suria

Alami batuk berpanjangan, tak sedar ada tibi! Jangan ambil mudah, segera buat ujian jika bersimptom

Batuk yang berterusan mungkin menjadi tanda anda terkena jangkitan tibi.

KEMENTERIAN kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku beberapa kes tuberkulosis atau tibi namun keadaannya masih terkawal.

Justeru orang ramai diminta supaya tidak panik namun dalam masa sama kesedaran kesihatan untuk mengelak daripada ia terus merebak perlu diamalkan.

Penyakit ini disebabkan oleh bakteria mycobacterium tuberculosis dan biasanya menular melalui udara apabila orang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap.

Doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan baru-baru ini ada berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran di Facebooknya untuk peringatan bersama.

Jelasnya tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit serius yang biasanya menyerang paru-paru dan bahagian tubuh lain seperti buah pinggang, tulang dan otak.

Jika tidak dirawat dengan betul, tibi boleh menyebabkan kerosakan organ-organ tersebut sehingga boleh membawa maut.

16849675

Batuk berterusan adalah salah satu simptom penyakit tibi. -Gambar hiasan

Namun menerusi rawatan yang tepat, kemungkinan untuk sembuh adalah tinggi.

Tanda-tanda awal penyakit tibi boleh dikesan sekiranya individu itu mengalami batuk berterusan lebih dari tiga minggu, batuk berdarah, sakit dada, keletihan, penurunan berat badan, demam dan berpeluh pada malam hari.

Terdapat tujuh ujian boleh dilakukan untuk mendiagnosis tibi:

1. Ujian Mantoux iaitu penyuntikan tuberkulin dan pemeriksaan reaksi kulit.

2. Ujian darah IGRA (Interferon-Gamma Release Assays) untuk mengukur respons imun terhadap tibi.

3. Xray dada untuk mengesan perubahan disebabkan tibi.

4. Pemeriksaan kahak melalui mikroskopik atau kultur bakteria tibi.

5. Rapid Test seperti GeneXpert untuk DNA tibi dan rintangan ubat.

6. Biopsi iaitu pengambilan sampel tisu untuk kesan tibi di luar paru-paru.

7. Imbasan (CT scan) atau MRI (Magnetic Resonance Imaging) untuk tibi pada organ lain.

Dapatkan nasihat doktor di klinik berdekatan sekiranya batuk berlarutan. -Gambar hiasan

Di Malaysia Pelan Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada awal tahun 1950, termasuk vaksinasi tibi, yang diberikan secara percuma untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan tibi.

Suntikan BCG adalah vaksin wajib yang efektif dalam mencegah tibi, termasuk meningitis tibi pada kanak-kanak.

Biasanya diberikan kepada bayi yang baru lahir dan hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup.

Bagi mereka yang sudah terkena tibi pula, pengambilan antibiotik selama sekurang-kurangnya enam bulan mengikut saranan doktor adalah perlu dilakukan.

Ia sangat penting untuk menyelesaikan kitaran rawatan untuk mencegah kerintangan ubat yang akan menjadikan TB yang lebih sukar dirawat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain