HUBUNGAN kelamin merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan suami isteri. Terbaharu, seorang wanita tampil bercerita di laman X tentang masalah Jangkitan Saluran Kencing (UTI) yang dialaminya selepas mendirikan rumah tangga tiga bulan lalu. "Saya pengantin baharu, dah tiga bulan. Ada masalah, saya kena UTI setiap kali selepas seks. Pergi klinik, doktor kata tak serius dan akan bagi antibiotik. "Ia membuatkan saya takut untuk seks. Bukan sekali, tapi setiap kali saya dan suami hubungan intim, hari seterusnya saya akan dapat UTI. Saya perlukan bantuan untuk cegah UTI, saya trauma sangat. "Saya selalu tolak untuk bersama suami. Sejak beberapa minggu lalu, dah tujuh ke lapan kali saya tolak. Suami faham, tapi sampai bila saya nak tolak? Saya rasa tak berguna, tolong saya," ujar wanita itu. Menurut portal kesihatan MyHealth, UTI adalah jangkitan oleh mikroorganisma (kuman) pada bahagian tertentu saluran kencing sama ada ginjal, ureter, pundi kencing atau urethra. Apakah yang meningkatkan risiko untuk mendapat UTI? 1. Masalah saluran kencing: Sekiranya anda tidak mampu mengawal ketika membuang air kecil, risiko untuk mendapat jangkitan akan meningkat. Anda juga lebih berisiko sekiranya pernah mendapat jangkitan saluran kencing atau menjalani pembedahan pada saluran kencing sebelum ini. 2. Saluran tersumbat: Saluran kencing yang tersumbat akan mengganggu dan menjejaskan aliran air kencing. Antara sebab-sebab saluran kencing tersumbat adalah batu karang yang terbentuk di buah pinggang dan pundi kencing. Masalah kelamin boleh menjejaskan hubungan antara suami isteri. -Gambar hiasan Pixabay 3. Tidak berkhatan: Kulup yang terdapat pada zakar memudahkan kuman terperangkap dan memasuki saluran kencing. 4. Masalah prostat: Kelenjar prostat yang membesar atau jangkitan prostat (prostatitis) meningkatkan risiko jangkitan saluran kencing. 5. Hubungan kelamin: Anda akan lebih mudah mendapat jangkitan sekiranya pasangan mempunyai jangkitan. Pada wanita muda yang aktif melakukan hubungan kelamin, risiko untuk mendapat jangkitan adalah lebih tinggi. Honeymoon cystitis biasanya berlaku pada pasangan yang baru berkahwin. Sebab utamanya adalah pemindahan bakteria E.coli (yang lazimnya hidup di dalam usus) ke dalam urethra. ARTIKEL BERKAITAN: Ada oren, kuning... 10 warna air kencing ini bantu beri petunjuk tahap kesihatan, urin anda yang mana satu? 6. Sistem imun lemah: Sistem imun anda adalah pertahanan badan anda terhadap jangkitan dan penyakit. Sistem imun yang lemah mungkin tidak mampu melawan kuman yang menyebabkan jangkitan saluran kencing. Sistem imun akan menjadi lemah sekiranya anda menghidapi penyakit jangka panjang seperti HIV atau diabetes. Pencegahan 1. Elakkan dari menahan membuang air kecil ketika anda berasa perlu. Menahan membuang air kecil ketika perlu akan menyebabkan pembiakan bakteria-bakteria yang mungkin terdapat dalam air kencing. 2. Pastikan anda minum air secukupnya, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Ini akan membantu pembuangan air kecil yang lebih kerap. 3. Sentiasa membersihkan kawasan genital sebelum dan selepas melakukan hubungan kelamin untuk mengelakkan pemindahan bakteria ke kawasan urethra atau vagina. 4. Minum jus cranberry adalah salah satu cara semula jadi untuk mencegah jangkitan saluran kencing, malah ia juga membantu dalam menyembuhkan jangkitan tersebut. 5. Pengambilan dua gelas jus Cranberry setiap hari sudah mencukupi untuk mencegah dan mempercepatkan pemulihan sekiranya jangkitan berlaku. 6. Ambil vitamin C secara berkala. Vitamin C akan meningkatkan tahap keasidan air kencing, seterusnya akan mengurangkan jumlah bakteria berbahaya yang mungkin terdapat dalam sistem saluran kencing. 7. Elak menggunakan produk kebersihan wanita yang boleh menyebabkan kerengsaan pada bahagian urethra. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube