BERDASARKAN kajian, 81 peratus wanita tidak memakai coli atau bra dengan saiz yang betul. Tahukah anda, memakai coli dengan ukuran yang tidak tepat boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan fizikal dalam jangka masa panjang. Pakar pemakanan dan jurulatih kecergasan, Sarah Campus, menekankan kepentingan wanita menggunakan coli yang sesuai dengan saiz dada dan lilitan dada mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan malu-malu borak tentang payudara sihat, 3 wanita kongsi kisah inspirasi lawan kanser "Amat penting untuk memakai coli yang bersesuaian dengan saiz untuk menyokong postur, punggung dan kesihatan keseluruhan," kata Sarah, seperti dipetik The Sun. Terdapat empat masalah yang bakal dihadapi wanita jika memakai coli dengan ukuran yang tidak tepat. 1. Sakit dada dan punggung Memakai coli yang terlalu sempit atau terlalu ketat boleh memberi tekanan pada payudara anda, menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan yang boleh merebak ke bahagian lain badan. Sakit boleh dirasai sehingga rusuk, bahu dan belakang. Memakai coli yang longgar juga boleh memberi kesan yang sama. Coli bersaiz besar tidak dapat menyokong payudara dengan betul, menyebabkan sakit belakang dan dada kerana otot bekerja lebih keras. Coli yang ketat akan mengakibatkan gangguan pernafasan. 2. Gangguan pernafasan Jika coli terlalu ketat, ia boleh mengakibatkan tekanan pada bahagian atas badan, sehingga paru-paru dan tulang dada turut tertekan. Ini boleh menyukarkan anda untuk bernafas. Bagi ibu yang menyusukan anak, pemakaian coli yang sempit juga boleh menjejaskan pengaliran dan penghasilan susu badan. Akibatnya, proses penyusuan menjadi terganggu dan tidak selesa. 3. Sakit pada payudara Tisu pada payudara dan puting sangat sensitif terhadap tekanan. Jadi apabila anda memakai coli yang terlalu sempit atau bersaiz kecil, ia boleh menyebabkan kesakitan dan kemerahan. 4. Kerosakan saraf Memakai coli yang terlalu ketat setiap hari boleh mencetuskan sindrom saluran toraks. Sindrom ini adalah keadaan di mana saraf dan saluran darah yang musnah menyebabkan sakit leher, kebas dan rasa kesemutan pada lengan dan juga tangan. Saiz cup ditentukan dengan perbezaan kiraan ukur lilit badan dengan lilitan payudara. Jadi, bagaimana mendapatkan saiz coli yang sesuai? Caranya, ambil ukur lilit badan iaitu bahagian bawah payudara di tulang rusuk bawah dalam unit inci. Jika hasil ukuran bernombor genap, tambah 4 inci, sementara jika ganjil, tambah 5 inci. Misalnya: Ukur lilit badan anda 28 inci, jadi ukuran coli adalah 32 (28 + 4 = 32). Jika ukur lilit badan anda 29 inci (tambah 5), bersamaan ukuran bra 34. Ambil pula ukuran lilitan payudara untuk mengetahui saiz cawan (cup) dengan mengukur bahagian paling depan payudara. Kira perbezaan dengan angka ukuran lilit badan. Misalnya: Ukur lilitan badan: 28 Ukur lilitan payudara: 31 Perbezaan ukur lilit badan dan lilitan payudara adalah 3 (31 - 28 = 3), bermakna saiz cup yang sesuai adalah C. Selamat mencuba! - Wolipop Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube