SERING kita dengar seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Namun masih ada anak yang rela hati menjaga ibu mereka dengan penuh kasih sayang seperti mana jejaka ini yang mampu menjaga ibunya yang terlantar sakit. Dikenali sebagai @alif0z di TikTok atau nama sebenarnya adalah Alif Rosehaizad, dia sering berkongsikan video rutin harian penjagaan ibunya di platform berkenaan. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Video Alif menarik perhatian ramai kerana di samping pengorbanannya yang tidak ternilai itu, dia dilihat sangat profesional dalam menjaga ibunya yang sudah uzur, persis seorang jururawat bertauliah. Alif dilihat memiliki peralatan serba lengkap khusus untuk penjagaan warga emas selain mempunyai pengetahuan meluas mengenai selok-belok kejururawatan. Bercakap kepada mStar, Alif berkata ibunya yang berusia 65 tahun mengalami Hypoxic-ischemic encephalopathy (HIE) akibat kekurangan oksigen pada Jun 2022 sehingga menyebabkan dia lumpuh seluruh badan. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan rezeki bidang kerani, gadis jatuh cinta kerja jaga warga emas! Sayu layan nenek tua mewarna, main anak patung... tengok TV kisah famili dilarang Lebih membuatkan ramai terinspirasi apabila Alif juga sanggup menamatkan kariernya yang sudah dibina selama lapan tahun demi berada di sisi ibunya. "Mak memerlukan bantuan sepenuhnya untuk aktiviti harian. Saya pula bekerja dalam bidang komunikasi korporat yang sangat sibuk, kadang-kadang kerja sampai kena bawa balik rumah. Alif ketika bekerja dalam bidang komunikasi korporat. "Pernah ketika waktu awal mak jatuh sakit, saya terpaksa bekerja di wad pesakit sambil menemani mak saya. Selepas mak boleh dibawa pulang ke rumah, saya dan adik-beradik yang lain bersetuju mengambil perkhidmatan private nurse. "Tapi saya boleh nampak perbezaan ketara apabila saya yang menjaga mak dengan nurse yang jaga. Ketika saya jaga, mak nampak lebih sihat, berseri dan saya sendiri berasa lebih puas kerana saya sangat teliti dalam penjagaan. Saya pun sedih tengok keadaan mak saya, sukar nak terima kenyataan mak macam ni sekarang. ALIF ROSEHAIZAD "Cuma saya tak mampu berikan 100 peratus perhatian kepada mak kerana kesibukan dan keletihan bekerja. Jadi saya ambil keputusan sukar pada Jun tahun ini untuk berhenti kerja dan jaga mak sepenuh masa," kata Alif. Berbicara bagaimana dirinya boleh menjadi mahir dalam penjagaan warga emas, Alif berkata dia belajar sendiri daripada pelbagai sumber. "Ketika mak saya jatuh sakit tahun lepas, saya dan adik beradik memang tak tahu apa-apa. Jadi atas inisiatif sendiri, saya lakukan pemerhatian terhadap nurse yang menjaga di wad pesakit. "Dari situ saya senaraikan apa yang kami perlu tahu untuk menjaga mak. Kemudian saya mula buat research melalui YouTube untuk belajar teknik-teknik yang betul bagi menjaga pesakit terlantar. Alif menyediakan suntikan insulin untuk diberikan kepada ibunya. "Saya juga ada beberapa lagi sumber lain sebagai rujukan. Alhamdulillah, apabila saya baca komen di TikTok ada yang memuji cara penjagaan saya seperti profesional, saya anggap itu sebagai pujian tertinggi," ujar Alif. Selain itu, mengenai penyediaan peralatan untuk menjaga ibunya, Alif berkata ia dipelajari daripada proses 'trial and error'. "Apabila saya mula menjaga mak, saya menyenaraikan apa yang perlu kami lakukan dalam rutin harian dengan mak, sebagai contoh, mandi, beri susu, menukar lampin dan lain-lain. "Berdasarkan semua rutin ini, saya juga research barang apa yang diperlukan, kemudian teknik pelaksanaan yang betul untuk setiap rutin ini seperti sukatan bahan dan sebagainya. Alif memandikan ibunya yang terlantar di katil. "Semua ini saya senaraikan dalam Google Docs untuk rujukan ahli keluarga lain, saya pun ada buat senarai semak (checklist) rutin waktu pagi dan malam supaya adik-beradik tidak terlepas pandang apa-apa. "Mak tidak boleh bercakap kalau dia lapar atau tak selesa, jadi kami perlu sentiasa peka dan checklist ini boleh dijadikan rujukan untuk kami," kata Alif. Walaupun semuanya kelihatan tersusun rapi dalam video yang dikongsikan, Alif mengatakan dia tetap perlu berdepan dengan cabaran. "Apabila saya jaga mak ni, saya diuji dari segi fizikal dan mental. Dari segi fizikal, saya perlu banyak kerah kudrat untuk mengangkat dan menggerakkan badan, aktiviti tanpa henti sepanjang hari. Ibu Alif dimandikan menggunakan kain basahan. "Tapi saya sering kata pada diri saya, mak mampu membesarkan enam anak lelakinya dengan jayanya. Apalah sangat kepenatan saya ni. Saya pun bersyukur yang adik-beradik lain memainkan peranan masing-masing. "Dari segi mental pula, boleh burnt-out kerana penat, juga ada wujud sedikit rasa terkilan sebab kita dah tak boleh ada kehidupan seperti dulu, tiada kelapangan masa untuk hobi, bercuti dan berjumpa dengan kawan-kawan. "Saya pun sedih tengok keadaan mak saya, sukar nak terima kenyataan mak macam ni sekarang. Tapi saya cekalkan semangat, saya percaya apa orang cakap dekat saya tentang pahala jaga orang sakit dan pintu rezeki akan dibuka," kata Alif. Menitipkan pesanan, Alif berkata adalah normal untuk berasa sedih, marah atau penat ketika menjaga ibu bapa kerana kita adalah manusia biasa yang mempunyai perasaan. Alif menukar lampin ibunya. "Anggap apabila kita jaga ibu bapa kita ni, ia bukan setakat menjaga tetapi peluang untuk kita luangkan masa dengan orang yang kita sayang, satu kesempatan berharga kerana mereka pasti akan pergi suatu hari nanti. "Saya harap perkongsian tip dan pengalaman saya di TikTok ini dapat membantu anak-anak yang sedang berjuang menjaga ibu bapa di luar sana. "Saya tahu betapa sukarnya untuk buat research sendiri, nak menelaah artikel dalam bahasa Inggeris, saya harap perkongsian saya ini dapat memudahkan mereka," ujar Alif menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube