KERAP diuar-uarkan tentang penggodam menceroboh serta mencuri maklumat peribadi di dalam telefon pintar melalui sambungan talian jalur lebar atau Wifi Pasti anda tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu boleh berlaku, adakah benteng pertahanan di alam maya sebegitu rapuh? Melalui satu perkongsian di TikTok, pakar keselamatan siber dikenali sebagai ImanCybersecurity berkata penggodam boleh berbuat demikian dengan satu teknik yang sungguh licik. Pertama sekali, penggodam harus mendapatkan kata laluan untuk mengakses Wifi yang digunakan orang ramai. Ayuh kita ikuti pendedahan Iman. Alat yang digunakan untuk menggodam Wifi. Sambungan Wifi yang diklon Melalui video itu, Iman menunjukkan demonstrasi cubaan penggodam untuk mengakses Wifi di perkarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC). Iman turut dilihat membawa satu alat elektronik khas yang dipercayai komponen utama teknik penggodaman berkenaan. Menurut Iman, melalui alat terbabit, dia boleh menyasarkan mana-mana telefon pintar di dalam radius capaiannya. Setelah sasaran dipilih, sambungan Wifi telefon pintar itu akan diputuskan. Apabila pengguna ingin mendapatkan semula sambungan Wifi yang terputus, penggodam akan mencipta beberapa sambungan WiFI dengan nama yang mirip seperti WiFi asal. Pengguna akan terpinga-pinga untuk mencari mana satu sambungan Wifi dalam senarai tersebut yang tulen atau palsu. Modus operandi penggodam adalah untuk mengeksploitasi kealpaan pengguna. Kecurian data Besar kemungkinan, pengguna akan tersilap memilih sambungan Wifi yang sudah diklon dan memasukkan kata laluan yang diperlukan untuk memasuki WiFI tersebut. Penggodam akan dapat melihat kata laluan yang dimasukkan dan menggunakannya untuk mengakses Wifi itu, kini gerak kerja jahat sudah boleh dimulakan. Sesiapa sahaja yang menggunakan Wifi tersebut, aktiviti mereka di atas talian akan dapat diperhatikan penggodam itu Dalam situasi sedemikian, penggodam bebas untuk melakukan apa sahaja yang boleh membawa pelbagai keburukan kepada pengguna. Kaedah penggodaman itu dikenali sebagai 'Wifi Phishing' atau "Evil Twin Attack'. Justeru itu, orang ramai diingatkan untuk menggunakan talian Wifi yang terjamin keselamatannya ketika mengendalikan urusan sensitif seperti transaksi bank dan lain-lain. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube