SEJAK kebelakangan ini pembedahan bariatrik cukup popular dalam kalangan penderita masalah obesiti sebagai salah satu jalan untuk mengurangkan berat badan sekaligus dapat menikmati kehidupan lebih sihat. Malah golongan selebriti seperti penyanyi Datuk Aishah, Rahim Sepahtu, Lufya, Syanie, Michael Ang turut melakukan prosedur sama dan kini masing-masing bukan sahaja mendapat bentuk tubuh idaman tetapi lebih aktif dalam menjalani kehidupan seharian. ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan bariatrik bukan sahaja atasi obesiti, mampu kawal diabetis dan darah tinggi ARTIKEL BERKAITAN: Mampu turunkan 60 peratus berat badan, ketahui 10 fakta mengenai pembedahan bariatrik Pembedahan bariatrik adalah prosedur terbaik dan selamat. Rawatan moden ini dilihat sebagai peluang kedua, sekali gus memberi nafas baharu kepada pesakit untuk hidup lebih sihat dan cergas selepas menjalani pembedahan. Dan apabila menyebut tentang bariatrik, sudah tentu nama pakar bedah bariatrik terbaik Asia Pasifik, Dr. Mustafa Mohammed Taher menjadi sebutan apabila beliau telah banyak melakukan pembedahan itu, selain cukup aktif memberi pemahaman sebenar tentang prosedur itu. Dr. Mustafa berpengalaman luas dalam pembedahan bariatrik. "Sebelum bersetuju melakukan pembedahan, saya selalu tanya pesakit apa tujuan dan objektif mereka nak buat pembedahan itu? Jika semata-mata untuk kurus dan cantik, saya akan suruh balik dan tidak mahu lakukan pembedahan. "Masih ramai ingat bahawa pembedahan ini semata-mata jalan mudah untuk kurus tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu terutamanya sebagai jalan menyelesaikan masalah obesiti dan penyakit kronik yang datang bersamanya. "Ini perkara yang saya selalu tekankan, pembedahan ini bukan untuk cantik semata-mata tetapi memperbaiki kehidupan seseorang agar lebih sihat," katanya kepada mStar. Dr. Mustafa ditemui pada majlis pelancaran M-Hope iaitu sebuah projek kebajikan bagi membantu pesakit obes yang tidak berkemampuan menjalani pembedahan bariatrik. Penyanyi Datuk Aishah turut berkongsi pengalaman melakukan pembedahan bariatrik lima tahun lalu. Pembedahan percuma untuk 12 pesakit Dalam pada itu, Dr. Mustafa yang telah melakukan pembedahan bariatrik terhadap ribuan pesakit dalam dan luar negara memberitahu M-Hope diwujudkan bagi memberi peluang kepada golongan obes dan tidak berkemampuan untuk mendapat kehidupan mereka semula. Atas dasar itu, 12 individu akan dipilih bagi menjalani prosedur itu secara percuma dalam usaha membantu golongan ini untuk bangkit dan mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik. "Wujudnya idea program ini apabila saya mendapat banyak mesej di media sosial yang meminta bantuan untuk menjalani pembedahan itu tetapi mereka tidak mampu. "Daripada situ saya mendapati ramai individu obes mahu berubah tetapi tidak mampu disebabkan faktor kewangan. Keadaan ini menyedihkan kerana pesakit ini bersiko diserang penyakit metabolik seperti diabetik, tekanan darah tinggi dan masalah kardiovaskular dan serangan penyakit jantung," katanya. Keadaan itu kata Dr. Mustafa membuatkan dia berasa sedih kerana berat badan berlebihan boleh menyebabkan seseorang individu mengalami obesiti tahap serius sehingga boleh memudaratkan kesihatan tanpa rawatan sewajarnya. Dr. Mustafa bersama Dr. Subhashini Jahanath yang juga seorang pakar bius yang turut menyumbang kepakarannya dalam projek itu. Jelasnya, pesakit kurang bernasib baik ini wajar diberi peluang kedua untuk hidup lebih sihat dan cergas bersama keluarga dan bukannya terus terpaksa berhadapan dengan masalah tanpa sebarang penyelesaian. Ditanya sama ada pihaknya sudah mempunyai calon pesakit, Dr. Mustafa memberitahu setakat ini pihaknya sedang dalam proses mencari calon terbaik dan beberapa peringkat saringan sedang dibuat. Mengikut perancangan, Dr. Mustafa memberitahu pihaknya bercadang untuk membuat satu pembedahan setiap bulan bagi tempoh setahun. "Banyak perkara kami perlu teliti dalam pemilihan calon termasuklah mereka benar-benar mengalami masalah obesiti atau obesiti dengan penyakit metabolik termasuk mereka ini daripada golongan tidak berkemampuan. Sumbangan kepada M-Hope bagi menaja pesakit melakukan pembedahan. "Tahap kesihatan mereka juga perlu dinilai kerana tidak semua pesakit boleh terus melakukan pembedahan kerana ada di antaranya perlu menjalani diet, rawatan susulan untuk penyakit sedia ada dan sebagainya terlebih dahulu. "Setakat ini kita sasar satu pembedahan setiap bulan untuk tempoh setahun dan Insya Allah jika ada dana dan tajaan mungkin kita boleh tambah bilangan pesakit," jelasnya. M-Hope diterajui oleh Dr. Mustafa dengan kerjasama Persatuan Sukan, Rekreasi, & Kesihatan Kuala Lumpur (SURE Sihat) dan Cengild GI Medical Centre (CGI) dengan sumbangan awal sebanyak RM348,000 yang akan menanggung seramai 12 orang pesakit yang layak. Inspirasi daripada legasi Allahyarham bapa Ditanya mengenai inspirasinya untuk melakukan pembedahan ini secara percuma, Dr. Mustafa berkata, beliau mendapat inspirasi daripada Allahyarham bapanya yang juga seorang doktor terkenal di Iran yang banyak membantu golongan memerlukan di negara itu. Aishah dan Ustazah Asni Mansor antara bekas pesakit Dr. Mustafa. Katanya, beliau sendiri hanya mengetahui tentang peribadi mulia Allahyarham selepas bapanya meninggal dunia kerana setiap kerja-kerja kebajikan dilakukan tidak pernah didedahkan kepada keluarga dan rakan-rakan. "Arwah bapa akan buka klinik percuma pada setiap hari Jumaat dan pesakit menerima rawatan secara percuma dan perkara itu hanya saya tahu selepas beliau meninggal dunia. "Sejak itu saya cukup terinspirasi dengan apa dilakukan dan mendorong saya untuk memulakan projek ini. Projek awal ini diharap dapat dimanfaatkan mereka yang begitu memerlukan. "Sebelum ini saya mengambil initiatif secara persendirian menawarkan rawatan percuma kepada pesakit kurang berkemampuan. Kini Alhamdulillah pelbagai pihak tampil membantu bagi membolehkan lebih ramai pesakit dapat dibantu, sekali gus merealisasikan penubuhan M-Hope,” katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI