RABU lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita dramatis Jasmin Hamid yang menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Sungai Buloh akibat serangan jantung. Jasmin, 47, dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit pada bahagian dada selain kedua-dua lengan serta dagunya berasa kebas sekitar pukul tiga pagi. ARTIKEL BERKAITAN: Muda, aktif, tiada penyakit tapi terkena serangan jantung... Apa puncanya? Keadaan pelakon itu bagaimanapun stabil namun membuka mata peminat dan masyarakat tentang bahaya serangan jantung yang boleh berlaku tanpa disedari. Pun begitu, menerusi perkongsian Unit Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, DBKL menjelaskan tubuh manusia biasanya akan menunjukkan tanda-tanda dan simptom sebelum serangan jantung berlaku. Pelakon Jasmin Hamid kini masih mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh selepas mengalami serangan jantung. Amat penting bagi golongan berisiko atau masyarakat secara umumnya mengetahui tentang perkara ini kerana ia mampu menyelamatkan nyawa sekiranya diberikan rawatan segera. Tanda-tanda dan simptom itu termasuklah: 1. Lidah atau gusi bengkak - Sekiranya lidah atau gusi membengkak dan berasa sakit, ada kemungkinan ia tanda-tanda jantung seseorang mempunyai masalah seperti lemak berlebihan, injap jantung lemah atau saluran koronari tersumbat. 2. Kebas tangan kiri - Jika sakit berpanjangan pada tangan kiri (bagi perempuan pada kedua-dua belah tangan), ada kemungkinan seseorang akan diserang penyakit jantung dalam masa terdekat. 3. Lidah terasa tegang dan pendek Sakit dada antara simptom penyakit berkaitan jantung. 4. Rasa seronok, teruja atau bimbang secara tiba-tiba tanpa sebab 5. Rasa sakit pada dada (ulu hati bahagian kiri) seperti dada dihempap oleh benda berat. 6. Daripada sakit dada, kesakitan itu mula merebak ke bahagian tangan, tengkuk, belakang badan, abdomen dan rahang. 7. Rasa tidak selesa pada bahagian dada seperti dipam angin atau rasa pedih. 8. Mengalami batuk secara tiba-tiba dan berpanjangan atau terasa kehadiran kahak dan sentiasa mahu berdehem. Antara simptom yang perlu diberikan perhatian adalah berpeluh tanpa sebab. 9. Sakit kepala, kerap kehilangan keseimbangan badan serta mengalami keletihan. 10. Rasa loya dan hilang selera makan. 11. Degupan jantung tidak menentu dan nafas terasa pendek. 12. Kerap berpeluh meskipun sedang bersantai. 13. Mengalami bengkak pada bahagian sendi di kaki atau abdomen 14. Ketika serangan jantung akan berlaku, pesakit biasanya akan berasa letih dan tidak bermaya. Terdapat pelbagai faktor seseorang mengalami serangan jantung pada usia muda. Dalam pada itu, pakar perubatan Dr. Yazeed Hair Johari menerusi perkongsian di Facebook berpendapat, kematian disebabkan serangan jantung semakin tinggi di usia muda disebabkan beberapa faktor termasuk stres akibatkan tekanan kerja, pendapatan, masalah di tempat kerja dan peribadi. Dr. Yazeed menjelaskan stres akan mengakibatkan peningkatan hormon dipanggil cortisol dan adrenalin sekaligus meningkatkan risiko darah beku yang boleh tersumbat pada salur darah utama. Tidak terhenti disitu, tambahnya lagi, faktor pemakanan termasuk makanan segera yang tidak diketahui kaedah penyediaannya terutama jika ia mengandungi kadar kolestrol tinggi juga memainkan peranan. "Antara faktor menyumbang kepada kerosakan jantung adalah pengambilan kolestrol tinggi. Lihatlah di sekelilingi kita, ayam goreng, burger, bubble tea, pisang goreng cheese, nasi kandar ia semuanya makanan berminyak dan berkolestrol tinggi. "Sekiranya ada ahli keluarga yang pernah mengalami sejarah serangan jantung, anda perlu lebih berjaga-jaga dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya," katanya yang turut menambah faktor kurang bersenam antara penyumbang kepada penyakit itu. Mengubah gaya hidup dan pemakanan mampu menjaga kesihatan jantung. Bagaimanapun katanya, paling penting adalah seseorang itu perlu mengubah gaya hidup selain menjaga pemakanan seimbang bagi memastikan jantung sentiasa berada dalam keadaan sihat. "Paling penting di sini adalah menukar gaya hidup! Tidak kira badan kita 'sado', berketul-ketul sekalipun, tapi pengambilan makanan tidak seimbang dan berkalori tinggi tidak berguna juga. "Labur wang untuk makanan yang sihat untuk badan walaupun nafsu kita tak sanggup nak telan. Curi masa untuk bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu," tambahnya. Bagi menjaga kesihatan jantung, Dr. Yazeed memberitahu makanan terbaik adalah; 1. Tiada minyak 2. Tiada garam 3. Rendah karbohidrat 4. Tiada lemak 5. Protein dimasak secara rebusan adalah yang terbaik. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI