SETIAP graduan institut pengajian tinggi (IPT) pastinya tidak asing lagi dengan konsep Purata Nilai Gred Kumulatif atau CGPA. Ia adalah penanda aras untuk menentukan tahap kecemerlangan akademik seseorang itu di IPT. Selain itu, CGPA juga adalah antara aspek utama yang dipandang majikan ketika menyaring permohonan kerja. Perkongsian asal di TikTok. Pelajar IPT dinasihatkan untuk memperoleh CGPA sekurang-kurangnya 3.0 ke atas agar dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan di industri. Namun begitu, bagaimana pula dengan pelajar yang kurang bernasib baik untuk mengecapi CGPA yang ideal, adakah masa depan mereka sudah punah sepenuhnya? Jangan risau, melalui perkongsian seorang wanita di TikTok yang dikenali sebagai Inanna, sebenarnya ada strategi 'penyelamat' yang boleh diaplikasikan pelajar dalam kateogori ini. Sebagai makluman, Inanna sering berkongsi pandangan dan pengalamannya dalam topik pertumbuhan kerjaya (career growth), berikut adalah beberapa saranannya: Portfolio penting untuk mengukuhkan suatu permohonan kerja. -Gambar hiasan Freepik 1. Dokumentasikan setiap projek sama ada di dalam atau luar kampus yang pernah disertai Menurut Inanna, adalah disyorkan untuk pelajar IPT mengumpulkan setiap projek yang pernah dilakukan ke dalam satu dokumen. "Perkara ini akan membantu untuk membuktikan kepada majikan bahawa anda boleh melakukan kemahiran yang dipelajari ketika di IPT dulu secara hands-on, bukan hanya tahu teori semata-mata. "Waktu saya mula apply kerja dulu, saya print hampir tiga hingga empat salinan report projek untuk berikan good impression kepada majikan. "Kita nak majikan aware yang kita boleh lakukan kerja tu dan yakinkan mereka untuk ambil kita bekerja," kata Inanna. Latihan praktikal adalah batu loncatan untuk seorang pelajar. -Gambar hiasan Freepik 2. Tempat latihan indsutri Seterusnya, pelajar dengan CGPA 3.0 ke bawah harus cuba untuk memanfaatkan sebaik mungkin peluang latihan industri dalam kursus yang diambil. "Intersnhip ini teramat penting sebab ia adalah masa dan ruang untuk pelajar timba ilmu dari industri. "Sangat berbeza buat projek yang dinilai oleh pensyarah dengan buat projek hands-on dalam industri yang penilainya adalah pelanggan atau klien itu sendiri. "Waktu tengah intern ni, cuba rebut peluang sebanyak mungkin. Tidak dinafikan, ada juga kes yang penyelia intern di pejabat tak tahu nak bagi kerja apa, sampai pelajar dibiar je goyang kaki. "Dalam situasi ni, pelajar kena ringankan mulut tanya ada apa yang boleh dibantu tak. Pergi la berkepit dengan boss. Jadi proaktif, ingat anda kena cari kerja, bukan kerja cari korang," ujar Inanna. Inanna juga sempat menitipkan pesanan supaya pelajar mencari tempat latihan industri yang berdekatan dengan kediaman agar dapat menjimatkan kos. Kenalan di alam maya juga boleh membantu untuk mencari kerja. -Gambar hiasan Freepik 3. Cari 'kabel' Menggunakan 'kabel' sering diilihat sebagai konteks negatif terutamanya ketika dalam alam pekerjaan, namun berbeza cerita untuk hal ini. "Anda kena buang mindset yang orang cakap kalau ada 'kabel' ni maksudnya nak cari kerja ikut 'jalan belakang'. Itu bukan maksud saya. "Sekarang ni kita di zaman internet hujung jari, semua orang boleh buat connection dan networking untuk ada kabel mereka yang tersendiri. Tinggal rajin atau tak je. "Apa yang saya maksudkan di sini adalah LinkedIn. Cari pemain industri yang bersesuaian dalam platform tu dan cuba berhubung dengan mereka. "Mereka ni la yang boleh buka jalan untuk peluang pekerjaan dari syarikat yang ada jawatan kosong. Kalau dapat dipanggil untuk interview pun dah satu permulaan yang baik," kata Inanna. Majikan akan melihat kemahiran yang boleh ditawarkan seorang calon. -Gambar hiasan Freepik 4. Belajar kemahiran baharu yang berharga dalam pasaran Ratusan permohonan boleh mencurah masuk untuk satu jawatan kosong yang dibuka, jika mahu terpilih, permohonan anda haruslah lain daripada yang lain. "Anda kena cuba belajar apa-apa skills yang majikan sedang hangat cari dalam industri. Pergi ke kelas kemahiran, dapatkan sijil dan masukkan dalam resume. "Barulah resume anda akan lebih ke depan dari orang lain, maka lebih tinggi kemungkinan untuk anda dipilih majikan," kata Inanna. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube