PANDAI mengambil hati mentua adalah antara kunci utama untuk rumah tangga kekal hingga akhir hayat. Namun begitu, berinteraksi dengan seseorang yang jauh jarak umurnya bukanlah mudah seperti yang disangka. Jika tersilap memilih topik untuk dibualkan, kelak mungkin ada yang terguris hatinya dan mengeruhkan hubungan antara menantu dan mentua. Berikut adalah beberapa topik 'selamat' yang boleh dijadikan modal untuk membuka perbualan ketika berjumpa dengan mentua. Ayuh kita lihat satu-persatu! Perkahwinan bukan hanya ikatan dengan pasangan, tetapi dengan keluarganya juga. -Gambar hiasan 1. Keadaan cuaca semasa Mereka yang sudah lanjut usia kebiasaanya sangat peka dengan perubahan cuaca seperti peralihan monsun. Oleh itu, boleh cuba tanya mentua tentang mengapa cuaca sangat panas sejak kebelakangan ini, anda pasti akan 'celik mata' mendengar perkongsian pengalaman dan ilmu meteorologi mereka. 2. Tanaman di kebun atau haiwan peliharaan Menjadi kebiasaan untuk mereka yang sudah lanjut usianya mencari hobi baharu bagi mengisi masa lapang selepas bersara. Bermula dari hari ini, apabila anda bertandang ke rumah mentua, perhatikan di kawasan halaman jika ada kelihatan kebun, tanaman atau sebarang haiwan peliharaan. Jika ada, jangan buang masa lagi, terus mulakan perbualan dengan mentua tentang minatnya itu. Mulut mentua anda pasti tak henti-henti menceritakan segalanya dan tak mustahil anda bakal menjadi menantu kesayangan selepas ini. Mentua haruslah dihormati dengan adab yang sewajarnya. -Gambar hiasan 3. Rancangan pilihan di TV Mereka yang sudah menghampiri usia warga emas tidak akan dapat dipisahkan dengan televisyen, telefon pintar bukanlah pilihan utama mereka. Gunakan peluang ini untuk bertanyakan kepada mentua tentang program yang sering ditontonnya. Kembangkan soalan dari situ seperti inti pati rancangan tersebut, watak yang ada di dalamnya dan pukul berapa siarannya. 4. Resepi kegemaran anaknya Pernahkah anda mendengar ungkapan yang mengatakan cinta hati pertama seorang anak adalah ibu bapanya? Tiada insan dalam dunia ini yang lebih mengenali pasangan anda berbanding mentua sendiri. Oleh itu, dekati mentua agar anda dapat mengenali pasangan dengan lebih rapat, misalnya maklumat tentang makanan kegemaran dan resipi untuk memasaknya. Konflik dengan mentua pastinya merunsingkan seseorang. -Gambar hiasan 5. Hubungan pasangan dengan adik-beradik Boleh juga cuba bertanyakan kepada mentua tentang keakraban pasangan bersama adik-beradiknya. Sebagai contoh, anda meminta mentua untuk bercerita dengan lebih lanjut tentang apa-apa insiden melucukan yang melibatkan mereka "Pakcik, Aina ada cakap dekat saya dulu, dia pernah sengaja tinggal adik dia dekat shopping mall, biar betul?" demikian contoh permulaan bicara yang boleh anda gunakan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube