suria

Isteri urus 2 bisnes, suami pula pilih jadi ‘househusband’ besarkan anak-anak... Lelaki ini kongsi pengalaman 11 tahun tak kerja

Vince melepaskan kerjayanya pada 2012 dan memilih menjadi suri rumah. -Gambar TheasianparentSG

SUAMI jadi suri rumah?

Mungkin di negara kita ia agak pelik dan janggal kerana lazimnya golongan Hawa yang memikul tanggungjawab memasak, mengemas serta menguruskan anak-anak sementara suami pula keluar bekerja.

Suami sebagai suri rumah diistilahkan sebagai 'househusband' atau 'stay-at-home-dads' di mana mereka akan mengambil alih tugasan mengurus rumah tangga, manakala isteri pula bekerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tergamak pura-pura pejam mata, suami ‘stay up’ buat kerja rumah waktu isteri tidur... Lelaki ini kongsi tip senangkan hati bidadari

Pasti pelbagai persoalan yang bermain di fikiran ramai mengenai mana-mana pasangan yang mengaplikasikan konsep ini.

Antaranya, keupayaan seorang suami menguruskan rumah tangga, malah mungkin juga terlintas persoalan mengapa si suami membiarkan isterinya mencari sumber pendapatan keluarga.

vince 1

Di samping menjadi suri rumah, Vince juga merupakan penulis buku.

Ada dalam kalangan kita yang mungkin kurang bersetuju dengan konsep ini, namun siapalah kita sebagai orang luar untuk menghakimi kerana tidak berada di dalam situasi pasangan yang berkenaan.

Seorang suami dan bapa dari Singapura yang dikenali sebagai Vince berkongsi kisahnya yang memilih untuk menjadi 'suri' rumah, sejak berhenti kerja pada 2012.

"Ketika berhenti kerja pada 2012, isteri saya mempunyai dua perniagaan. Dia sememangnya seorang yang sangat kuat bekerja. Malah dia juga yang menjaga keperluan kami.

"Saya ambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga anak. Bagi saya itu juga adalah kerja. Selain itu, saya juga merupakan penulis buku," ujarnya.

Menurut Vince, keputusan tersebut didorong kerana dia mahu melihat anak-anaknya membesar depan mata serta bersama mereka sepanjang waktu, bukan sekadar hujung minggu sahaja.

vince 3

Vince gembira kerana dapat meluangkan masa lebih lama dengan anak-anaknya.

Sepanjang bertahun-tahun menjadi suri rumah, Vince turut berkongsi pengalaman dan kelebihan apabila suami mengambil alih tugasan berkenaan iaitu:

1) Mengejutkan anak-anak bangun untuk ke sekolah, menyediakan sarapan menguruskan hal anak-anak termasuk kerja sekolah, menguruskan rumah.

2) Mempelajari ilmu masakan daripada rancangan televisyen.

3) Belajar hiasan dalaman untuk mendekorasi rumah.

4) Lebih rapat dengan anak-anak kerana tidak memerlukan pengasuh walaupun terpaksa mengorbankan kerjaya profesional.

5) Belajar banyak perkara sepanjang menguruskan anak-anak antaranya keluarga adalah prioriti.

Tambahnya, dalam situasi ini, apa yang penting adalah sikap saling memahami antara suami dan isteri kerana kedua-duanya saling memerlukan.

Sementara itu memetik kenyataan daripada laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Kuala Lumpur, hukum suami menjadi 'suri' rumah adalah tidak digalakkan jika ia tidak diredai oleh isteri.

Namun jika isteri meredainya, maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain