SEPERTI diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, warga emas dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan dos penggalak untuk meningkatkan perlindungan diri daripada wabak itu terutamanya menjelang bulan Ramadan ini. Menyedari ada dalam kalangan warga emas yang tidak dapat hadir ke PPV disebabkan masalah logistik, pihak PortectHealth akan menyediakan perkhidmatan vaksinasi terus ke rumah melalui program dikenali sebagai Home Vaccination. ARTIKEL BERKAITAN: Inspirasi legasi arwah bapa... Dr. Mustafa cari 12 pesakit obesiti kurang mampu, tawar pembedahan bariatrik percuma! Perkhidmatan itu adalah inisiatif kerajaan untuk memperluaskan dan mempercepatkan proses vaksinasi dos penggalak sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada penerima yang tidak mendapat dos penggalak pada akhir bulan Mac. Program ini juga bagi melindungi warga emas kerana mereka adalah golongan berisiko apatah lagi pada Ramadan nanti kebanyakan dijangka berhimpun di masjid untuk menunaikan solat tarawih dan menghadiri majlis agama sama ada di dalam atau di luar rumah. Situasi ini berkemungkinan boleh menyebabkan penularan Covid-19 yang lebih tinggi. Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr. Anas Alam Faizli menasihatkan semua warga emas supaya mendapatkan dos penggalak mereka dengan segera bagi memastikan peralihan kepada fasa endemik bermula 1 April ini dapat dilaksanakan dengan selamat, dan sebelum status sijil mereka pada aplikasi MySejahtera bertukar menjadi tidak lengkap. Home Vaccination memudahkan golongan rentan mendapatkan vaksin dan dos penggalak. Bagi mereka yang masih belum menerima dos penggalak sebelum 1 April, warna sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera akan bertukar kepada warna putih. Dengan program Home Vaccination, kami ingin memberikan kemudahan dan pengalaman yang lancar dan selesa untuk warga emas yang tidak dapat hadir ke PPV. "Walaupun gelombang Omicron dilihat tidak agresif seperti gelombang Delta, tetapi bagi warga emas khususnya yang mempunyai komorbiditi, ia bukanlah penyakit ringan kerana ia boleh membawa maut. Oleh itu, kami meminta orang ramai untuk memastikan ibu bapa anda dilindungi daripada virus Covid-19. "Tolong lindungi orang yang anda sayangi, dan dengan melakukan ini, kita dapat melindungi semua orang serta seluruh masyarakat kita,” katanya. Sehingga 24 Mac 2022, sebanyak 15.5 juta dos penggalak telah diberikan dan 12 juta dos atau 77.4 peratus disumbangkan oleh Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penjagaan Kesihatan di bawah ProtectHealth. ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta dan NGO penjagaan kesihatan akan terus membantu dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mempercepat dan memaksimumkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk Dos Penggalak. Terdapat pelbagai cara untuk mendaftar Home Vaccination. Mereka yang beminat boleh mendaftar melalui kaedah tersebut; 1. Talian Hotline Nasional untuk Home Vaccination di 1700-811-007 setiap hari bermula 28 Mac 2022 (9:00 pagi hingga 5:00 petang). Sebagai alternatif, orang ramai boleh menghantar teks melalui applikasi WhatsApp di talian +6012-6787911 dan mereka akan menerima maklum balas dalam masa 1 - 3 hari. 2. Daftar melalui laman web Protecthealth https://vaksincovid.protecthealth.com.my/register_vaccinee 3. Aplikasi MySejahtera Helpdesk A. Pergi ke Helpdesk B. Klik pilihan A – Temu Janji Vaksinasi Penggalak C. Klik pilihan C – Saya/tanggungan (dependent) saya terlantar dan memerlukan vaksin di rumah Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI