suria

Kes kanser ovari makin meningkat! Wanita jangan malu buat saringan, kesan penyakit lebih awal

Kanser ovari dikesan pada tahap 3 dan 4.

MENDENGAR perkataan kanser sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja berasa gerun ditambah pula dengan laporan anggaran peningkatan kes di negara ini sebanyak 66,000 setahun menjelang 2030.

Lebih membimbangkan apabila selain kanser payudara yang merekodkan pertambahan pesakit setiap tahun, kanser ovari juga dikenal pasti sebagai penyakit ketiga yang sering dihadapi wanita Malaysia.

Berdasarkan kenyataan Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) pada tahun 2020, terdapat 1,836 kes kanser ovari terbaharu direkodkan.

Difahamkan, kanser ovari lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia 60 hingga 65 tahun dengan lebih 50 peratus pesakit didiagnos di tahap 3 atau 4 kanser tersebut.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Wong Yen Shi, hanya 20 peratus daripada kes kanser ovari dikesan pada tahap awal kerana masih belum ada saringan atau ujian dicipta untuk rawatan awalnya.

“Buat masa ini, imbasan transvaginal dan ujian penanda tumor CA 125 digunakan untuk mengesan kanser ovari tetapi dengan limitasi.

“Imbasan transvaginal boleh mengesan sebarang tisu bermasalah tetapi terdapat sedikit kesukaran untuk membezakan tumor benigna (sel tidak berkanser) daripada tumor malignan (sel berkanser), manakala ujian penanda tumor CA 125 adalah sejenis ujian yang bagus digunakan untuk memantau rawatan tetapi ia tidak bertujuan untuk mengesan kanser.

“Simptom kanser ovari ialah kembung perut, ketidakselesaan perut, kekerapan membuang air kecil, sembelit, rasa cepat kenyang, penurunan berat badan, keletihan dan sakit belakang. Kanser ini juga boleh disalah anggap sebagai benigna tumor ovari, uterine fibroid, endometriosis dan sindrom pra-haid,” tambah Dr Wong.

Keadaan ovari pesakit kanser.

Keadaan ovari pesakit kanser.

Meskipun mempunyai cabaran untuk mengesan kanser ovari di awal fasa, namun masih terdapat beberapa faktor risiko yang membolehkan seseorang wanita berwaspada.

Menjelas mengenainya, Dr Wong berkata, ia termasuklah sejarah ahli keluarga yang mempunyai kanser payudara, ovari atau usus.

Selain itu kata beliau, sindrom kanser yang boleh diwarisi keluarga adalah seperti gen BRCA dan sindrom Lynchseperti peningkatan usia dan keadaan berat badan berlebihan atau obesiti.

Tambah beliau, faktor risiko lain termasuklah merokok, pendedahan kepada asbestos, wanita yang menjalani terapi penggantian hormon (HRT), wanita yang tidak pernah melahirkan anak, wanita yang melahirkan anak pada usia lewat, datang haid awal dan lambat menopaus.

“Jadikan ujian saringan kesihatan serta saringan diabetes, kolesterol, kesihatan jantung, payudara dan serviks sebagai rutin supaya anda tahu keadaan diri anda.

“Pada masa sama, anda digalakkan untuk mengamalkan pemakanan sihat dan selalulah bersenam serta menjaga kesihatan mental di samping mendapatkan tidur secukupnya serta kawal tekanan bagi menjaga kesihatan secara menyeluruh,” kata Dr Wong.

Berkata lanjut, peningkatan statistik kanser adalah petanda penting bahawa wanita harus mengambil berat dan mengutamakan kesihatan mereka di samping keluarga.

Ujarnya, kesihatan adalah aspek terpenting dalam kehidupan seseorang dan mereka yang memerlukan rawatan boleh berhubung dengan klinik atau hospital terdekat untuk mendapatkan maklumat dan rawatan yang sewajarnya.

Terdahulu, bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara pada Oktober ini, SMCV menyediakan ujian saringan kanser payudara dan saringan kesihatan kepada para wanita.

Selain menyediakan pakej-pakej ini, SMCV turut mengambil bahagian dalam kempen Sunway Healthcare Group dalam menyediakan ujian mamogram percuma untuk pesakit yang layak, pemberian goodies kepada pesakit serta berkolaborasi dengan sebuah jenama wanita untuk menjayakan sebuah acara komuniti dengan harapan bahawa segala inisiatif ini dapat mencetuskan kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan wanita untuk bertindak segera demi kesihatan diri mereka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain