PERIMENOPAUSE adalah peralihan yang dialami wanita ketika memasuki fasa menopause dan kebiasaannya ia menjadi tempoh mencabar bagi golongan ini. Simptom yang muncul daripada perubahan hormon boleh bermula lapan hingga 10 tahun sebelum menopaus. Tanda-tandanya berbeza bagi wanita, daripada perubahan perasaan kepada hot flashes, kekeringan faraj, inkontinens urin dan insomnia. Keadaan ini selalunya bermula ketika seseorang wanita berada dalam lingkungan umur 40-an dan menambahkan lagi kesengsaraan ialah hakikat berat badan wanita juga boleh bertambah dengan mudah serta sukar untuk diturunkan terutamanya pada bahagian tubuh tertentu.ARTIKEL BERKAITAN: Kanser serviks ketiga tertinggi dalam kalangan wanita, ujian HPV dan vaksin boleh kurangkan risiko Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Norazlina Mohd Yusof berkata, risiko penyakit jantung juga meningkat dengan ketara ketika tempoh peralihan ini sebelum menopause berlaku. Kata Dr Norazlina, secara global, penyakit jantung kekal menjadi penyebab utama kematian dalam kalangan wanita pada setiap tahun dan meragut nyawa wanita lebih dua kali ganda berbanding gabungan semua jenis kanser. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menunjukkan penemuan yang sama.Namun, tinjauan antarabangsa menunjukkan 87 peratus daripada wanita tidak sedar tentang perkara ini. Perubahan perasaan kepada hot flashes, kekeringan faraj, inkontinens urin dan insomnia antara simptom biasa dialami wanita sebelum menopause. “Jika terdapat empat orang wanita yang menghidapi kanser, lapan akan meninggal dunia akibat penyakit jantung,” katanya. Menurut statistik, peningkatan risiko adalah lebih kurang tiga hingga 10 peratus lebih tinggi dalam kalangan wanita yang melalui perimenopaus berbanding selepas menopaus. “Ketika fasa ini, tahap estrogen akan mula menurun. Apabila ini berlaku, seseorang wanita akan kehilangan kesan perlindungan estrogen dan hal ini bermakna tekanan darah dan tahap kolesterol mungkin meningkat. Tekanan darah atau hipertensi adalah satu-satunya faktor risiko tertinggi untuk serangan jantung dan strok,” katanya. Dalam fasa itu kata Dr Norazlina, ramai gagal untuk memberi perhatian kepada sesetengah simptom penyakit jantung dan tidak merujuk kepada pengamal perubatan. Dr NorAzlina, yang juga Ketua Klinikal Perkhidmatan Perubatan dan Ketua Klinikal bagi Kardiologi berkata simptom-simptom yang terdapat pada wanita adalah berbeza berbanding lelaki – oleh sebab itulah wanita sering dirujuk kepada pakar kardiologi dalam keadaan terlalu lewat untuk rawatan. Katanya, simptom bagi wanita bersifat atipikal manakala lelaki lebih cenderung untuk mengalami sakit pada bahagian tengah dada manakala wanita pula mengalami simptom seakan-akan flu seperti pening kepala, kelesuan dan sakit di bahagian perut. Ini katanya boleh mengakibatkan kesilapan diagnosis seperti sakit perut biasa. Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Norazlina Mohd Yusof. "Semua ini sering dihubung kait dengan simptom menopause dan apabila mereka pergi berjumpa dengan pakar kardiologi, mereka mungkin telah mengalami serangan jantung (sebarang kejadian yang mungkin menyebabkan kerosakan kepada otot jantung). "Wanita akhirnya sering mengalami kegagalan jantung disebabkan kesilapan diagnosis dan tanpa rawatan, 50 peratus akan meninggal dunia dalam tempoh dua tahun. Malangnya, data klinikal masih tidak mampu untuk menentukan sebab-sebab mengapa kedua-dua jantina memaparkan simptom-simptom yang berbeza," tambahnya. Sementara itu, Dr Norazlina menjelaskan terdapat beberapa keadaan sedia ada dan faktor-faktor genetik yang mampu meningkatkan lagi risiko wanita untuk penyakit jantung. “Jika seseorang itu mempunyai penyakit jantung dalam sejarah keluarga, walaupun jika mereka tidak mempunyai simptom, saya menekankan bahawa mereka perlu melakukan pemeriksaan kesihatan. Penyakit jantung dalam kalangan wanita bermula pada usia 40 tahun – tidak semestinya hanya ketika tempoh perimenopaus walaupun risikonya meningkat ketika itu," jelasnya. Apabila merawat penyakit jantung, Dr Norazlina memberitahu terdapat dua set faktor risiko – kumpulan tidak boleh diubah yang terdiri daripada faktor termasuk sejarah keluarga dan umur, dan kumpulan risiko boleh diubah yang berada di bawah kawalan seseorang individu seperti mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan berhenti merokok dan meminum minuman keras. Risiko penyakit jantung juga meningkat dengan ketara ketika tempoh peralihan ini sebelum menopause berlaku. "Saya amat mengesyorkan wanita untuk mula melakukan pemeriksaan darah secara berkala apabila mereka mencecah usia 40 tahun untuk mengenal pasti jika adanya sebarang faktor risiko yang boleh diubah seperti hipertensi, tahap kolesterol, diabetes, tabiat merokok dan pengambilan alkohol yang berlebihan," katanya lagi.Penyempitan arteri Dr Norazlina menjelaskan terdapat pelbagai jenis penyakit jantung tetapi penyakit koronari arteri (CAD) yang menyebabkan serangan jantung kekal menjadi pembunuh nombor satu. CAD katanya berlaku apabila saluran darah utama yang membekalkan jantung menjadi rosak atau berpenyakit akibat deposit yang mengandungi kolesterol (plak) di dalam arteri koronari. Oleh sebab arteri koronari membekalkan darah, oksigen dan nutrien kepada jantung, pengumpulan plak boleh menyempitkan laluan di dalam arteri, lalu menyebabkan keradangan dan mengurangkan aliran darah ke jantung. "Proses ini tidak berlaku semalaman tetapi pada jangka masa panjang. Pengurangan aliran darah boleh mengakibatkan kesakitan pada bahagian dada (angina), sesak nafas atau tanda-tanda dan simptom-simptom CAD yang lain. Apabila berlaku penyumbatan yang lengkap, keadaan ini akan mengakibatkan serangan jantung. Wanita disarankan untuk berjumpa dengan doktor sekiranya terdapat sebarang perubahan pada diri mereka. "Satu lagi keadaan yang dihidapi oleh kedua-dua lelaki dan wanita adalah penyakit yang melibatkan injap jantung seperti penyakit jantung reumatik yang boleh berpunca daripada demam reumatik (penyakit keradangan yang mampu menjejaskan jantung, sendi, kulit atau otak) – dan membawa kepada kemungkinan penyempitan atau kebocoran injap jantung," jelasnya. Selain itu katanya, penyakit jantung hipertensi adalah sejenis lagi penyakit jantung di mana hipertensi tidak terkawal yang berpanjangan menyebabkan kegagalan jantung selain ia mengembang. Mengenai sama ada terapi penggantian hormon (HRT) memberi manfaat kepada jantung, Dr NorAzlina berkata bahawa pendapat tentang perkara ini sentiasa berubah. "Walaupun kajian awal melaporkan risiko berlebihan dengan terapi estrogen – progestin, bukti pada masa ini mengesyorkan bahawa risiko penyakit jantung koronari dilihat dalam kalangan wanita selepas menopaus yang lebih tua ataupun yang telah melalui menopaus untuk tempoh lebih dari 10 tahun. "Namun terdapat peningkatan risiko yang kecil tetapi ketara untuk tromboembolisma vena (darah beku di dalam vena). Bagaimanapun, risiko bagi wanita pasca menopause yang sihat adalah rendah," ujarnya. Wanita perlu mengamalkan diet seimbang dan gaya hidup sihat. Dr Norazlina memberitahu terdapat dua jenis HRT – satu jenis di mana terdapat estrogen sahaja dan jenis lain yang mengandungi campuran estrogen dan progesteron. HRT adalah berguna bagi wanita yang sedang melalui menopaus dan mengalami kesakitan tulang yang teruk atau mempunyai peningkatan risiko untuk patah tulang (akibat penurunan estrogen). "Dalam kes sebegini, HRT yang merupakan campuran antara estrogen dan progesteron digalakkan namun, dalam kes di mana wanita tidak memaparkan tanda-tanda yang sedemikian, HRT dengan estrogen sahaja adalah digalakkan. "Situasi lain di mana HRT tidak patut dilakukan adalah apabila seseorang wanita telah menghidapi kanser payu dara kerana majoriti sel kanser payu dara bergantung kepada estrogen di mana sel kanser tersebut tumbuh sebagai tindak balas terhadap estrogen," jelasnya. Dari segi pemakanan, Dr NorAzlina berkata peraturan asas adalah untuk mengurangkan gula (termasuk madu), karbohidrat halus dan makanan segera. "Makanan kaya dengan serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan digalakkan. Namun, penting untuk diingati bahawa buah-buahan manis juga mengandungi gula–dalam bentuk fruktos. Jadi, wanita haruslah mengurangkan pengambilan buah-buahan yang sangat manis seperti durian," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!