suria

Kajian terbaharu dedah vape sebabkan zakar mengecut! Ubah tabiat, tinggalkan segera e-rokok

Menurut kajian, vape boleh menyebabkan masalah kesuburan dan juga mengecutkan zakar. -Gambar hiasan

'MAHU berhenti merokok' adalah alasan popular yang digunakan oleh mereka yang beralih daripada tabiat menghisap rokok kepada penggunaan elektronik (e-rokok) atau vape.

Vape berfungsi untuk memanaskan cecair yang biasanya mengandungi nikotin dan perasa, di mana penggunanya menyedut nikotin dalam wap dan bukannya asap.

Kebanyakan golongan ini berfikir penggunaan vape adalah lebih selamat kerana tidak terdedah kepada bahan kimia yang boleh menyebabkan penyakit seperti orang yang menghisap rokok konvensional.

Namun tahukah anda, penggunaan vape juga sebenarnya mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan tubuh?

Ini kerana kandungan bahan berbahaya iaitu nikotin terkandung di dalam vape.

Antara kesan buruk penggunaan vape adalah:

1) Pening kepala

2) Tak cukup tidur

3) Ketagihan nikotin. Nikotin adalah hasil tembakau yang menyebabkan ketagihan dan akan membuatkan penggunanya mahu menghisap vape berkali-kali.

4) Meningkatkan risiko serangan jantung dan strok

5) Kecederaan paru-paru

6) Kesihatan mental yang lemah

ARTIKEL BERKAITAN: Vape penyebab mati pucuk, kajian dedah kebenarannya!

Lebih membimbangkan, ramai yang tidak menyedari bahawa penggunaan vape boleh menyebabkan masalah kesuburan dan zakar mengecut!

Perkara tersebut diterangkan oleh seorang doktor yang juga pakar kesihatan lelaki dari SS Clinic, Dr Shashi Kumar dalam satu temubual yang disiarkan di YouTube.

"Nikotin adalah satu unsur atau benda kimia yang boleh menyebabkan pengecutan salur sarah. Penis (zakar) memerlukan pengaliran darah yang bagus, tetapi terbantut disebabkan kandungan nikotin tinggi.

"(Pengguna vape) setiap lima minit nak sedut. Pesakit saya ada yang berusia muda sekitar 27 dan 28 tahun datang kerana ada masalah zakar," katanya.

vape 1

Segelintir remaja yang masih bersekolah sudah berani menghisap vape. -Gambar hiasan

Tambahnya, adalah sangat membimbangkan apabila golongan yang menghisap vape ini terdedah dengan masalah berkenaan pada usia yang agak muda.

Pendapat berkenaan dikukuhkan dengan satu kajian yang dilakukan oleh pasukan saintis Turki, menerusi satu penyelidikan baharu yang dilakukan ke atas tikus jantan.

Para saintis berkenaan mengambil bacaan saiz testis tikus sebelum dan selepas mendedahkan haiwan kepada asap rokok dan wap vape, serta mengenal pasti biomarker tekanan dalam darah dan alat kelamin haiwan berkenaan.

Berikut adalah hasil penyelidikan berkenaan:

1) Kiraan sperma tikus yang terdedah kepada wap vape ialah 95.1 juta sperma setiap mililiter (ml), berbanding 98.5 juta setiap mililiter dalam kumpulan yang tidak terdedah kepada sebarang bahan nikotin.

2) Kiraan sperma tikus yang terdedah kepada asap rokok mempunyai jumlah terendah dengan 89 juta sperma setiap mililiter. Testis mereka juga mencatat ukuran paling kecil dan berat kurang daripada tikus yang terdedah kepada wap vape serta kumpulan tikus yang dikawal.

3) Cecair dalam vape boleh meningkatkan tekanan oksidatif dan menyebabkan perubahan morfologi dalam testis.

4) Cecair vape boleh mengecilkan saiz buah zakar, menghalang dorongan seks dan mengurangkan jumlah sperma.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain