suria

Kecil-kecil warna putih di wajah rupanya biji kolesterol! Tolong jangan picit, ini cara hilangkan tanpa rawatan mahal

Tindakan memicit biji kolesterol hanya akan membuatkan struktur kulit rosak.

SELAIN jerawat dan jeragat, kebanyakan wanita berdepan dengan masalah kehadiran biji kolesterol atau milia seed pada wajah.

Biji kolesterol ini berupa biji-biji kecil yang berwarna putih kekuningan dan tidaklah berbahaya, menyakitkan atau menyebabkan rasa gatal.

Memetik laman Hellodoktor.com, terdapat dua punca yang menyebabkan biji kolesterol ini terbentuk pada wajah, iaitu penggunaan produk penjagaan muka berasaskan minyak dan juga kerap menggunakan alat solek.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu jumpa doktor, cuba hilangkan kutil guna 5 bahan yang ada di rumah

Selain itu, ia juga berpunca akibat pengumpulan minyak yang banyak pada wajah sehingga menyebabkan sel kulit mati berkumpul lalu mengakibatkan liang-liang kulit tersumbat.

Awas, ia tidak boleh dipicit seperti anda memicit jerawat kerana terbentuk di bawah lapisan kulit.

cuci muka

Rutin mencuci wajah setiap hari dapat membersihkan kulit daripada noda-noda yang terhasil akibat persekitaran dan penggunaan alat solek. -Gambar hiasan

Tindakan memicitnya hanya akan merosakkan kulit anda.

Lalu, apakah cara bagi menghilangkan biji kolesterol ini?

Terdapat beberapa kaedah yang boleh anda gunakan untuk menyingkirkannya, iaitu:

1) Mencuci wajah

Pastikan anda mencuci muka dengan sabun yang lembut dan bebas paraben setiap hari. Selepas mencuci muka, keringkan kulit wajah dengan kain.

2) Skrub

Sesetengah ejen pengelupasan (exfoliate) boleh menghalang keratin dalam kulit anda daripada terhasil secara berlebihan.

Disarankan untuk menggunakan skrub muka yang mengandungi asid salisilik, asid sitrik atau asid glikolik. Skrub hanya sekali dalam seminggu.

skrub

Skrub bertujuan menanggalkan sel-sel kulit mati. -Gambar hiasan

3) Krim retinoid

Krim retinoid mengandungi vitamin A yang penting untuk kesihatan kulit.

Gunakan mana-mana produk yang mengandungi retinoid atau retinol hanya sekali dalam sehari. Pakai apabila muka telah dicuci bersih dan kering.

Sewaktu menggunakan krim retinoid atau retinol, jangan lupa pakai bersama krim pelindung matahari setiap hari.

4) Krim pelindung matahari

Gunakan krim pelindung matahari yang direka khusus untuk wajah.

Pastikan SPF krim adalah 30 atau lebih tinggi. Jika kulit anda sangat sensitif kepada matahari, pertimbangkan untuk menggunakan produk dengan SPF 100.

5) Wap wajah

Ia bertujuan membuka liang-liang untuk menyingkirkan bahan perengsa kulit.

Caranya, duduk dalam bilik mandi dan buka air pancuran dengan suhu panas. Duduk selama lima hingga 10 minit.

Setelah itu, tutup pancuran air panas dan duduk beberapa minit lagi dalam bilik mandi. Kemudian, lap kering kulit dan bilas dengan air suam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain