suria

Beras perang memang bagus untuk pesakit diabetes tetapi awas boleh jadi bahaya jika...

Benarkan beras perang lebih baik untuk pesakit diabetes?

RAMAI pesakit diabetes mengelak menjamah makanan berkarbohidrat terutamanya nasi putih kerana bimbang akan meningkatkan kandungan glukosa dalam darah.

Pesakit perlu berhati-hati dalam aspek pemakanan kerana untuk memastikan paras gula dalam darah akan sentiasa terkawal dan menghindari risiko masalah diabetes menjadi lebih kronik.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahaya luka kaki pesakit diabetes... kalau kena potong jangan putus asa!

Atas sebab itu juga ramai pula beralih kepada beras perang yang dikatakan lebih berkhasiat dan rendah karbohidrat berbanding nasi putih. Namun benarkah beras perang lebih baik untuk pesakit diabetes?



Dr. Clement Limus Apong.

Menurut Pakar Penjagaan Luka dan Hyperbaric, Leftenan Kolonel (B) Dr. Clement Limus Apong, beras perang secara dasarnya adalah sama dengan beras biasa namun kandungan indeks glisemiknya lebih rendah iaitu sekitar 50.

Bukan sahaja indeks glisemik rendah, kandungan serat dalam beras perang juga agak banyak berbanding beras putih serta kaya dengan serat serta vitamin B6.

"Beras perang adalah pilihan lebih baik berbanding beras putih kerana kandungan indeks glisemiknya yang lebih rendah dan tidak mengganggu paras gula dalam darah.

"Ini disebabkan kandungan serat di dalamnya mampu menghalang pembebasan glukosa ke dalam darah," katanya.



Beras perang memang lebih berkhasiat tetapi ia perlu diambil dalam jumlah yang sederhana.

Bagaimanapun kata Dr. Clement, beras perang boleh menjadi makanan yang berbahaya kepada pesakit diabetes jika ia diambil tanpa kawalan.

Jelasnya, meskipun ia lebih sihat namun pesakit perlu memberi perhatian kepada saiz hidangan memandangkan ia masih dalam kumpulan karbohidrat.

"Ramai beranggapan bahawa beras perang rendah indeks glisemik dan tidak bahaya kepada pesakit diabetes membuatkan mereka makan lebih banyak berbanding nasi putih.

"Apabila ini berlaku, kesannya tetap sama seperti mana anda makan nasi putih. Jadi sebab itu sangat penting menjaga pengambilan sesuatu makanan," jelasnya.



Pesakit diabetes perlu menjaga kandungan gula dalam darah.

Sementara itu, Dr. Clement turut menyarankan selain nasi, pesakit boleh mencuba hidanga karbohidrat yang lain seperti roti, pasta, kentang dan sebagainya.

Di samping itu, pesakit juga harus menitikberatkan pengambilan sayur-sayuran dan protein seperti tofu, ayam, ikan bagi menyeimbangkan diet.

"Jika hari ini makan nasi, kurangkan saiznya dan lebihkan sayur-sayuran serta protein dalam diet atau gantikan dengan karbohidrat lain sebagai menukar selera.

"Amat penting untuk pesakit menjaga diet mereka termasuk mengawal pengambilan gula tambahan dalam makanan bagi mengelakkan peningkatakan glukosa dalam darah secara mendadak," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain