SETIAP wanita yang bergelar ibu melalui proses yang berbeza-beza sejak awal kehamilan sehinggalah bayi mereka dilahirkan. Di laman TikTok, seorang wanita dikenali sebagai Azreen mencuri perhatian ramai apabila dia berkongsi tentang susu badannya yang dijangkiti kuman. Menurut Azreen, peristiwa pada tahun 2019 itu menyebabkan anak lelakinya yang diberi nama Riyadh Uwais turut dijangkiti kuman sehingga terpaksa dirawat di hospital. "Kejadian bermula sejak dia lahir tahun 2019. Selepas minum susu, Uwais menangis. Masa saya beri susu formula dia tak menangis. Kalau susu badan, dia menangis. Susu badan saya cair macam air kosong letak susu setitik. Macam air putih keruh, tak pekat langsung. "Sampai umur tiga bulan, dia demam panas. Doktor buat semua ujian ke atas Uwais dan saya, termasuk ujian susu. Uwais kena pneumonia. Dapat keluar result susu, doktor kata susu berkuman. Saya terus tanya puncanya daripada mana? Kejadian yang berlaku pada tahun 2019 membuatkan Azreen risau untuk menyusukan anaknya. "Kalau kata skincare, saya berhenti sejak hamil. Semasa berpantang, saya dijaga oleh emak dan hanya makan makanan pantang. Tiada tetamu luar datang melawat. Dari segi pemakaian dan kebersihan juga saya jaga. Uwais anak kedua," cerita Azreen. Sepanjang dirawat di hospital, Azreen berkata dia kepenatan kerana Uwais kerap menangis dan tidak boleh tidur lama. Malah katanya, dia turut bingung apabila pihak hospital juga gagal mencari punca kehadiran kuman dalam susu badannya. "Mata Uwais sentiasa merah je sebab nangis tak berhenti. Paling lama tidur 20 minit je, lepas tu Uwais akan bangun nangis. Badan naik bintik-bintik merah halus. Uwais nangis tak berhenti, tak nak susu. "Doktor pun tak tahu macam mana boleh ada kuman dalam susu tu. Sebab susu tu sentiasa baru. Macam fresh dalam dari kilang susu. Doktor kata sepatutnya susu ibu tiada jangkitan kuman," ujarnya lagi. Kata Azreen, Uwais kini berumur empat tahun dan keadaan kesihatannya juga bertambah baik. Tambah Azreen, kejadian malang itu membuatkan dia serik untuk menyusukan anak sendiri kerana bimbang detik sama berulang kembali. "Kuman tu dah berjalan ke sana sini termasuk perut Uwais. Mama dengan Uwais sama-sama on antibiotik. Doktor bincang dengan team untuk cari punca kuman tu. Sampai sekarang belum dapat jawapan. Setiap kali jumpa, doktor cakap tak pasti datang daripada mana. ARTIKEL BERKAITAN: Susu ibu makin sikit ketika berpuasa, badan pula letih melampau... Ikuti tip ini agar tetap cergas dan bertenaga "Tak sampai hati hari-hari tengok Uwais macam ni. Tapi apabila dah on antibiotik, Uwais mula ceria. Doktor kata habis antibiotik mama, mama dah boleh susukan Uwais semula. "Tapi mama tak nak. Maafkan mama, mama takut kalau jadi lagi macam mana? Sebab tak tahu kuman tu datang dari mana? Takkan nak tengok Uwais macam ni lagi," ujarnya lagi. Menurut Azreen, kesihatan Uwais bertambah baik pada saat ini, namun dia masih lagi mengalami masalah-masalah lain dalam kehidupan seharian. "Alhamdulillah anak saya dah sihat. Uwais dah empat tahun. Cuma lepas kejadian tu dia sangat sensitif. Mudah sakit perut, mudah kena cirit-birit. Setiap bulan dia kena ambil probiotik. "Kuman ada dalam susu badan saya. Sampai sekarang belum ada jawapan. Doktor kata itu kes pertama yang dia hadapi. Anak saya bertambah baik semasa dalam pemantauan, jadi doktor assume antibiotik tu sesuai dengan kuman tu," ceritanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube