PADA hari temu janji untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, Ketua Jabatan Perubatan International Medical University (IMU), Prof Dr James Koh Kwee Choy tiba setengah jam lebih awal. Seperti biasa semua SOP ditetapkan dipatuhi - kod QR diimbas, suhu badan diperiksa, tangan disanitasi, pelitup muka dipakai serta mengamalkan penjarakan sosial.ARTIKEL BERKAITAN: Kesannya mungkin lebih buruk... ini 4 gejala Covid-19 yang harus diberi perhatian pesakit diabetes Bersama penerima vaksin yang lain, beliau turut menunggu sehingga namanya dipanggil dan identiti disahkan. Kemudian, beliau perlu mendengar taklimat dan sesi kaunseling oleh seorang doktor yang berlangsung selama 10 minit. Sejarah perubatan masing-masing disemak – termasuklah status kesihatan. Ruang masa untuk soal-jawab diberikan. Hanya setelah doktor berpuas hati dan yakin beliau layak divaksin, borang persetujuan menerima vaksin Covid-19 dihulurkan untuk ditandatangani. "Ia satu proses yang agak panjang," katanya ketika mengimbau kembali pengalaman kali pertama menerima vaksin. Ramai sedang menunggu giliran untuk menerima vaksin. Namun kata Prof James, tempoh suntikan adalah sekejap dan tidak menyakitkan selain menyifatkan ia seperti gigitan semut. Keseluruhan proses itu mengambil masa sekitar dua jam, termasuk tempoh pengawasan doktor selepas menerima suntikan. "Mereka membuat pengawasan, sekitar setengah jam untuk memastikan tiada sebarang tindak balas serius seperti kejutan anaphylactic," tambahnya. Kesan sampingan setiap orang berbeza Menurut Prof James, kesan sampingan berlaku pada kadar yang berbeza-beza dan pada tahap yang sangat minimum. Berdasarkan pengalaman beliau, tempat suntikan terasa sakit dan bengkak, beliau sendiri terasa sedikit letih sepanjang tiga hari selepas menerima suntikan. Sementara itu, kesan sampingan suntikan kedua pula terasa lebih sakit berbanding suntikan sebelumnya dengan bahu kirinya membengkak, tubuh berasa letih dan kerap mengantuk. Tambanya, beliau turut mengalami bengkak kelenjar selama lebih seminggu. “Kali ini, saya mengambil paracetamol pada kadar diluluskan untuk mengurangkan rasa sakit, ” kongsinya. Meskipun terdapat beberapa hasil kajian menunjukkan satu dos masih mampu membekalkan perlindungan namun penting untuk seseorang mendapat kedua-dua dos bagi memastikan keberkesanannya. Prof Dr James Koh Kwee Choy Ketua Jabatan Perubatan IMU Prof James menjelaskan orang ramai tidak perlu risau tentang kesan sampingan kerana ia sesuatu yang sudah dijangkakan. Ia turut menunjukkan badan manusia sedang bertindak balas untuk menghasilkan antibodi. "Tetapi jangan pula bimbang sekiranya tidak mengalami apa-apa kesan sampingan. Itu bukan bermakna vaksin tidak berkesan sebaliknya anda dikira beruntung," katanya. Bagaimanapun, kita dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami kesukaran bernafas atau pening kepala yang melampau. Bersiap sedia, sentiasa amalkan gaya hidup sihat Ketika ini, kebanyakan rakyat Malaysia sedang menunggu giliran masing-masing dan ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjaga pemakanan, tidur yang cukup dan bersenam. Menjelaskan perkara itu, Prof James memberitahu pada asasnya manusia memang perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan sebetulnya tiada persiapan khusus ditetapkan sebelum menerima suntikan. Ketua Jabatan Perubatan IMU, Prof Dr James Koh Kwee Choy. Ini termasuk tiada sebarang amalan seperti berpuasa sebelum menghadiri temu janji dan sebaik-baiknya, makan sebelum ke pusat penerimaan vaksin dan bawa bekalan snek. "Bagaimanapun kita memang dianjurkan untuk berehat secukupnya sebab apabila menerima suntikan vaksin, tubuh seperti berada dalam medan peperangan. "Jadi apabila kita dapat rehat secukupnya, tubuh akan lebih bersedia menerima sebarang tindak balas berbanding ketika dalam keadaan letih. Jangan bimbang kalau anda tidak sihat, anda masih boleh menerima suntikan," katanya. Dos kedua dan keberkesanannya Menjelaskan mengenai dos kedua vaksin, Prof James menjelaskan ia akan diberikan selepas tiga minggu menerima suntikan pertama. Jelasnya, sekiranya seseorang tidak dapat hadir pada masa dan tarikh ditetapkan, ia boleh dijadualkan semula namun jangan biarkan jarak itu terlalu lama. Orang ramai dinasihatkan untuk datang awal ke pusat suntikan vaksin. "Meskipun terdapat beberapa hasil kajian menunjukkan satu dos masih mampu membekalkan perlindungan namun penting untuk seseorang mendapat kedua-dua dos bagi memastikan keberkesanannya," ujarnya. Tubuh manusia akan mula dilindungi daripada virus selepas dua minggu daripada suntikan kedua tetapi itu bukan bermaksud seseorang tidak terdedah kepada risiko jangkitan. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Anda masih boleh dijangkiti virus. Peranan vaksin bukanlah melindungi tubuh daripada virus tetapi mengurangkan tahap keseriusan jika berlakunya jangkitan Covid-19 yang boleh membawa kematian. "Sekiranya kita dijangkiti Covid-19 selepas menerima vaksin, jangkitan tersebut tidak seteruk seperti kebiasaannya. Sekiranya jangkitan itu sederhana, ia akan mengurangkan kadar kebolehjangkitan kepada pihak lain dan seandainya berlaku juga jangkitan, ia berlaku pada kadar lebih sederhana," jelasnya. Jalankan tanggungjawab anda, tanda sayang dan lindungi keluarga Bagi mencapai imuniti kelompok, 80 peratus populasi harus menerima vaksin. Ini bermakna sebilangan besar daripada anda mesti menerima suntikan vaksin, jelasnya. Dengan menggunakan analogi dalam sebuah peperangan, Prof James membayangkan keadaan sebuah kota yang dipertahankan oleh sejumlah rakyat yang melindungi kanak-kanak, orang sakit dan golongan tua. Suntikan vaksin boleh menyelamatkan keluarga dan masyarakat. "Jika kita lakukan bersama, kita pasti akan menang. Tapi sekiranya masing-masing cuba mengelak daripada berjuang, dan kita pula hanya mahu orang lain berjuang untuk kita, agak-agaknya apa yang akan berlaku?” soalnya. Bagaimana dengan mereka yang mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat? Menurut Prof James, tiada manfaatnya untuk menunggu. Imuniti kelompok mesti dicapai dengan kadar segera memandangkan virus juga akan terus bermutasi. Lebih cepat semua menerima vaksin, lebih sukar untuk virus bermutasi dalam komuniti masyarakat. Prof James juga menjelaskan salah faham mengenai jumlah penerimaan dua dos vaksin, sama ada ia memadai atau tidak. "Virus akan terus bermutasi dan kita perlu mendapatkan suntikan penggalak secara berkala. Maksudnya, sama ada anda mahu menunggu atau tidak, suntikan penggalak akan menjadi sebahagian daripada hidup kita untuk satu jangka masa tertentu pada masa hadapan. “Dapatkan vaksin, kerana kita bukan hanya melindungi diri kita, tapi turut melindungi orang lain, ” katanya. Prof James turut berkongsi beberapa tip persediaan pada hari temu janji suntikan vaksin. 1. Tiba awal untuk janji temu (sekitar satu jam setengah sebelum waktu janji temu) 2. Pilih pakaian yang longgar untuk memudahkan urusan suntikan vaksin pada bahagian bahu anda. 3. Bawa telefon bimbit bersama dengan ID MySejahtera dan Nombor Kad Pengenalan. 4. Hadiri taklimat dan pengesahan identiti. Anda akan diminta mengimbas kod QR beberapa kali dengan menggunakan aplikasi MySejahtera. 5. Satu sesi kaunseling ringkas akan disampaikan oleh doktor yang akan turut menyemak rekod sejarah perubatan serta masalah kesihatan yang dihadapi sebelum ini, seperti alergi dan lain-lain. 6. Selesai urusan tersebut, anda dikehendaki menandatangani borang persetujuan sebagai bukti persetujuan anda untuk divaksin. Ini hanya akan dilakukan sewaktu menerima dos pertama. 7. Anda akan menerima suntikan vaksin. Disarankan untuk menerima suntikan di tangan yang tidak selalu digunakan, kerana kebanyakan penerima vaksin mengalami rasa sakit dan lenguh di tempat suntikan. 8. Anda perlu berehat untuk diawasi pihak doktor dalam tempoh 30 minit, bagi melihat sekiranya terdapat kesan-kesan sampingan yang serius. 9. Anda akan menerima notifikasi dos kedua (dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas menerima suntikan pertama). Proses menerima dos kedua lebih pantas kerana tiada sesi taklimat atau kanseling. 10. Selepas menerima dos kedua, anda akan diberikan kad untuk mengesahkan yang anda telah menerima kedua-dua dos. Kad ini juga boleh didapati di aplikasi MySejahtera. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!