suria

Pernah alami sakit tekak ketika bangun tidur? Ketahui sebab dan cara mengatasinya

Terdapat pelbagai punca seseorang mengalami sakit tekak di waktu pagi.

PERASAN tak adakalanya apabila bangun tidur, tekak akan terasa kering. Secara umumnya, penyebab sakit tekak pada waktu pagi disebabkan cuaca sejuk.

Bagaimanapun terdapat beberapa situasi lain yang menjadi penyebab tekak kering ketika bangun tidur.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakitnya memang merengsakan... Ini 5 makanan penyebab serangan migrain

Berikut adalah beberapa penyebab kepada situasi itu dan cara mengatasinya.

1. Dehidrasi

Tekak terasa kering boleh disebabkan tanda anda kurang minum air. Ketika dehidrasi, penghasilan air liur menjadi berkurangan. Air liur berfungsi untuk melembapkan mulut dan tekak.

Selain menyebabkan air liur kering, dehidrasi juga dapat menyebabkan mulut kering, haus, air kencing berwarna gelap dan berasa pening kepala.

Oleh sebab itu, pastikan pengambilan air putih mencukupi selain menghindari pengambilan minuman bergula dan berkafein seperti kopi, teh dan air berkarbonat yang boleh menyebabkan lebih kerap membuang air kecil.



Pengambilan ubat-ubatan dan gaya hidup dapat membantu melegakan sakit tekak.

2. Tidur mulut terbuka

Jika anda kerap merasakan mulut dan tekak terasa kering ketika bangun tidur, cuba perhatikan kebiasaan tidur anda. Boleh jadi penyebabnya kerana anda sering tidur dengan mulut terbuka.

Kebiasaan itu boleh membuatkan air liur yang menjaga kelembapan mulut menjadi kering. Tidak hanya itu, ia boleh menyebabkan mulut berbau, kelesuan kerana gangguan tidur, berdengkur dan nafas terhenti ketika tidur.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sekiranya penyebab anda tidur dengan mulut terbuka disebabkan demam atau selesema, pastikan sebelum itu anda mengambil ubat. Bagi yang mengalami masalah tidur seperti berdengkur dan sleep apnea, sebaik-baiknya berjumpalah dengan doktor untuk menyelesaikan masalah itu.

3. Gastrik

Masalah gastrik atau gastroesophageal reflux disease (GERD) juga boleh menjadi penyebab tekak kering. Selain itu, gejala biasa GERD adalah rasa sakit di perut sampai ke dada (heartburn), sukar menelan, batuk kering, sendawa berasid dan suara menjadi serak.

Pesakit gastrik perlu memastikan mengambil ubat untuk menuetralkan dan mengurangkan masalah itu selain menggunakan bantal yang lebih tinggi ketika tidur.

Ini bagi memastikan asid yang terhasil tidak kembali naik ke kerongkong dan tekak yang menyebabkan rasa tidak selesa dan ingin muntah.

4. Keradangan tekak

Radang tekak adalah jangkitan utama disebabkan oleh bakteria. Penyakit ini membuatkan tekak menjadi kering dan terasa sakit untuk menelan. Cara paling baik mengatasinya adalah dengan mengambil ubat batuk serta antibiotik.

Selain ubatan, pesakit boleh berkumur dengan larutan air suam dan garam untuk mengurangkan rasa tidak selesa di tekak.

5. Tonsil

Tonsilitis adalah jangkitan tonsil disebabkan oleh virus ataupun bakteria. Ketika tonsil membengkak, seseorang akan mengalami tekak kering, demam, kelenjar berlebihan, suara serak, bau mulut dan sakit kepala.

Cara mengatasi tekak kering disebabkan masalah tonsil adalah pesakit perlu merujuk kepada doktor untuk mendapatkan ubat-ubatan tertentu. Dalam kes tertentu, doktor biasanya akan menasihatkan agar tonsil dibuang.

6. Mononukleosis

Mononukleosis atau mono adalah penyakit yang disebabkan oleh virus. Penyakit ini menular menerusi percikan air liur. Salah satu gejala khas mono adalah tekak menjadi gatal dan kering.

Cara mengatasi masalah ini biasanya memerlukan pesakit mendapat rehat secukupnya selain mengamalkan pemakanan sihat bagi melawan virus.

Bagaimanapun, adalah lebih baik berjumpa dengan doktor ketika gelajanya berubah menjadi sukar menelan, sesak nafas, mengalami ruam, sakit dada serta demam.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain