AIR menghilangkan dahaga ketika kita berasa haus disebabkan cuaca panas, melakukan kerja-kerja berat dan sebagainya.
Bagaimanapun, bagaimana jika kita terus menerus rasa dahaga meskipun sudah minum air putih dalam jumlah yang banyak?
ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang menghidap darah tinggi... Elak 5 tabiat penyebab hipertensi
Hati-hati, tubuh anda mungkin sedang memberi petanda tertentu.
1. Mulut kering
Mulut yang terasa kering boleh menyebabkan kita berasa haus. Dalam dunia perubatan ia dikenali sebagai xerostomia.
Ketika seseorang mengalami xerostomia, kelenjar tubuh tidak menghasilkan air liur yang cukup untuk membuatkan mulut berada dalam keadaan basah.
Kebiasaannya mulut kering berlaku pada orang yang menjalani kimoterapi, pengambilan ubat-ubatan tertentu, merokok atau kesan daripada peningkatan usia.
Kesannya, mulut akan jadi berbau dan mereka yang mengalami masalah ini dinasihatkan untuk lebih kerap minum air.
2. Diabetes
Bagi penderita penyakit diabetes, glukosa biasanya menumpuk di dalam darah sekali gus memaksa buah pinggang untuk bekerja lebih keras bagi menyerap glukosa.
Ketika ginjal tidak dapat lagi mengimbangi glukosa, maka individu itu akan mengeluarkan lebih banyak air kencing daripada kebiasaannya sekali gus membuatkan rasa haus.
Bagaimanapun itu bukan satu-satunya gejala diabetes sebaliknya terdapat perkara lain yang perlu diambil perhatian.
3. Anemia
Individu yang mengalami anemia berjuang untuk menghasilkan sel darah merah sihat sehingga tubuh perlu berjuang mendapatkan oksigen diperlukan.
Ketika keadaan pesakit memburuk, ia akan meningkatkan rasa haus berserta gejala lain seperti tubuh lemah dan mudah letih.
Kehilangan sel darah merah yang lebih cepat akan membuatkan rasa haus.
4. Diet rendah karbohidrat
Apabila kita melakukan diet rendah karbohidrat seperti keto, biasanya pengamalnya akan berasa lebih haus dan itu adalah kesan sampingan biasa.
Ini kerana apabila karbohidrat dikurangkan secara signifikan, glikogen akan habis dan setiap gram daripadanya mempunya tiga gram air.
Situasi itu berlaku apabila metabolisme badan perlu membiasakan diri dengan perubahan elektrolit dan keseimbangan cecair dalam tubuh.
5. Banyak bersukan
Jika seseorang terlalu aktif bersukan, maka tubuh memerlukan lebih banyak air memandangkan ia keluar melalui peluh.
Pakar turut menyarankan untuk minum air 15 minit sebelum bersukan dan kemudian minum sekitar 230 ml air setiap 20 minit agar tubuh tetap terhidrasi.
Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!