suria

Kereta tiba-tiba rosak tepi jalan? Jangan panik, ini langkah penting yang perlu anda buat

Kereta rosak secara tiba-tiba boleh mencetuskan rasa panik. -Gambar hiasan Freepik

SITUASI enjin kenderaan tiba-tiba 'mati' di tepi jalan pasti membuatkan seseorang itu cemas.

Lebih-lebih lagi jika individu itu tidak begitu mahir tentang selok-belok kereta, pening di buatnya.

Apa yang perlu dilakukan pada ketika itu?

Jangan panik, ikuti tip yang dikongsikan individu dikenali sebagai Mohsein di Twitter agar dapat menilai situasi dan mempertimbangkan tindakan yang wajar diambil selanjutnya.

Kerosakan kereta boleh membuatkan seseorang itu resah. -Gambar hiasan Freepik

1. Teliti bunyi yang keluar daripada enjin kereta

Jika kereta 'mati' dan bunyi enjin seperti 'semput' ketika hendak dihidupkan semula, kemungkinan besar ia adalah kerana minyak petrol sudah habis atau pam minyak di dalam tangki rosak.

Perhatikan jika lampu tahap minyak menyala pada paparan papan pemuka (dashboard).

Jika enjin kereta 'mati' dan langsung tidak boleh dihidupkan semula serta ada bunyi 'tik,tik,tik', maksudnya bateri kereta anda sudah bermasalah dan perlu diganti.

Tidak disarankan untuk lakukan jump-start kereta kerana kenderaan moden yang berselirat dengan peralatan elektronik akan mengundang komplikasi dalam hal ini.

Lebih baik untuk menghubungi vendor bateri seperti Bateriku atau yang seangkatan dengannya untuk datang membuat pemeriksaan lanjut.

Gear kereta harus diletakkan pada neutral (N) ketika sedang ditolak. -Gambar hiasan Freepik

2. Tukar gear kereta

Dalam situasi enjin kereta mengalami kerosakan di tengah jalan, tukarkan gear kereta anda kepada gear neutral (N).

Jika gear terasa keras untuk digerakkan, tekan brek kereta sekuat mungkin dan kemudian baru cuba untuk tukar gear.

3. Jangan cuba tolak kereta ke bahu jalan secara bersendirian

Jika merasakan anda tidak mempunyai kudrat untuk menolak kereta, jangan paksa diri.

Minta pertolongan orang sekeliling, pasti ada yang sudi untuk membantu. Anda akan jauh lebih selamat jika dibantu.

Ketika kereta anda sedang ditolak dengan bantuan orang awam, duduk dalam kereta dan pulaskan stereng anda ke lokasi yang sedikit jauh dari laluan lalu lintas.

Tekan brek jika risau kereta anda akan terlajak ketika sedang ditolak.

Namun perlu diingat, ketika situasi enjin 'mati', stereng tidak dikuasakan dengan tenaga elektrik dan akan terasa berat untuk dikemudikan.

Oleh itu, jika anda tidak berupaya untuk mengemudikan stereng dalam keadaan sedemikian, boleh minta orang lain untuk membantu.

Corong turas boleh digunakan sebagai alternatif untuk mengisi minyak petrol ke dalam kereta. -Gambar hiasan Freepik

4. Isi minyak ke dalam botol

Jika enjin kereta anda mati kerana kehabisan minyak petrol, pergi ke stesen minyak berdekatan dengan membawa botol plastik yang bersesuaian

Sebagai peringatan, soket tempat mengisi minyak di kereta kebiasaannya mempunyai penutup di bahagian dalam untuk menghalang benda asing memasuki tangki.

Oleh itu, ketika anda hendak mengisi minyak petrol menggunakan botol, disarankan untuk anda mencari saluran atau nozel seperti corong turas bagi memudahkan proses pengisian.

Isi minyak petrol secara perlahan-lahan supaya ia tidak tertumpah berjejehan. Jika minyak petrol terkena pada tangan atau anggota badan lain, segera bilas menggunakan air bersih dengan sabun.

Minyak petrol adalah bahan kimia yang merengsakan dan boleh menyebabkan kegatalan sekiranya terkena pada kulit.

Minta bantuan orang lain jika anda rasa ada sesuatu yang tidak kena.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain