suria

“Saya bukan model...” - Ramai tegur Selena Gomez naik berat badan, rupanya ada penyakit lupus

Kisah berat badan Selena Gomez menjadi tular di media sosial.

ANUGERAH Golden Globe 2023 pada 10 Januari lalu berlangsung penuh gilang gemilang di The Beverly Hilton, Beverly Hills, Amerika Syarikat.

Ramai selebriti terkenal menghadiri acara tersebut seperti Claire Danes, Cole Hauser, Harvey Guillén, Henry Golding, Hilary Swank, Glen Powell, Jay Ellis, Jennifer Hudson, Letitia Wright, Regina Hall, Salma Hayek Pinault juga Selena Gomez.

Bagaimanapun, Selena Gomez yang memakai gaun hitam pada majlis tersebut mencuri perhatian ramai gara-gara fizikalnya kelihatan lebih gempal berbanding sebelum ini.

Walaupun mengakui tidak terkesan dengan kata-kata netizen, Selena tampil menjelaskan tentang dirinya melalui siaran langsung (live) akaun TikTok peribadinya.

Dia yang popular dengan nyanyi lagu Who Says itu berkata tubuhnya semakin berisi disebabkan kesan sampingan pengambilan ubat penyakit lupus setiap hari.

"Badan saya cenderung untuk 'menahan' air dalam kandungan yang banyak dan ia satu perkara normal untuk mereka yang mengambil ubat lupus. Ketika saya berhenti minum ubat, berat badan saya akan menurun.

Penyanyi Amerika Syarikat, Selena Gomez mendedahkan dia menjalani pemindahan buah pinggang akibat lupus pada 2015.

"Saya cuma nak beri semangat buat semua orang di luar sana yang rasa malu dengan apa juga (masalah) mereka hadapi, saya nak anda tahu bahawa awak cantik dan hebat. Memang ada hari-hari di mana kita rasa tak okay.

"Saya sendiri sedang cuba untuk hidup dengan gaya lebih sihat. Ubat ubatan saya ambil adalah perkara penting kerana ia banyak membantu untuk penyakit (lupus) saya. Saya bukan seorang model dan tak akan jadi (model) pun," ujarnya dalam video berdurasi pendek yang tular itu.

Susulan perkongsian kisah itu daripada Selena, kata kunci 'lupus' menjadi trending di beberapa platform media sosial kerana ramai ingin mengetahui tentang penyakit autoimunisasi ini.

Memetik portal Lupus NSW, penyakit lupus yang dihadapi Selena ini menyebabkan dia mengalami kemurungan dan serangan anxiety (rasa gemuruh) tahun lalu setelah didiagnosis.

Penyakit ini biasanya boleh terjadi kepada golongan wanita berusia 15 hingga 45 tahun.

Ia akan memberi kesan kepada sendi, hati juga buah pinggang.

Seperti penyakit autoimun lain, lupus terjadi ketika sistem kekebalan tubuh mulai menyerang sel yang sihat, tidak hanya bakteria atau virus yang berbahaya.

Wajah Selena Gomez terkini (kanan) berbeza berbanding dahulu (kiri).

Sistem kekebalan (imunisasi) tubuh melawan virus dan bakteria dengan menghasilkan antibodi.

Pesakit yang menderita lupus akan menghasilkan autoantibodi, atau juga dikenali sebagai antibodi abnormal.

Sistem imun yang normal dan sihat dapat mengenali 'objek asing' seperti bakteria dan virus, sebelum melawannya.

Bagaimanapun, dalam penyakit autoimun, sistem imun badan mula menyerang objek yang bukan asing.

Pada asasnya, sistem imun badan anda mula menyerang badannya sendiri.

Dengan lupus, sistem imun menghasilkan lebihan protein yang dipanggil antibodi yang melekat pada struktur badan berbeza menyebabkan keradangan dan kesakitan.

Selena tampil cantik pada acara Golden Globe Award 2023.

Oleh kerana lupus tidak dapat disembuhkan, doktor hanya dapat memberikan rawatan terhadap gejalanya sahaja.

Seperti yang telah disebutkan sebelumnya, gejala lupus dapat hilang untuk sementara waktu namun kemungkinan besar akan 'timbul' kembali.

Namun, dengan menghindari penyebab yang telah diketahui, pesakit dapat mengurangi risiko gejala lupus daripada berlaku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain