suria

Bayi 9 bulan meninggal dunia dalam perut, ibu berjurai air mata kongsi kisah... Punca dari najis kucing

Dyna menceritakan semula bagaimana bayi dalam kandungan boleh meninggal dunia.

LULUH hati seorang wanita apabila doktor memaklumkan bayi dalam kandungan berusia sembilan bulan sudah meninggal dunia.

Usahawan Dyna Yusof berkongsi kisah duka tersebut dalam satu hantaran di media sosial selepas enam bulan insiden tersebut berlalu.

Sebagaimana diceritakan Dyna, bayinya sangat aktif sejak awal kehamilan namun pada pemeriksaan kandungan terakhir, doktor memaklumkan jantung bayinya sudah terhenti.

"Hari terakhir saya buat pemeriksaan kandungan, dapat tahu bahawa jantung bayi saya dah berhenti. Benda tu dah lama tapi mungkin saya tak boleh lupa.

"Doktor cakap jantung bayi dah terhenti dan dah tak ada. Masa tu terkejut dan tanya doktor, bayi saya ke mana? Doktor jelaskan perkara tu pada suami dan saya.

Tangkap layar video dikongsikan Dyna.

"Masa tu saya diam, tak mampu berkata apa-apa. Keluar dari bilik doktor, masuk kereta saya terus menangis sebab tak boleh terima perkara itu," jelasnya.

Mengakui bahawa takdir ini berat untuk diterima, Dyna bagaimanapun menganggapnya sebagai takdir yang sudah tertulis buat dirinya dan suami.

Selepas tiga bulan berlalu (keguguran), doktor berjaya mengesan punca kematian dengan mengesahkan bayinya dijangkiti virus Toksoplasmosis (dari najis kucing) sejak awal kandungan lagi.

Disebabkan bayinya sudah lagi tidak bergerak dan mengeras, Dyna bersalin secara semula jadi tanpa paksaan (induce).

Tegasnya dalam hantaran sama, dia tidak menyalahkan kucing dengan apa yang berlaku.

Reda dengan pemergian anaknya, Dyna menitipkan pesan agar ibu hamil di luar sana agar lebih berhati-hati dan mengelakkan diri daripada terkena jangkitan virus berkenaan.

22624680

Jangkitan dengan parasit biasanya berlaku disebabkan kotoran kucing yang dijangkiti.

Memetik portal hellodoktor, Toksoplasmosis adalah penyakit disebabkan oleh jangkitan parasit Toxoplasma gondii (T.gondii), salah satu parasit yang paling umum di dunia.

Jangkitan biasanya berlaku apabila seseorang itu makan daging tercemar yang tidak matang, pendedahan dari kotoran kucing yang dijangkiti, atau penghantaran ibu kepada anak semasa kehamilan.

Toksoplasma boleh mempengaruhi saluran pencernaan (termasuk mulut, kerongkong, perut, usus dan anus), jantung, saraf dan kulit.

Kebanyakan individu sihat yang dijangkiti Toksoplasmosis tidak mempunyai tanda atau simptom dan tidak menyedari bahawa mereka dijangkiti.

Sesetengah orang, bagaimanapun, menunjukkan tanda-tanda dan simptom seperti sakit badan, nodus limfa bengkak, sakit kepala dan demam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain