KETIKA ini, isu kenaikan harga barangan menjadi antara topik yang hangat dibincangkan sama ada di kedai kopi mahupun media sosial. Rata-ratanya merungut dan meluahkan rasa kecewa kerana peningkatan harga yang disifatkan agak ketara itu membuatkan mereka terkesan dan semakin terbeban. Jika sebelum ini jumlah wang yang biasa diperuntukkan untuk barangan dapur boleh menampung perbelanjaan selama sebulan, namun ketika ini jumlah tersebut hanya mempu membeli barangan dalam kuantiti yang terhad. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pandang hina sayur ‘clearance’ tak cukup sifat, kalau pandai masak tetap sedap! Wanita tegur perangai suka memilih tapi poket nipis Justeru, selain inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani situasi ini, kita juga disarankan menjadi pengguna yang bijak dengan mengamalkan sendiri langkah untuk berjimat cermat. Berikut adalah 10 tip bagaimana untuk menjimatkan perbelanjaan dapur, sebagai panduan bersama: 1) Berbudi kepada tanah Bukan hanya menjimatkan, malah lebih sihat jika makan hasil yang ditanam secara organik. Antara sayur-sayuran yang boleh ditanam adalah serai, pokok limau purut, daun pandan, daun sup, daun kari, sawi, kangkung, bayam, cili dan sebagainya. Bukan hanya menjimatkan perbelanjaan, aktiviti berkebun juga dapat mengeluarkan peluh. -Gambar hiasan/Raja Faisal Hishan 2) Senaraikan barang sebelum membeli Jika sebelum ini kita biasa mengambil sahaja barangan dan memasukkannya ke dalam troli, apa kata selepas ini cuba ubah tabiat berkenaan. Rancang menu yang mahu dimasak dengan anggaran isi rumah, contohnya untuk tempoh seminggu. Langkah ini untuk mengelakkan pembaziran, over-budget ataupun terbeli barang bukan keperluan. 3) Beli secara borong Pembelian barangan secara borong biasanya lebih murah. Disarankan membeli barang kering serta tidak mudah rosak. Contohnya bawang, telur, kentang. Untuk bahan basah pula, belilah di pasar borong ataupun jika ada inisiatif, belilah daripada peraih. 4) Catat perbelanjaan harian Mungkin agak leceh namun sebenarnya dengan cara ini sahaja anda dapat mengesan setiap sen yang dibelanjakan. Di samping itu, anda dapat membuat perbandingan perbelanjaan antara bulan-bulan sebelumnya. Latih diri untuk kerap memasak dan membawa bekal ketika bekerja sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan. -Gambar hiasan 5) Masak sendiri Ada kalanya kekangan masa membuatkan anda tidak punya masa untuk memasak dan lebih mudah membuat pesanan daripada servis penghantaran makanan. Namun bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Cubalah memasak biarpun ia hanya menu ringkas. Lama-kelamaan, anda pasti terbiasa dan dapat merasai kesannya. 6) Kurangkan makan di luar Menikmati hidangan di luar bukan sahaja perlu mengeluarkan kos untuk harga makanan, tapi kos petrol, tol dan sebagainya untuk ke premis tersebut. Jika sebelum ini boleh dikatakan setiap minggu anda makan di luar, apa kata cuba hadkan kepada sebulan sekali. 7) Bawa bekal Langkah ini sememangnya sudah dilakukan oleh kebanyakan individu. Cuba anda congak perbelanjaan yang dikeluarkan jika keluar bekerja, sekurang-kurangnya RM15 'terbang' setiap hari. Membawa bekal bukan hanya dapat menjimatkan wang, malah ia lebih menyihatkan kerana anda tahu setiap bahan yang digunakan. 8) Simpan lebihan lauk Jika sebelum ini anda mungkin terbiasa membuang lauk yang tidak habis dimakan, bermula dari sekarang, ubahlah tabiat tersebut. Simpan lebihan lauk di dalam bekas dan masukkannya ke dalam peti sejuk.... esoknya anda hanya perlu panaskan dan boleh dijadikan sarapan. Rajinkan diri untuk membuat perbandingan harga terhadap barang yang ingin dibeli. -Gambar hiasan 9) Survey harga barang Rajinkan diri untuk membuat perbandingan harga barang di beberapa pasar raya. Selain itu, bertukarlah kepada jenama yang lebih murah. Tak salah pun jika 'downgrade' sedikit, asalkan poket kita dapat dijimatkan 10) Beli barang ketika promosi Selalunya, pasar raya besar akan membuat promosi barangan setiap bulan. Jangan lepaskan peluang untuk membeli-belah pada waktu ini. Oh ya, ada satu ruangan di pasar raya yang menempatkan barang 'clearance'. Barang clearance bermaksud barang yang sudah lama di rak, hampir tamat tempoh ataupun yang dipotong bahagian yang sudah rosak seperi buah dan sayur. Tak salah pun membeli barang clearance asalkan masih elok untuk dimakan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube