PERASAAN sayang dan ingin melindungi membuatkan kebanyakan ibu bapa sentiasa memerhati tingkah laku anak-anak sehingga adakalanya membataskan pergerakan mereka. Tindakan itu jika sering dilakukan akan menyebabkan keinginan anak-anak untuk mencuba sesuatu semakin ‘tumpul’ seterusnya hidup bergantungan kepada kedua-dua orang tuanya. Perkara sama turut disuarakan penulis buku Bestnya Parenting, Wawa Shauqi yang berpandangan sikap ibu bapa seperti itu akan menyebabkan anak-anak kurang kemahiran dan kecekapan tubuh apabila dewasa kelak. “Adakalanya cukup untuk kita letak peraturan dan pantau seadanya. Selebihnya, beri autoriti untuk mereka bina potensi dalam diri,” katanya. Dia turut menyenaraikan lima larangan ibu bapa terhadap anak-anak tetapi sebenarnya memberi banyak kebaikan. 1. Main tanah Kebanyakan ibu bapa akan memarahi anak mereka yang bermain tanah kerana menganggap ia kotor selain bimbang terdapat najis haiwan mahupun serangga kecil. Namun sebenarnya, tingkah laku ini dapat merangsang sensori (tactile) anak anda selain mendapat sumber vitamin D dari matahari. 2. Conteng dinding Dinding yang dipenuhi ‘karya’ sememangnya memalukan, terutama sekali apabila ada tetamu yang gemar menegur. Para ibu dan bapa boleh melekatkan kertas atau plastik 'white board' di dinding bagi membolehkan anak terus 'berkarya'. Pergerakan atau tingkah laku tersebut dapat menguatkan otot dan sendi bahu anak-anak. Pada masa sama meningkatkan kemahiran koordinasi bilateral, midline crossing dan koordinasi antara tangan serta mata seterusnya baik untuk mereka menulis. 3. Rumah berselerak Kebanyakan anak gemar menyepahkan rumah dengan permainan yang ada sehingga ibu bapa berasa stres kerana perlu sentiasa mengemas. Nanti dulu! Sebelum anda memarahi anak-anak, ketahuilah perbuatan tersebut sebenarnya menggalakan kreativiti serta kebergantungan pada gajet. Anak anda juga pasti mahir dalam menyelesailan masalah. 4. Memanjat Tidak dinafikan, 'anak jatuh' adalah sesuatu yang dibimbangi oleh ibu bapa.. Bagaimanapun, tingkah laku aktif anak-anak seperti itu dapat membina kekuatan otot, sendi dan tulang mereka. Pada masa sama dapat meningkatkan keyakinan diri dan keberanian mengambil risiko selain mudah menguruskan tekanan mahupun anxiety. 5. Mengganggu bapa bertukang Perkara yang cepat akan menjadi lambat apabila adanya anak kecil bersama. Bagi para ayah yang mengelak untuk melakukan kerja sekiranya anak ada bersama, ketahuilah bahawa anak menjadikan anda sebagai role-model. Selain membina ikatan antara anak dan ayah, mereka juga akan menjadi lebih cekap sekali gus mengelakkan masalah sosial berlaku. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube