KEMALANGAN boleh berlaku secara mengejut dan menyebabkan sesiapa sahaja yang terlibat panik. Perkara sama dapat dilihat melalui satu rakaman video papan pemuka memaparkan kemalangan jalan raya antara sebuah motosikal dan kereta yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini. Melalui video itu, sebuah motosikal melanggar bahagian belakang kereta yang sedang berhenti di dalam kesesakan lalu lintas. Kemalangan antara motosikal dan kereta yang menjadi tular di media sosial. Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kelekaan penunggang motosikal tersebut yang didakwa sedang bermain telefon pintar. Insiden itu menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan warga maya kerana pemilik kereta terpaksa menanggung kos kerugian kemalangan atas kecuaian pengguna jalan raya lain. Dalam kemalangan antara motosikal dan kereta, ramai menyangka mereka tidak boleh membuat tuntutan kerosakan kereta atas insurans motosikal. "Saya pernah kemalangan macam ni juga, motor yang salah, susah betul nak claim insurans motor. Ini adalah realiti," kata seorang warga maya. Kekal tenang ketika selepas berlakunya kemalangan. -Gambar hiasan Freepik Namun, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap kenderaan bermotor yang menggunakan jalan awam di Malaysia perlu mempunyai sekurang-kurangnya insurans pihak ketiga. Secara ringkasnya, insurans pihak ketiga melindungi motosikal ketika berlaku kemalangan dan melindungi pemegang polisi apabila bertanggungjawab atas kerosakan, kecederaan atau kematian pihak ketiga. Oleh itu, anda boleh membuat tuntutan kerosakan harta benda pihak ketiga melalui syarikat insurans motosikal tersebut. Berikut adalah prosedur yang perlu dilakukan anda untuk membuat tuntutan insurans ke atas motosikal. Ayuh kita semak satu-persatu. Proses selepas berlakunya kemalangan boleh menjadi sedikit rumit. -Gambar hiasan Freepik Pertama, hantar kereta ke bengkel panel insurans. Seterusnya, lantik adjuster untuk menaksir kos kerosakan. Kemudian, kemukakan tuntutan kepada syarikat insurans motosikal tersebut yang mengandungi butiran-butiran ini: 1. Laporan polis (salinan asal). 2. Kad pengenalan pemandu dan pemegang polisi (salinan). 3. Lesen memandu pemandu dan pemegang polisi (salinan). 4. Sijil pemilikan kenderaan (salinan). 5. Kepilkan laporan adjuster. 6. Bil kos pembaikan kereta anda. 7. Gambar kejadian kemalangan dan kerosakan pada kenderaan. 8. Dokumen polis yang menyatakan pihak yang dikompaun bagi kesalahan jalan raya. Sebagai makluman tambahan, jika dikatakan motosikal itu tidak mempunyai insurans, anda harus berhubung secara terus dengan pemilik dan menggesanya untuk berbincang soal bayaran ganti rugi. Jika tidak mendapat kerjasama, anda boleh membawa perkara itu ke perhatian pihak yang mempunyai autoriti untuk tindakan selanjutnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube