MEREKA yang bergelar ibu pasti pernah melalui ‘pengalaman gelap’ semasa hamil. Bukan sahaja mengalami alahan dan berubah bentuk tubuh, wajah juga kadang kala mengembang sehingga berubah menjadi seorang individu yang berbeza. Bagaimanapun, paling 'ditakuti' para ibu adalah hidung yang kembang semasa kehamilan. Namun kebiasaannya gejala pelik ini akan hilang perlahan-lahan selepas anda melahirkan cahaya mata. Meskipun ada yang mengaitkannya dengan ciri-ciri hamil anak lelaki, sebenarnya gejala ini berlaku disebabkan beberapa perkara berkaitan kesihatan tubuh. Menurut theAsianparent, selain di bahagian perut, para wanita akan mengalami banyak perubahan pada fizikal semasa hamil. Anda yang pertama kali hamil jangan khuatir dengan perubahan ini ya kerana ia adalah normal. 1. Aliran darah meningkat Kebiasaannya di awal trimester pertama dan memasuki trimester kedua, pembuluh darah melebar bagi membolehkan lebih banyak darah dialirkan kepada janin. Pembuluh darah melebar pada bahagian hidung dan sinus sehingga anda akan mengalami selsema... itulah punca hidung menjadi padat dan sedikit membengkak ya! Wanita hamil cenderung mengalami perubahan fizikal yang mendadak. -Gambar hiasan 2. Peningkatan hormon terutama estrogen Salah satu sebab yang lain adalah kerana perubahan hormon yang mana ia meningkat ketika kehamilan. Hormon, terutama estrogen meningkatkan aliran darah ke seluruh tubuh, terutamanya ke bahagian membran mukus. 3. Penumpukan cecair Penumpukan cecair biasanya berlaku ketika trimester ketiga kehamilan. Sebab inilah ramai yang mengaitkan hidung kembang selalu terjadi pada trimester ketiga. 4. Ibu hidap tekanan darah tinggi Selain pengaruh hormon, penyebab berlakunya pembengkakan pada tubuh ibu hamil adalah disebabkan adanya tekanan darah tinggi. Anda yang mempunyai sejarah darah tinggi, sebaiknya perlu lebih berwaspada dengan perubahan seperti ini. Meskipun anda tidak menyukai perubahan yang berlaku itu, namun ia adalah perkara normal dan tidak bahaya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube