IBU berkerjaya yang menghantar anak ke taska demi mendapatkan rehat dan menenangkan diri buat seketika atau 'me time' sering dipandang serong segelintir pihak termasuk golongan wanita sendiri. Ramai yang menyifatkan tindakan sedemikian sebagai pentingkan diri dan tidak mempunyai rasa sayang terhadap anak sehinggakan isu tersebut menjadi bahan perdebatan di laman sosial. Memberi pandangan sebagai wanita berkerjaya, pelayar X yang juga usahawan, Azra Rahman berharap masyarakat bersikap lebih terbuka tentang masalah kesihatan mental yang berkait rapat dengan isu tersebut. "Saya nak cakap tentang mental health yang orang pandang ringan ni. Senamrobik antara cara untuk para ibu luangkan masa sendirian. -Gambar hiasan The Star "Mak, ibu, isteri adalah nadi sebuah rumah tangga. Mostly dia yang organize semua benda dan lakukannya... cari barang, kemas barang, beli barang. "Dia terpaling berfungsi dalam rumah sebab ia perkara normal yang sering dilakukan dan selalu jadi tempat rujukan bagi suami atau anak-anak," katanya. Baginya, me time adalah satu-satunya masa yang dimiliki para ibu bagi menghilangkan tekanan persekitaran yang dialami supaya dapat 'berfungsi' dengan lebih baik. Malah dia meminta masyarakat untuk berhenti membandingkan situasi pada masa ini dengan generasi terdahulu yang tidak mengamalkan 'masa sendiri'. Sesetengah wanita ingin melakukan hobi masing-masing. -Gambar The Star "Mungkin dengan mengorbankan masa selama empat hingga lima jam dengan menghantar anak ke nurseri itu, membolehkan dia menjadi ibu yang lebih bertanggungjawab dan terbaik," tambahnya. Mengulas lanjut, dia berkata tugasan sebagai ibu mahupun isteri adalah rutin seharian dan tiada hari cuti. "Suri rumah sibuk sejak pagi, dengan tugasan yang tiada henti... ditambah dengan menjaga anak dan tiada hari cuti walaupun hujung minggu. "Wanita berkerjaya pula perlu bangun seawal pagi menguruskan keluarga dan balik kerja pun masih perlu sambung tugasan di rumah. "Jadi bilakah para ibu atau isteri nak berehat, nak ada masa yang betul-betul dia boleh fikirkan tentang dirinya dan kehendaknya mahupun perancangan," luahnya ketika dihubungi mStar. Tegas Azra, tempoh yang singkat untuk me time dengan menghantar anak ke taska pada hari cuti, bukanlah bermaksud mereka lupakan anak atau pentingkan diri sebaliknya demi kelestarian rumah tangga. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube