MESKIPUN kes Covid-19 semakin berkurangan dan Malaysia dalam fasa pemulihan, topeng muka telah menjadi aksesori wajib setiap kali keluar rumah sebagai langkah keselamatan melindungi diri daripada wabak berbahaya itu.

Sebagai langkah penjimatan, ramai daripada kita kini lebih gemar membeli topeng muka yang diperbuat daripada kain tetapi ada yang tidak mengambil berat tentang isu kebersihan dan mengulang pakai tanpa mencucinya.

Topeng muka kain bukan sahaja penyebab jangkitan pada kulit, malah kombinasi di antara udara panas, lembab serta topeng muka yang ketat dan kotor boleh menyebabkan tumbuhnya kulat mahupun bakteria.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas, jangan 'syok' sangat korek telinga!

Jangkitan kulat yang menyebabkan kegatalan pada kulit muka ini dikenali sebagai candida.

"Ia boleh berlaku jika topeng muka yang digunakan tidak pernah dicuci ditambah dengan udara panas dan lembab membuatkan kulat ini senang membiak," kata Pakar Dermatologi, Susan Massick.



Topeng muka kain memang cantik tetapi amat penting menjaga kebersihannya.

Susan memberitahu jenis jangkitan kulat pada wajah paling umum adalah dermatitis seboroik yang ditemui pada bahagian kelenjar minyak wajah.

"Jangkitan ini akan memfokuskan pada bahagian hidung, kening dan sekitar telinga. Ia akan menyebabkan ruam kemerahan atau sedikit kekuningan dan berminyak," katanya lagi.

Menggunakan topeng muka selama berjam-jam turut meningkatkan risiko jangkitan dan bagi mencegahnya, buka topeng muka jika berada di kawasan tidak ramai orang.

"Cara ini boleh mengurangkan rasa panas, berpeluh, lembap dan meningkatkan pengaliran udara. Sekaligus mengurangkan risiko jangkitan kuman," ujarnya.

Pesan Susan, jika menggunakan topeng muka kain, sebaik-baiknya ia dicuci dengan kerap dan menukar yang baharu setiap hari.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain