suria

Anak kurang tahap keyakinan diri? Mungkin ibu bapa buat silap dalam 3 perkara ini ketika mendidik

Tahap keyakinan dalam diri anak bermula daripada ibu bapa. -Gambar hiasan (Freepik)

MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya! Demikian peribahasa yang sering digunakan jika bercakap tentang topik mendidik anak.

Bagai kain putih yang harus dicorak, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk membentuk keperibadian anak ketika mereka membesar.

Sebenarnya ramai kanak-kanak mempunyai tahap keyakinan diri rendah dan gentar untuk mengambil tanggungjawab disebabkan ibu bapa terlepas pandang perkara-perkara ini ketika anak masih kecil.

Menurut Penasihat Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fhais Salim, semakin tinggi keyakinan diri seorang anak itu maka semakin cerdas mindanya untuk mengembangkan potensi diri.

Anak kecil merupakan cerminan ibu bapa. -Gambar hiasan

Fhais menyenaraikan tiga aspek yang perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa ketika mendidik anak agar mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

1) Krtikan yang berpada-pada

Anak-anak tidak dapat lari daripada melakukan kerenah yang boleh menyebabkan ibu bapa naik angin.

Namun, memberikan leteran juga haruslah dilakukan secara berwaspada kerana kata-kata itu lebih tajam dari sebilah pisau.

Fhais menekankan untuk tidak memberikan kritikan atau sindiran yang keterlaluan kepada anak-anak secara kerap.

Ibu bapa seharusnya tidak terlampau keras dalam menghukum anak-anak. -Gambar hiasan

2) Ganti kritikan dengan galakan

Ibu bapa adalah 'role model' kepada anak-anak ketika mereka mahu mula mengenali dunia.

Lumrah anak kecil untuk hebat meniru dan menyerap apa sahaja yang ditunjukkan di sekeliling mereka termasuklah ibu bapa.

Fhais menyarankan ibu bapa untuk memperbanyakkan memberikan galakan, motivasi dan inspirasi kepada anak-anak kerana itu adalah aura positif yang diperlukan untuk membina keyakinan.

Ibu bapa sepatutnya memberikan kata-kata galakan kepada anak. -Gambar hiasan

3) Berikan kepercayaan

Mungkin sebab 'sayang', sesetengah ibu bapa menganggap mereka harus teribat dalam setiap gerak geri anak.

Perkara ini disebut sebagai 'micromanage' yang mana ibu bapa menyusun setiap tindak tanduk anak sehingga tidak ada ruang untuk dia membuat keputusan sendiri.

Keadaan ini boleh menyebabkan anak lebih selesa untuk ke belakang sebagai pengikut dari bertanggungjawab ke atas hala tuju hidupnya sendiri.

Fhais menggesa ibu bapa untuk membiarkan anak lebih banyak berdikari dan tidak mengongkong mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain