suria

Jangan ingat diri kebal! Kajian dapati golongan muda lebih banyak dijangkiti Covid-19

Golongan muda juga tidak terlepas daripada dijangkiti Covid-19.

MESKIPUN warga emas adalah kelompok paling berisiko dijangkiti Covid-19 namun satu laporan terbaharu menyebut, golongan muda juga tidak terlepas daripada virus berbahaya itu.

Laporan daripada Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) melakukan analisis daripada 50 buah negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Hentikanlah salam penumbuk, ia juga boleh jadi penyebab penyebaran Covid-19 tanpa disedari

Hasil kajian itu mendapati 20 peratus jangkitan Covid-19 dari bulan Mac hingga Ogos berlaku kepada kelompok berusia 20-29 tahun dan angka itu lebih tinggi berbanding kumpulan usia yang lain.

CDC juga melaporkan pada bulan Mei, data menunjukkan rata-rata pesakit dalam lingkungan usia 46 tahun manakala pada Ogos ia menurun pada usia 38 tahun.

Beberapa negeri di Amerika seperti Florida, Arizona, Texas dan Louisiana menunjukkan lonjakan besar kes Covid-19 dalam kalangan orang muda sepanjang musim panas yang kebanyakannya berkaitan dengan aktiviti pesta.



Kajian menunjukkan 20 peratus daripada pesakit Covid-19 di Amerika dan Eropah adalah golongan muda berusia 20 hingga 29 tahun.

Malah di Eropah sebelum ini purata usia pesakit yang dijangkiti virus itu adalah 54 tahun daripada Januari hingga Mei, menjadi 39 tahun pada Jun dan Julai.

Penurunan itu juga bersamaan dengan 20 peratus kes melibatkan mereka berusia 20-29 tahun dan kelompok terbesar sama seperti di Amerika.

Pakar Kesihatan Universiti Johns Hopkins, Dr Amesh Adalja memberitahu beliau tidak terkejut dengan data terbaharu itu malah sudah menjangkakan perubahan demografi tersebut.

Ini kerana kata Dr Amesh, golongan muda lebih cenderung untuk terdedah dan terlibat dalam perilaku berisiko apabila merasakan diri mereka kebal daripada serangan Covid-19.

"Meskipun risiko mereka tenat akibat Covid-19 atau kematian rendah namun itu bukan bererti mereka tidak dapat menularkannya kepada orang lain," katanya.

Selain itu, orang muda berusia sekitar 26 tahun dianggap sebagai 'long-haulers' atau berpotensi mengalami kesan sampingan jangka panjang meskipun selepas pulih daripada wabak itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain