suria

Awas! Lonjakan kes Covid-19 di China... pakar beri amaran muncul varian baharu, ikuti nasihat ini

China merekodkan lonjakan kes Covid-19 ketika ini.

VARIAN baharu Covid-19 mungkin muncul hasil lonjakan kes yang masih berterusan di China, demikian amaran seorang pakar kesihatan awam.

"Sudah tentu, terdapat risiko bahawa varian baharu Covid-19 atau subvarian baharu Omicron mungkin timbul dari China dan kemudian merebak ke seluruh dunia," kata Naib Dekan di Saw Swee Hock School of Public Health, Universiti Nasional Singapura, Profesor Madya Hsu Li Yang.

Dr Hsu memberitahu, kemunculan varian baharu adalah sesuatu yang turut diperhatikan di tempat lain dengan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Sebagai sebahagian daripada pemansuhan sekatan pandemik, China akan membatalkan langkah kuarantin untuk ketibaan pengembara dari luar negara mulai 8 Januari depan.

Pengembara hanya perlu melakukan ujian PCR yang diambil dalam tempoh 48 jam sebelum penerbangan untuk memasuki China.

Dr Hsu berkata, gelombang semasa yang melanda China adalah yang terbesar sejak wabak awal di Wuhan, sambil menambah kesan kemasukan pengembara terhadap kes dalam negara adalah 'sangat sedikit'.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor rebah, pesakit dirawat atas lantai hospital... Gelombang terkini Covid-19 di China membimbangkan

Beliau menambah, anggaran semasa untuk jangkitan di China memuncak pada pertengahan Januari, selaras dengan situasi yang pernah berlaku di negara lain apabila membuka pintu masuk, sekali gus menyaksikan peningkatan kes beberapa minggu kemudian.

Tangguh perjalanan yang tidak perlu

Justeru, Dr Hsu menggesa orang ramai untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak perlu ke luar negara pada masa ini.

china 2

Orang ramai boleh mencegah penularan Covid-19 dengan menangguhkan perjalanan ke luar negara buat masa terdekat. -gambar hiasan

Bagaimanapun, beliau mengakui sukar untuk menghalang pengembara daripada berbuat demikian yang sudah sekian lama 'terkurung', apatah lagi perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Saya rasa dalam tempoh ini, orang ramai harus menahan diri melainkan ia benar-benar perlu," ujarnya.

Namun tambahnya, ketika ini sudah ramai yang mengembara dan cuba mendapatkan vaksin dari kawasan lain.

"Memandangkan sekatan kuarantin semakin mudah, saya pasti ada orang yang pergi ke tempat lain untuk mencuba mendapatkan vaksin mRNA dari Barat," katanya.

Ujarnya lagi, langkah penting ialah memberi vaksin kepada ramai orang di China, termasuk mendapatkan suntikan penggalak kepada warga emas dan kumpulan yang berisiko tinggi. - CNA

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain