suria

Kehadiran orang ketiga ujian atau jodoh? Mutawif kongsi 4 tip berdasarkan pengalaman ‘digoda’

Abduh berkongsi beberapa tip bagi mengelakkan kehadiran 'orang ketiga' dalam rumahtangga.

SEJAK kebelakangan ini, isu rumah tangga dan pasangan curang sering dikongsikan di media sosial.

Bagi yang terpalit dalam isu ini, mereka menganggap ia adalah suratan takdir dan jodoh yang telah ditetapkan selain melihatnya sebagai salah satu ujian dalam kehidupan.

Golongan agamawan juga tidak terkecuali berdepan dengan masalah rumah tangga dan gangguan ‘orang ketiga’ mungkin disebabkan ilmunya, tutur kata yang lembut dan beberapa faktor lain.

Menerusi hantaran di Facebook, Pengasas Tadabbur Trip, Abduh Nursalam berkongsi pengalaman sepanjang berkecimpung dalam kerjaya sebagai mutawif sejak 2012.

“Saya membawa orang pergi mengerjakan ibadah umrah dan haji. Berulang-alik ke Makkah dan Madinah membawa jemaah... apa yang saya nak sebut, dalam kerjaya sebagai mutawif ini boleh kata agak dahsyat juga ujiannya.

“Bukan saya nak perasan dan bangga diri sebab ada puluhan ribu orang perempuan yang mengorat dan melamar... boleh tanya sesiapa saja kenalan anda yang mungkin sudah biasa bawa jemaah haji dan umrah. Masing-masing ada pengalaman sendiri,” ujarnya.

Abduh Nursalam menyediakan pakej pelancongan ke Minangkabau dan Acheh.

Abduh Nursalam menyediakan pakej pelancongan ke Minangkabau dan Acheh.

Bukan itu sahaja, dia turut berkongsi beberapa peristiwa yang pernah terjadi kepada sahabat-sahabatnya.

“Ada yang diuji dengan kerenah jemaah wanita yang merupakan isteri orang, semua masalah rumahtangga nak cerita dengan mutawifnya sampai suami naik berang dan sabitkan ustaz dengan pelbagai tuduhan yang jahat.

“Ada yang diuji dengan jerat seorang jemaah yang berstatus janda dan hampir terperangkap si ustaz.

“Ada jemaah wanita, gadis yang jatuh cinta 'gila-gila' dengan mutawifnya sampai dikejar-kejar si ustaz tu walaupun dah tahu ustaz sudah pun berkeluarga dan ada anak-anak,” katanya yang kini menguruskan percutian 'orang-orang pencen' ke Minangkabau dan Aceh, Indonesia.

Susulan itu, dia berkongsikan beberapa tip bagi mengelak timbulnya ‘cinta’ orang ketiga seterusnya memelihara rumah tangga supaya kekal bahagia.

Bagi Abduh Nursalam, ‘bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi’.

Jangan lupa menguar-uarkan bahawa diri sudah berkahwin. -Gambar hiasan

Jangan lupa menguar-uarkan bahawa diri sudah berkahwin. -Gambar hiasan

1. Suami perlu perkenalkan diri dan wajib jujur nyatakan status diri. Sekiranya sudah berkahwin beritahu bahawa anda sudah pun berkahwin.

Seorang hamba Allah pernah bercerita bahawa beliau adalah seorang lelaki yang jenis tak suka perkenalkan diri kepada jemaah kerana ingin 'test market' padahal diri sudah pun berpunya. Anak sudah berderet panjang sampai penuh van sekolah.

Sedarkah anda sebenarnya anda sedang memberi harapan kepada wanita-wanita yang mungkin meletakkan harapannya kepada anda? Anda sedang berikan harapan palsu. Apa hukumnya jika anda menipu?

Tak perlu beriya nak 'test market'. Sebab perkara yang sama juga akan berlaku kepada isteri anda di rumah. Mungkin ada lelaki lain akan test isteri anda pula.

Jujur sahaja. Tak ada yang perlu disorokkan.

Dengan hebahan ini juga akan membuat jemaah-jemaah wanita yang mengikuti anda cuba menjarakkan diri mereka dengan anda. Tidak berlebih-lebihan dalam bergurau dan bercakap. Mereka akan hormat anda.

Elakkan diri daripada mendengar kisah peribadi individu lain. -Gambar hiasan

Elakkan diri daripada mendengar kisah peribadi individu lain. -Gambar hiasan

2. Sekiranya langkah yang pertama sudah dibuat. Semua orang dah tahu yang anda sudah berkahwin, tapi masih ada juga yang cuba-cuba 'mengejar'.

Yang selalu bertanya anda untuk jadikan sebagai menantu, yang minta dijadikan sebagai isteri kedua dan lain-lain, anda perlu berusaha untuk menjaga jarak dengan mereka.

Usahakan untuk tidak melayan mesej atau panggilan telefon yang masuk.

Sekali sahaja anda melayan, secara tidak sedar sebenarnya anda sedang membuka ruang untuk fitnah menjadi berlarutan.

Anda akan dilanda penyakit 'angau' yang pernah melanda sewaktu awal-awal anda bercinta dengan isteri. Mungkin lebih dahsyat lagi angaunya.

Apabila berakhir dengan sesuatu peristiwa yang tidak sesuai dengan apa yang dirancang, tiba-tiba anda kata ‘ini takdir’ ataupun ‘jodoh’, sedangkan dari awal lagi anda ada pilihan untuk melayan atau tidak.

3. Perlu maklumkan dan libatkan isteri anda supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

Jika dari awal anda cuba sorokkan dan isteri dapat tahu dengan 'caranya sendiri', pergaduhan mungkin akan berlaku.

Tapi ini perlu melihat kepada keperluan dan kesesuaian masa dan tempat.

Isteri anda lebih terbuka jika anda sendiri yang memberitahu daripada dia sendiri yang cuba cari tahu. Walaupun proses ini kebiasaanya dirasakan leceh dan membuang masa oleh kebanyakan para suami.

4. Bagaimana jika anda memang orang yang memang nak kahwin baru atau berpoligami?

Tanya diri sendiri, mampukah aku dari segi zahir dan batin?

Kalau nafkah untuk isteri pun selalu tak bagi, duit yang ada cuma cukup-cukup makan, anak-anak pun selalu terabai, maka anda disarankan untuk hanya buat langkah satu hingga tiga sahaja.

Sila jangan menggatal nak selamatkan para janda dan gadis sebab andalah yang paling utama untuk diselamatkan terlebih dahulu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain