NANAH tidak akan sembuh dengan suplemen antibiotik. Demikian kata Dr Arisman Wenge Abdul Rahman berhubung kisah seorang pesakit seorang yang degil apabila dia membuat rawatan sendiri tanpa merujuk kepada pihak yang pakar. Kisah berkenaan diceritakan sendiri oleh isteri Dr Arisman iaitu Dr. Alya Mohd. Jamal selepas dia merawat pesakit berkenaan baru-baru ini. Menurut Pengarah Perubatan Klinik Iris Shah Alam itu, pesakit berkenaan membeli ubat di sebuah farmasi sebelum dia datang mendapatkan rawatan di tempat kerja isterinya. "Isteri saya kongsi cerita berkenaan seorang pesakit yang dia terima semasa bertugas di klinik. Pesakit berusia hampir 30 tahun datang kerana ada nanah pada tepi ketiak selama dua hari. "Pesakit pergi ke salah sebuah farmasi di kawasan rumahnya untuk mendapatkan ubat-ubatan sesuai. Dia disarankan oleh staf bertugas di farmasi tersebut untuk menggunakan ubat pil, katanya ini adalah antibiotik. Dr Arisman berkongsi cerita mengenai pesakit yang dirawat oleh isterinya, baru-baru ini. "Jadi pesakit ini pun gembira dan beli antibiotik seperti yang dia inginkan. Dia tak mahu berjumpa doktor sebab dia nak beli ubat sahaja selepas dapat ilmu dari kawan, saudara ataupun Google berkenaan ubat apa diperlukan bagi penyakitnya," ujar Dr Arisman memulakan cerita. Akibat bertindak sendiri tanpa merujuk doktor, nanah pada ketiak lelaki berkenaan bertambah besar dalam masa dua hari sehingga dia tidak tahan menanggung kesakitan. "Selang beberapa hari, dia rasakan saiz nanah semakin membesar dan mula berdenyut sakit. Dia ambil keputusan menyerah untuk berjumpa dengan doktor juga. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan jenaka, ini satu jenayah! Doktor gesa tindakan segera, risau lihat vape comel di pasaran Malaysia "Isteri saya periksa keadaan nanah agak besar. Sudah ada demam. Dia mulakan rawatan ubat dengan antibiotik yang sesuai. Dia bertanya kepada pesakit... boleh tahu apa antibiotik yang diberikan farmasi tu? "Pesakit keluarkan dari poket dan tunjukkan (pil) kepada doktor, Isteri saya hairan. Tak pernah lagi kita jumpa pil antibiotik seperti ini. Nama ubat pun dah tahu bukan antibiotik," cerita Dr Arisman lagi. Tambah pesakit itu, dia tidak dimaklumkan lanjut mengenai penggunaan pil berkenaan oleh pekerja farmasi dan selamba mengambilnya sebanyak dua kali sehari. Ubat yang dibeli oleh pesakit tersebut dari sebuah farmasi. Setelah membuat carian, isteri Dr Arisman mendapati ubat tersebut hanyalah suplemen herba yang mempunyai tindak balas seperti anti microbial. "Ia hanya merangsang sistem imun dan bukan membunuh kuman tersebut secara spesifik dan tepat. Oleh sebab itu ia tidak akan sama sekali berkesan pada penyakit nanah si pesakit tersebut," ujarnya lagi. Akhir bicara, Dr Arisman turut berkongsi empat mesej kepada pesakit sekiranya mereka berdepan situasi yang sama. 1. Jika ada nanah pada mana-mana tempat anggota badan, sila pergi berjumpa doktor dengan kadar segera. Periksa dengan doktor untuk tentukan antibiotik apa yang sesuai, atau boleh dahulu dengan ubat sapuan tanpa ubat makan. 2. Jika anda adalah pesakit kencing manis, terus berjumpa doktor beli ubat yang sesuai. Jangan tangguhkan atau cuba ubat suplemen lain. 3. Farmasi atau pegawai farmasi tidak boleh menyarankan atau memberikan ubat-ubat antibiotik tanpa preskripsi daripada seorang pegawai perubatan! Jadi jangan dapatkan antibiotik di farmasi jika anda tidak berjumpa dengan doktor dahulu. Jika ada pegawai farmasi yang berbuat demikian, sila laporkan. 4. Berhati-hati dengan suplemen yang disarankan oleh mana-mana pihak. Ianya akan membazirkan duit dan melambatkan rawatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube