suria

Tular kisah wanita mengaku ada 20 identiti... Ketahui penyebab dan tanda-tanda sebelum terlambat

DID merupakan penyakit yang jarang berlaku.

BARU-BARU ini tular di media sosial seorang wanita mengaku mempunyai 20 personaliti.

Meskipun ia kedengaran pelik, namun penyakit berkaitan lebihan personaliti sememangnya wujud dan ia dikenali sebagai Dissociative Identity Disorder (DID).

Bagaimanapun ia sangat jarang berlaku yang mana hanya 0.01 hingga 1 peratus daripada populasi di seluruh dunia dikesan menghidapnya.

Secara amnya, DID ialah keadaan kesihatan mental di mana seseorang yang mengalami gangguan berkaitan mempunyai dua atau lebih personaliti berasingan.

Identiti yang terbentuk itu akan mengawal tingkah laku penghidap pada masa yang berbeza.

Menurut MyHeart Community, DID boleh berlaku pada semua peringkat umur dan wanita merupakan golongan paling berisiko menghidapinya berbanding lelaki.

"DID biasanya disebabkan penderaan seksual atau fizikal pada zaman kanak-kanak. Kadangkala ia berkembang sebagai tindak balas kepada bencana alam atau peristiwa traumatik lain seperti perang.

Penderaan fizikal

Penderaan fizikal semasa kecil juga boleh mendorong DID berlaku.

"Gangguan yang dialami itu adalah cara seseorang menjauhkan atau melepaskan diri daripada trauma yang dialami," ujarnya sambil berkata nama lain bagi DID adalah Multiple Personality Disorder dan Split Personality Disorder.

Tambahnya, setiap identiti yang terbentuk juga mempunyai sejarah peribadi, sifat, kesukaan dan kebencian tersendiri.

DID boleh membuatkan penghidapnya mempunyai masalah ingatan dan halusinasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ada ‘25 personaliti’ sukar cari kerja, setiap identiti boleh muncul bila-bila masa

Selain itu, ia juga menjejaskan keupayaan seseorang untuk berhubung dengan realiti dan menyebabkan penghidap tak terasa terikat dengan perlakuannya di samping mengalami masalah mengingati maklumat tentang dirinya sendiri.

Simptom DID juga berbeza-beza antara individu apabila ada yang merasakan dirinya terputus hubungan dengan diri sendiri dan dunia di sekeliling.

"Ada pula yang lupa tentang peristiwa dan maklumat peribadi sendiri serta mempunyai pelbagai identiti yang berbeza.

"Antara tanda-tanda dan gejala lain DID adalah depresi, halusinasi, anxiety, hilang ingatan, keinginan membunuh diri dan sering mencederakan diri sendiri," katanya lanjut.

DID berpunca daripada trauma yang dialami semasa zaman silam.

DID berpunca daripada trauma yang dialami semasa zaman silam.

RAWATAN

Bagi penghidap Dissociative Identity Disorder rawatan terbaik yang dapat membantu mereka adalah menerusi terapi khusus.

Ia berikutan hanya sesetengah ubat yang boleh membantu dengan gejala tertentu DID seperti kemurungan dan anxiety.

"Namun rawatan yang paling berkesan adalah psikoterapi. Pakar psikiatri boleh membimbing pesakit untuk mendapatkan rawatan yang betul.

"Ini kerana terapi akan memberi tumpuan kepada mengenal pasti dan mengatasi trauma atau penderaan masa lalu.

"Pada masa sama menguruskan perubahan tingkah laku yang mendadak dan menggabungkan identiti yang berasingan menjadi satu identiti," tambahnya.

Jika sesiapa yang mempunyai gejala DID, anda dinasihatkan untuk berjumpa pakar dan mendapatkan rawatan sewajarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain