suria

Dah jadi tabiat baring selepas makan? Hati-hati... Ketahui risikonya jika anda masih lakukan amalan ini

Bahaya tidur sejurus selepas makan sering dipandang remeh lebih-lebih lagi jika masa untuk makan berhampiran waktu tidur pada waktu malam.

KITA sering memandang ringan kemungkinan berdepan risiko jika tidur sejurus lepas makan.

Lebih-lebih lagi jika pengambilan makanan itu hampir dengan waktu tidur malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular video sumbat bawang putih pulihkan selesema, apa kata pakar?

Namun apa yang lebih penting kepada kesihatan adalah apa dan berapa kuantiti makanan kita ambil, bukannya masa kita menjamah makanan itu.

Apabila jenis dan jumlah makanan yang kita ambil memerlukan masa untuk dihadam, kita tidak seharusnya tidur serta merta selepas makan.

Snek ringan sebelum tidur mungkin tidak akan menyebabkan sebarang masalah kesihatan.

Menurut kajian dalam jurnal Nutrients, makanan ringan sekitar 150 kalori atau kurang mungkin bermanfaat untuk penyerapan protein dan kesihatan kardiometabolik.

Bagaimanapun, pakar pemakanan mengesyorkan supaya menjarakkan kira-kira dua hingga tiga jam antara waktu makan dan waktu tidur.

Berikut adalah tiga risiko jika seseorang itu tidur sejurus selepas makan yang perlu diberi perhatian:

1. Pertambahan berat badan

Salah satu bahaya tidur selepas makan ialah berat badan bertambah di mana pertambahan ini berlaku apabila jumlah kalori diambil lebih besar daripada kalori yang dibakar oleh badan.

Menurut UPMC, tidur sejurus selepas makan menyebabkan badan tidak mempunyai cukup masa untuk membakar kalori yang baru diambil.

Oleh itu, makan malam lebih awal atau menjarakkan waktu tidur membolehkan badan membakar kalori yang tidak digunakan sebelum tidur.

Makanan ringan tengah malam juga penting untuk diberi perhatian terutamanya jenis makanan yang diambil.

Jika benar-benar rasa ingin menjamah sesuatu di tengah malam, cuba minum segelas air terlebih dahulu.

Kadang-kadang badan tersilap mengenal pasti sama ada ia lapar atau dahaga. Boleh jadi, rasa lapar yang kita rasa sebenarnya adalah isyarat bahawa tubuh memerlukan air, bukan makanan ringan.

2. Pencetus pedih ulu hati

Bahaya tidur selepas makan juga termasuk mencetuskan pedih ulu hati.

Lebih-lebih lagi jika kita makan terlalu banyak atau makan makanan tertentu yang mencetuskan keadaan ini.

Menurut Verywell Health, selain pedih ulu hati atau rasa terbakar pada bahagian dada, refluks yang berlaku akibat tidur sejurus selepas makan juga boleh menyebabkan rasa pahit di dalam mulut.

Sesetengah makanan yang mencetuskan gejala ini termasuk makanan pedas dan berasid, alkohol, coklat dan pudina.

3. Insomnia

Kafein dalam coklat atau minuman seperti kopi, teh, soda dan minuman tenaga juga harus dielakkan untuk diambil terlalu dekat dengan waktu tidur.

Kafein boleh menyekat adenosin, bahan kimia yang boleh membuat kita mengantuk.

Mengambil makanan dan minuman ini dengan jarak terlalu dekat dengan waktu tidur boleh menyebabkan insomnia.

Selain itu, meminum minuman berkafein juga mencetuskan kencing pada waktu malam atau nokturia.

Tidak semua orang sensitif terhadap kafein dan mengalami keadaan tersebut.

Tetapi, jika anda salah seorang daripada mereka, selain menyedari bahaya tidur sejurus selepas makan, cuba juga hadkan pengambilan kafein sebelum tidur.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain