TUGAS memasak di dapur tidak dapat lari daripada risiko bahaya kerana ia melibatkan api atau haba yang tinggi. Misalnya, minyak masak yang baru digunakan untuk menggoreng ayam atau air di dalam cerek yang mendidih, jika tersilap cara kendaliannya boleh mendatangkan kecederaan seperti melecur. Jika seseorang itu terjebak dalam situasi sebegitu, apa yang harus dilakukan? Menyapu tepung antara kaedah sering digunakan ketika kulit melecur. Kerap didengari tip untuk menyapu ubat gigi, tepung atau kicap di kawasan kulit yang terkena cecair panas, dikatakan dapat mengurangkan rasa sakit.. Namun, melalui satu perkongsian di Twitter, ternyata amalan yang sudah sebati dengan masyarakat itu sebenarnya boleh menyebabkan komplikasi kecederaan yang lebih serius. Pertama, ia boleh mencetuskan jangkitan kuman di kawasan kulit yang terjejas kerana ada kemasukan benda asing pada lapisan isi daging yang sudah terdedah. Selain itu, apabila tiba di hospital atau klinik, doktor akan terpaksa menyental keluar terlebih dahulu bahan-bahan tersebut dari kulit sebelum rawatan lanjut dapat dimulakan. Seseorang itu harus sentiasa berwaspada ketika memasak di dapur. -Gambar hiasan Walaupun bahan-bahan itu pada awalnya akan dapat memberi sedikit rasa kelegaan pada kulit yang sedang melecur, tetapi lama-kelamaan kesakitan itu akan kembali dengan keperitan berganda. Hal ini kerana bahan-bahan berkenaan bersifat memerangkap haba dan kulit yang melecur akan lambat untuk menyejuk. Perkara yang sewajarnya dilakukan dalam situasi sebegini adalah untuk mengalirkan air di bahagian kulit yang melecur itu. Cara terbaik untuk melegakan sakit melecur adalah dengan melalukan air. -Gambar hiasan Biarkan air terus mengalir di kawasan kulit tersebut sehingga rasa panas dan sakit berdenyut mula surut. Apabila anda sudah boleh bertenang sedikit, terus pergi ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan susulan. Jangan sesekali menggunakan rawatan alternatif seperti menyapu apa-apa ubat tradisional di kawasan kulit yang melecur. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube