suria

Anda kerap letih sepanjang hari? Mungkin ini 5 puncanya yang perlu dielakkan

Kurang tidur pada waktu malam boleh membahayakan kesihatan dan berisiko tinggi mengalami pelbagai penyakit serta penyebab kematian.

RATA-rata individu sering bergelut dengan rasa mengantuk pada waktu siang sehingga masalah ini berterusan dan mula mengganggu kehidupan seharian, baik mereka yang bersekolah mahupun bekerja.

Kebiasaannya faktor seperti kurang tidur dan masalah kesihatan boleh menyebabkan keletihan yang berterusan, malah gaya kehidupan sehari-hari akan berubah drastik.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba minum 4 gelas air putih sebaik bangun tidur, rasai 5 manfaat pada tubuh anda

Bagaimanapun, terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan keletihan berlebihan dan dengan memahami sebab anda mengalaminya ia dapat membantu anda mengetahui perbezaan antara mengantuk biasa dan keletihan sepanjang masa, termasuklah;

1. Melewatkan waktu makan atau makan terlalu banyak

Kecenderungan melewatkan waktu makan boleh menjadi penyebab gejala seperti penat dan mengantuk.

Seperti yang dilaporkan oleh Mirror UK, pengasas Zonas Fertility, Ravina Bhanot, berkata, melewatkan waktu makan menyebabkan anda kurang mendapat jumlah kalori yang betul untuk mengekalkan tahap tenaga badan.

Dalam pada itu, selain lewat waktu makan, makan terlalu banyak juga boleh mengakibatkan gula dalam darah menurun.

2. Kekurangan vitamin

Kurang vitamin dalam badan juga boleh menjadi punca rasa letih setiap hari, malah ada gejala yang mungkin tahap rendah vitamin D, vitamin B-12, zat besi, magnesium atau kalium semakin susut dalam tubuh.

Pun begitu, kebiasaannya hanya ujian darah yang dilakukan secara berkala boleh membantu seseorang itu mengenal pasti kekurangan dalam tubuhnya.

Setelah dikenal pasti, doktor mungkin mengesyorkan mengambil suplemen atau mencadangkan meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin tertentu untuk membetulkan kekurangan secara semula jadi.

3. Kurang tidur

Kebanyakan orang dewasa memerlukan antara tujuh dan sembilan jam tidur setiap malam, namun jika individu itu cenderung untuk berjaga lewat malam, ia berisiko tinggi mengalami kekurangan tidur, rasa letih dan kurang tenaga pada keesokan harinya.

Oleh itu, amalkan tabiat tidur lebih baik untuk meningkatkan tenaga badan dengan mendapatkan tidur yang cukup dan lebih awal.

Bhanot menjelaskan, seseorang itu perlu mencuba tidur pada waktu yang sama setiap hari, agar kesihatan terjaga disamping tekanan berkurangan.

4. Berat badan berlebihan

Berat badan yang berlebihan merupakan antara punca utama seseorang itu keletihan dan sering berasa mengantuk disiang hari.

Ini kerana, semakin badan menampung berat badan yang berlebihan, semakin banyak tenaga yang diperlukan dan dikeluarkan melalui tubuh, seperti menaiki tangga, melakukan kerja keras, membersihkan kawasan rumah dan sebagainya.

Dalam pada itu, mereka yang memiliki tubuh berisi disarankan mengawal berat badan dan mengamalkan pengambilan makanan seimbang.

5. Tekanan

Tekanan kronik boleh menyebabkan sakit kepala, ketegangan otot, masalah perut, dan keletihan, malah membahayakan kesihatan seseorang itu.

Tekanan atau stres berpunca daripada kerja yang berlebihan, masalah yang secara tiba-tiba datang, ataupun keadaan yang tidak mengizinkan.

Apabila anda tertekan, ia menyebabkan peningkatan kortisol dan adrenalin yang mengurangkan tenaga dalam badan disamping menyebabkan anda berasa letih sepanjang hari.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

rasa letih, punca penat, kurang tidur

Artikel Lain